mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Meraih Pahala Membersih Dosa”

Petikan Khutbah Jumaat 17 Ogos 2018M / 05 Zulhijjah 1439H:JAIS

“Meraih Pahala Membersih Dosa”.

Minggu hadapan umat Islam sekali lagi berpeluang menegakkan syi’ar agama Allah Azza wa Jalla iaitu dengan melaksanakan ibadah korban.
jais.jpg
Orang-orang yang beriman pastinya teruja dengan fadhilat dan kelebihan yang sangat berharga yang dijanjikan Allah Jalla wa ‘Ala melalui lisan Nabi Muhammad SAW.

Pertama: Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah Radhiallahu Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tiada amalan anak Adam yang sangat Allah Azza wa Jalla hargai pada hari Raya Korban selain dari menumpahkan darah melalui sembelihan korban. Sesungguhnya binatang-binatang itu akan didatangkan pada hari qiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya, dan sesungguhnya darahnya akan diletakan oleh Allah Azza wa Jalla di tempat yang mulia sebelum ia menitis ke atas bumi. Oleh itu ikhlaskanlah niat anda melakukannya” (Riwayat Ibn Majah).

Kedua: Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Imran ibn Husain ( غِ ْ م َ س ُ ان بن ح صَ ْ ( ين bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai Fatimah!. Pergilah kamu menyaksikan korbanmu, sesungguhnya dosa-dosamu akan diampunkan sejak titisan pertama darah yang mengalir darinya, dan sebutlah sesudah itu: Imran bin Husain bertanya kepada Rasulullah: Adakah kelebihan ini khusus untuk tuan dan ahli keluarga tuan sahaja? Baginda menjawab: Bahkan tidak, ia sesungguhnya untuk semua umat Islam.” (Riwayat al-Hakim).

Ketiga: Hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Al-Arqam, bahawa beliau berkata: “Sahabat-sahabat Rasulullah bertanya kepada Nabi SAW: Ya Rasulullah apakah hakikat ibadah korban ini?, Rasulullah SAW menjawab: ia adalah sunnah bapamu Ibrahim Alaihis Salam, mereka bertanya lagi: Apa pula yang kami dapat darinya ya Rasulullah? Rasulullah menjawab: Setiap helai bulunya adalah kebaikan, mereka bertanya lagi: bulunya ya rasulullah? Rasulullah menjawab: ya! Setiap helai bulunya dikira kebaikan (mendapat pahala). (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Keempat: Aisyah Radiallahu Anha menceritakan:“...Ketika kami berada di Mina kami diberikan daging lembu, lalu aku bertanya: apakah ini?, mereka menjawab: ini adalah daging lembu korban yang di sembelih oleh Rasulullah SAW untuk korban para isteri Baginda.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis-hadis yang tersebut menunjukkan bahawa melaksanakan ibadah korban ini adalah suatu ibadah yang sangat dituntut oleh Islam. Ia sunat dilakukan oleh setiap buah rumah pada setiap tahun bagi orang yang berkemampuan.

Walau bagaimana pun hukum melaksanakan ibadah korban ini hanyalah sunat muakkadah. Ini adalah mengikut pandangan Jumhur ulama termasuk ulama bermazhab Syafi’e yang menjadi pegangan kita di negeri Selangor ini

Berikut adalah beberapa soalan lazim yang sering ditanya oleh masyarakat berkaitan Ibadah korban:

1. Bolehkah peserta korban memakan daging korban yang ia sertai?

Jawapannya boleh, kecuali jika korban itu korban wajib yang dinazarkan.

2. Bolehkah daging korban atau mana-mana bahagian binatang korban diberikan sebagai upah kepada tukang sembelih dan petugaspetugas?

Jawapannya tidak boleh. Walaubagaimanapun penyembelih dan petugas boleh diberikan upah atau saguhati daripada sumber yang lain.

3. Bolehkah penyembelih dan petugas menerima agihan daging korban seperti orang lain?

Jawapannya mereka boleh menerima agihan korban seperti orang lain.

4. Bagaimanakah cara daging korban diagihkan?

Jawapannya daging korban itu afdhal dibahagikan kepada tiga bahagian; satu bahagian untuk peserta, satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin dan bakinya dihadiahkan kepada jiran-jiran.

5. Bolehkah daging korban itu disimpan lebih tiga hari?

Jawapannya boleh, walau berapa lama sekali pun.

6. Jika kebetulan seseorang itu mendapat bayi yang belum diaqiqahkan, manakah yang lebih afdhal aqiqah atau korban?

Jawapannya: Afdhal ia membuat korban, kerana aqiqah boleh dilakukan pada masa lain yang masih panjang. Namun ada pendapat yang mengatakan dalam masalah ini jika ia berniat untuk kedua-duanya sekali maka sah dan memadai.

Pendapat ini boleh dirujuk pada kitab Furu’ Masail ( ُ ف ُ س ْ و ُ ع َْ اإلا َ ِئل سا ,( dan juga ada difatwakan oleh Al-Sheikh Zakaria Al-Ansari dalam kitab Hashiatul Jamal, begitu juga Al-Sheikh Ibn Hajar Al-Haitami dalam kitab Tuhfatul Muhtaj:“Jika seseorang itu berniat korban dan aqiqah (pada seekor kambing) maka berhasillah pahala kedua-duanya sekali, berbeza dengan pendapat yang menyalahinya”

Mengakhiri khutbah ini marilah kita mengutip beberapa mutiara tausiah yang berkaitan:

1. Umat Islam wajib mematuhi apa saja yang diperintahkan Allah Jalla wa ‘Ala dan Rasulullah SAW.

2. Umat Islam wajib mensyukuri nikmat yang Allah Jalla wa ‘Ala kurniakan kepada kita dengan membantu dan menyantuni saudara seagama yang kurang bernasib baik.

3. Dalam melaksanakan perintah Allah, umat Islam wajib mematuhi segala peraturan yang telah di tetapkan dan hendaklah diiringi dengan niat yang ikhlas untuk mendapat balasan di akhirat kelak.

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia lah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin”. (al-Hajj : 32).
Tags: dosa, khutbah, korban, pahala
Subscribe

Posts from This Journal “pahala” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments