mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “SPB YDPA: Asas Kestabilan Dan Kemakmuran Negara”

Khutbah Jumaat 07 Sept 2018M / 26 Zulhijjah 1439H: JAIS/JAKIM

“SPB YDPA: Asas Kestabilan Dan Kemakmuran Negara”

Sesebuah negara memerlukan kepimpinan untuk kesempurnaan pentadbiran agar menjadi lebih teratur dan berjaya dalam setiap bidang.

jais.jpgjakim.jpgMenurut Islam, kedudukan seseorang pemimpin adalah mulia dan tinggi kerana dia diamanahkan bagi menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan umat Islam. Imam al-Mawaradi (الماوردي (dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyah (السلطانية األحكام (menjelaskan: “Tugas pemimpin negara adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia.”

Dalam konteks negara Malaysia pada hari ini, kita sedia maklum bahawa Bahagian Empat, Bab Satu Perlembagaan Persekutuan, menyatakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang dilantik melalui persetujuan Majlis Raja-Raja.

Lafaz sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencakupi ikrar taat setia pada menjalankan pemerintahan dengan adil sebagaimana undang-undang dan perlembagaan serta memelihara agama Islam

Justeru, perlu diperingatkan kepada diri kita sebagai rakyat jelata betapa pentingnya kesetiaan terhadap Raja dan negara.

Malah ini menepati salah satu prinsip dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jama’ah iaitu mentaati dan menghormati pemimpin selagi mana tidak menyuruh melakukan maksiat.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 59,“Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Kebelakangan ini, institusi Raja yang sepatutnya dihormati berhadapan cabaran apabila ada usaha untuk mengganggu institusi tersebut terutama di media sosial.

Sehubungan dengan itu, marilah kita bersatu menjauhkan diri kita daripada terperangkap dan terpengaruh dalam isu seumpama ini.

Sebagai seorang muslim, hendaklah kita berpegang teguh kepada prinsip syariat Islam yang memerintahkan supaya kita menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis dan menyatakan perkara-perkara yang tidak ada bukti kebenarannya.

Peringatan ini jelas dirakamkan oleh Allah melalui firmanNya dalam Surah al-Isra’ ayat 36 :“Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Dan hal ini juga diperingatkan oleh Baginda Nabi melalui hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud Radhiallahu Anhu:“Dan hendaklah berlaku benar, kerana kebenaran mambawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa seseorang ke syurga. Dan janganlah sekali-kali kamu melakukan perkara dusta, maka bahawasanya melakukan perkara dusta membawa kepada perbuatan maksiat dan perbuatan maksiat membawa kepada neraka”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Kita berdoa kepada Allah agar terus mengurniakan istiqamah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan sifat-sifat hikmah, tegas, bijaksana, adil, saksama dan berkeupayaan tinggi dalam mengharungi cabaran dengan berkesan. Seterusnya kita mendoakan barisan pembesar dan penasihat negara termasuk para ulama dan cendekiawan Islam agar dapat membantu dan meneguhkan lagi kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Semoga Allah mengekalkan kejayaan negara seperti penubuhan universiti Islam, Tabung Haji, pengurusan sistem kewangan dan perbankan Islam terunggul serta peneraju halal dunia yang ternyata memberi manfaat kepada ummah keseluruhannya.

Sesungguhnya kejayaan yang Allah anugerahkan ini adalah hasil kerjasama pemikiran ulama dan umara yang ingin melihat negara beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan. semoga hubungan erat di antara umara’ (pemimpin) dan ulama ini, negara akan terus dilimpahi rahmat dan kebaikan.

Sesungguhnya kedaulatan Islam dan kemajuan negara, adalah berasaskan kepada kekuatan kepimpinannya.

Marilah kita sama-sama sentiasa mendoakan kesejahteraan berpanjangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Kelima Belas, Sultan Muhammad Kelima, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, pada 9 September 2018 bersamaan hari Ahad, 28 Zulhijjah 1439 hijri.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, khatib ingin menyimpulkan dengan beberapa iktibar dan taujihat:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kesetiaan kepada raja dan kecintaan kepada Negara adalah sebahagian daripada iman.

2. Umat Islam hendaklah menjauhi gejala fitnah kerana ia boleh menghancurkan Negara, bangsa dan agama.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sentiasa istiqamah dalam menjalankan bidang kuasanya menjaga Negara dan kesucian agama Islam.

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj:41).
Tags: agong, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “agong” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments