mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Selamat Datang Zulhijjah”

Petikan Khutbah Jumaat 10 Ogos 2018M / 28 Zulkaedah 1439H:JAIS

“Selamat Datang Zulhijjah”

Bulan Zulhijjah adalah antara bulan yang teristimewa dan teragung di sisi Allah SWT. Ia merupakan salah satu daripada empat bulan haram di dalam Islam, seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah alTaubah ayat ke-36:“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram.”

jais.jpgEmpat Bulan Haram yang dimaksudkan daripada ayat tersebut adalah sebagaimana dijelaskan oleh Nabi SAW dengan sabdanya yang bermaksud: “Tahun itu beredar sebagai mana keadaannya sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Di antaranya ada empat bulan haram (suci).

Tiga bulannya berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. (Satu bulan lagi adalah) Rajab Mudhor yang terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kemuliaan dan kehormatan bulan Zulhijjah ini dapat dilihat dengan pensyariatan ibadah Haji oleh Allah SWT. Ibadah Haji merupakan lambang pengabdian diri yang suci dan pengorbanan yang tinggi seseorang hamba kepada Allah SWT.

Sementara kita yang tidak berkesempatan untuk mengerjakan ibadah Haji pada tahun ini, kita digalakkan untuk beramal dalam bulan Zulhijjah ini dengan amalan-amalan soleh, terutamanya pada sepuluh hari yang pertama. Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:“Tidak ada hari di mana amal soleh pada saat itu lebih dicintai oleh Allah SWT daripada sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah.” (Riwayat al-Bukhari).

Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya daripada sepuluh hari (Zulhijjah) ini. Maka perbanyakkanlah pada saat itu dengan melakukan tahlil, takbir dan tahmid”. (Riwayat Ahmad).

Justeru amalan-amalan soleh yang digalakkan untuk kita amalkan pada bulan ini ialah memperbanyakkan berpuasa terutamanya pada Hari Arafah.

Sesungguhnya kelebihan berpuasa secara khusus pada Hari Arafah adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Qatadah Radhiallahu Anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Berpuasalah pada Hari Arafah. Aku mengharapkan pahala daripada Allah dapat menghapuskan dosa-dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim).

Selain itu pada bulan ini juga kita dianjurkan supaya memperbanyakkan bersedekah, berzikir, bertahlil, beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT di samping meninggalkan segala maksiat dan dosa.

Disamping itu bagi sesiapa yang berniat untuk melakukan sembelihan qorban, apabila tibanya bulan Zulhijjah mereka disunatkan supaya tidak mencabut atau memotong rambut atau kuku sehinggalah selesai sembelihan qorban itu dilakukan.

Hadis daripada Ummu Salamah Radhiallahu Anha bahawa Nabi SAW bersabda:“Jika kamu telah menyaksikan anak bulan Zulhijjah dan kamu ingin berqurban, maka hendaklah orang yang ingin berqurban itu tidak memotong rambut dan kukunya.” (Riwayat Muslim).

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita memberi perhatian kaepada perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa membesarkan hari-hari kebesaran Islam termasuklah bulan Zulhijjah adalah tanda keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

2. Umat Islam diseru supaya mengisi kedatangan bulan Zulhijjah ini dengan pelbagai amalan saleh kerana ganjaran pahalanya berlipat kali ganda.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa ikhlas dan berlumba-lumba dalam melaksanakan segala amalan soleh agar setiap amalan tersebut mendapat ganjaran dan keredhaan Allah SWT.

“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah : 148)
Tags: khutbah, zulhijjah
Subscribe

Posts from This Journal “zulhijjah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments