mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Harapan Palestin

Petikan Khutbah Jumaat : 24 Ogos 2018 / 12 Zulhijjah 1439 JAKIM

Harapan Palestin

Pada masa ini, wilayah Palestin semakin sempit hanya tinggal „sekangkang kera‟ iaitu Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Umat Islam Palestin semakin terhimpit dan terhapus di bumi Palestin. Hari ini beribu-ribu orang Palestin terkorban dan tercedera dengan bedilan peluru-peluru roket dan kereta kebal Israel.jakim.jpg

Israel adalah bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya. Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab.

Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syira, Lebanon, dan Iraq. Sifat keji Bani Israel ini dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Maidah ayat 78: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.”

Agensi Bantuan dan Kebajikan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nation Relief dan Works Agency for Palestin Refugees (UNRWA) ditubuhkan pada tahun 1949 untuk membantu pelarian Palestin dan masyarakat di Gaza dan Tebing Barat.

Tanggungjawab utamanya ialah menguruskan sistem persekolahan, khidmat kesihatan dan program bantuan makanan. Dianggarkan 5.3 juta orang bergantung pada programprogram dari UNRWA yang dibiayai oleh masyarakat antarabangsa.

Namun pada awal tahun ini, sumbangan Amerika Syarikat kepada UNRWA telah dipotong daripada USD364 juta pada tahun 2017 kepada hanya USD60 juta pada tahun ini. Ini merupakan pengurangan hampir 25 peratus belanjawan tahunan UNRWA.

Pihak UNRWA yang mengendalikan 711 buah sekolah memberi peluang pendidikan kepada 525,000 murid dan 150 buah klinik kesihatan asas yang memberi khidmat perubatan kepada 8 juta pesakit. Pemotongan sumbangan ini menjejaskan keupayaan UNRWA mengendalikan sekolah-sekolah dan klinik-klinik di bawah sistemnya dan juga program bantuan makanan di kem-kem pelarian di Syria, Jordan dan Lebanon.

UNRWA juga memberi peluang pekerjaan kepada 30,000 orang pelarian Palestin untuk melaksanakan program-programnya. Ini memberi pendapatan untuk kegiatan ekonomi di Gaza, Tebing Barat dan kem-kem pelarian.

Amat menyedihkan apabila UNWRA mendedahkan terdapat lebih 500,000 kanak-kanak Palestin termasuk pelarian yang mendapat perlindungan di negara berhampiran, tidak mendapat pendidikan sempurna ekoran konflik dan peperangan di negara berkenaan.

Di negara ini, setiap pelajar berpeluang belajar mengikut potensi dirinya mengikut peluang yang ada iaitu sekolah aliran agama, tahfiz, sekolah berasrama penuh, kolej vokasional, Maktab Rendah Sains MARA dan lain-lain.

Kita dapat saksikan sendiri kewujudan universiti awam dan kolej-kolej swasta hampir di seluruh negeri yang menawarkan pelbagai kursus pengajian.

Pada tahun lalu, terdapat lebih 170,068 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pendidikan negara. Daripada jumlah itu, 136,293 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, manakala 33,031 pelajar di sekolah dan pusat bahasa serta 744 pelajar di institusi teknikal dan vokasional. Jumlah penuntut asing yang menuntut di negara ini dijangka meningkat sehingga 200,000 orang menjelang tahun 2020.

Keamanan dan keharmonian yang dikecapi telah memberikan satu jaminan kepada peluang pendidikan yang sangat efektif. Sesungguhnya inisiatif kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti telah menyaksikan peningkatan kadar literasi rakyat negara ini.

Laporan UNESCO Institute for Statistic pada tahun 2017 menunjukkan bahawa kadar literasi dalam kalangan rakyat berumur 15 tahun ke atas di Malaysia secara umumnya sudah menjangkau 94.64%.

Islam sebagai agama rahmah amat mementingkan ikatan persaudaraan. Walaupun tiada pertalian darah, hubungan persaudaraan itu amat kuat apabila diikat dengan ikatan agama (Islam).

Islam melarang keras sebarang bentuk kezaliman dan membiarkan muslim yang lain dizalimi.

Sabda Rasulullah seperti diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: Daripada „Abdullah bin „Umar RA berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat (membantu) saudaranya, maka Allah akan melaksanakan (membantu) hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib seseorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Kerajaan telah memulakan satu usaha mengutip dana yang dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk menguruskan Tabung Rakyat Palestin ini. Rakyat Malaysia diseru menyumbang kepada YKN Tabung Rakyat Palestin melalui no. akaun: 160140010011300 untuk mengurangkan penderitaan rakyat Palestin. Sumbangan derma yang disalurkan ke YKN-Tabung Rakyat Palestin diberi pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(7A)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah sebagai pedoman bersama-sama, antaranya:

Pertama: Umat Islam dituntut menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita;

Kedua: Menginsafi akan bahaya perpecahan dan perlunya tindakan segera dalam menyatupadukan ummah seluruh dunia; dan

Ketiga: Memastikan bahawa penjenayah perang Gaza dibawa kemuka pengadilan dan terus memburu mereka walau di mana jua.

Mimbar juga menyeru masjid-masjid seluruh negara agar mengadakan solat sunat hajat dan bacaan qunut nazilah, memohon doa kehadrat Allah agar dikurniakan kekuatan semangat dan kecekalan hati serta kemenangan dalam menghadapi kezaliman Israel.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra‟, ayat 1)
Tags: israel, khutbah, palestin
Subscribe

Posts from This Journal “palestin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments