mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Eidul Adha : “Inilah Korbanku, Terimalah Ya Allah”.

Petikan Khutbah Eidul Adha : 10 Zulhijjah 1439H JAIS

“Inilah Korbanku, Terimalah Ya Allah”.

Hari ini hari ke sepuluh Zulhijjah, umat Islam yang sedang menunaikan haji di Mekah sedang menyempurnakan manasik haji sebagai rukun Islam yang kelima.
jais.jpg
Umat Islam yang berada di tanah air Malaysia pula, selepas menunaikan solat Eidul Adha dan ingin menunaikan ibadah korban, maka sebentar lagi sama-sama akan menyembelih binatang-binatang korban.

Ibadah ini dilakukan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah dan ganjaran pahala yang besar. Dari Zaid bin Arqam bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada hariraya korban yang lebih disukai oleh Allah daripada menumpahkan darah korban. Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada hari qiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya dan bahawasanya darah korban itu mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, oleh itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang ikhlas.” (Riwayat al-Tarmizi).

Menyembelih binatang korban adalah merupakan ibadah yang sangat besar ganjaran pahalanya. Ibadah korban merupakan syiar Islam dan lambang pengurbanan besar Nabi Ibrahim AS dalam menyatakan kepatuhan kepada Allah SWT yang tidak berbelah bagi dan ketaatan yang tiada bandingannya. Nabi Ibrahim AS dengan kerelaan sepenuh hatinya sanggup menerima perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail AS demi menjunjung dan mematuhi perintah Allah SWT.

Bahkan anaknya nabi Ismail juga dengan penuh rela hati tanpa membantah sedikitpun permintaan bapanya yang merupakan perintah Allah. Kerelaan kedua-dua anak beranak itu jelas dirakam oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Soffat ayat 102:“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah!, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya supaya melaksanakan ibadah korban pada setiap tahun. Allah telah mensyariatkan ibadah korban sebagai suatu amalan sunat yang sangat dituntut untuk mencapai ketaqwaan dan keikhlasan di sisi Allah SWT sama seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail Alaihima al-Salam sebagai bukti kecintaan kepada Allah SWT melebihi cinta dunia, harta, anak dan kepentingan diri sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Haj, ayat 37: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatangbinatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”

Seorang pemimpin samada dalam keluarga, masyarakat, di peringkat negeri mahupun negara, wajib mengorbankan fikiran, tenaga dan masa bahkan wang ringgit untuk mengurus, mentadbir dan mengatur segala bentuk tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Pengorbanan merupakan tuntutan dalam kehidupan, tanpa pengorbanan maka kelangsungan hidup tidak akan dapat dinikmati dengan sempurna. Sedangkan nikmat itu adalah kurnia pemberian Allah kepada hamba-Nya yang sanggup berusaha dengan gigih dan sanggup berkorban dengan ikhlas kerana Allah SWT.

Sesungguhnya ibadah korban itu bukan hanya sekadar menikmati daging-daging korban yang diagih-agihkan sahaja. Pengagihan daging itu diharap dapat menyuburkan lagi tali persaudaraan sesama umat Islam. Nilai korban itu terletak pada pengorbanan suci, lambang ibadah yang tinggi dan ketundukan sepenuh-penuh hati kepada Allah SWT. Bahawa inilah korbanku, inilah kesucian ibadahku, inilah kebersihan dan ketulusan hatiku yang ku serahkan untuk-Mu ya Allah! Maka terimalah ya Allah!:Ya Allah!, sesungguhnya inilah ibadah korbanku dari nikmat kurniaanMu, kepada-Mu sahajalah ku serahkan, maka terimalah ibadahku ini.

Mengakhiri khutbah Eidul Adha di pagi yang mulia ini, ambillah beberapa pengajaran dan panduan berikut:

1. Umat Islam wajib mempercayai dan meyakini bahawa melaksanakan perintah Allah SWT adalah bukti keimanan.

2. Umat Islam mestilah ikhlas dalam melakukan semua ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT.

3. Umat Islam hendaklah menjaga dan merapatkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam disamping bekerjasama, tolong menolong, redha meredhai dan mengutamakan kepentingan orang lain berbanding dirinya sendiri.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa berkorban untuk mendapat kemenangan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan Ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadanya; dan sampaikanlah berita gembira (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.” (al-Hajj : 34).
Tags: aidiladha, khutbah, korban
Subscribe

Posts from This Journal “aidiladha” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments