mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan”

Petikan Khutbah Jumaat 31 Ogos 2018M / 19 Zulhijjah 1439H: JAIS

“Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan”.

Kemerdekaan, adalah salah satu nikmat Allah SWT kepada kita. Ia bermaksud bebas daripada sebarang penindasan dan kezaliman, perhambaan dan kongkongan, samada secara langsung atau tidak.

Cetusan awal yang mendorong semangat kemerdekaan di Negara kita adalah daripada pemikiran tokoh-tokoh ulama Tanah Air kita. Islam mengajar kita bahawa manusia hanya berhak dan perlu tunduk sebagai hamba Allah sahaja.

jais.jpgKita memiliki tanah air yang aman. Tidak ada tanah air lain bagi kita, tidak ada negara lain buat kita. inilah sahaja bumi yang kita warisi daripada nenek moyang kita.

Islam menyeru umatnya supaya mensyukuri nikmat yang di kurniakan Allah SWT. Mereka yang mensyukuri nikmat akan mendapat tambahan anugerah yang lebih banyak, sebagaimana firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7:“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya! jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.”

Negara yang merdeka rakyatnya akan dapat bebas mencari rezeki dalam suasana aman, dapat menunaikan ibadah dengan khusyuk tanpa halangan, dapat menuntut ilmu dan kemahiran sepanjang zaman dan bebas bergerak tanpa sekatan.

Adalah menjadi tanggungjawab kita mengisi kemerdekaan ini dengan menjana pembangunan rohani dan jasmani. Antaranya memantapkan aqidah dan melaksanakan syariah, meningkatkan pembangunan insan dengan ilmu dan kemahiran.

Mensyukuri kurniaan Allah akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan mendapat keampunan dan hidayah Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sakhbarah bahawa Rasululah SAW bersabda:“Siapa yang diberi kurnia lalu bersyukur, dan diuji lalu bersabar, dia menzalimi orang dia mohon maaf, dan apabila dianiaya lalu memaafkan, kemudian baginda mendiamkan diri.

Maka para sahabat bertanya, mengapa dengannya wahai Rasulullah? Jawab baginda; “Mereka itu mendapat keampunan dan mereka juga mendapat hidayah.” (Riwayat al-Tabrani).

Mereka yang tidak menghargai dan mensia-siakan nikmat Allah bakal mengundang bala daripada Allah SWT sepertimana firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 45: “Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).

Ini menunjukkan bahawa kezaliman merupakan angkara yang menjadi punca kehancuran sesuatu bangsa. Pembentukan akhlak merupakan perkara utama dalam pembangunan sesebuah negara. Sesungguhnya kemuliaan sesuatu bangsa itu adalah terletak pada akhlaknya, apabila rosak akhlak mereka maka rosaklah bangsa itu.

Islam menyuruh kita bersatu untuk mempertahankan agama dan membangun Negara dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 96:“Dan (Allah berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

Sempena memperingati ulang tahun kemerdekaan Negara kita yang ke-61 ini, kita hendaklah mengikis segala bentuk penjajahan yang menguasai pemikiran, akhlak dan nilai kebudayaan yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil pengajaran dan panduan sepertimana berikut:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa segala nikmat yang kita perolehi adalah anugerah Allah SWT, termasuk nikmat kemerdekaan Negara.

2. Umat Islam mestilah menanam semangat cintakan negara kepada diri, keluarga dan masyarakat untuk menjamin kemerdekaan supaya kekal di tangan kita.

3. Umat Islam hendaklah mengisi kemerdekaan dengan iman yang tinggi, akhlak yang terpuji dan ilmu yang bermanfaat serta amal soleh yang berterusan.

4. Umat Islam hendaklah mempertahankan kemerdekaan daripada anasir-anasir buruk yang boleh menggugat kesucian agama dan kedaulatan Negara.

“Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan. (al-Nahl : 112).
Tags: khutbah, merdeka
Subscribe

Posts from This Journal “merdeka” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments