mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Menyantuni Umat Membawa Rahmat”.

Petikan Khutbah Jumaat 14 September 2018M / 04 Muharram 1440H:JAIS
“Menyantuni Umat Membawa Rahmat”.
Hijrah merujuk kepada perpindahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah demi menegakkan Islam. Seorang Mukmin yang berjaya dan cemerlang akan sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan diri untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan berjaya.

jais.jpgFirman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 20 yang disebutkan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
                                                                                                                                                                                               
Hijrah merupakan sunnah para anbia’, tiada nabi yang tidak melakukan proses hijrah demi memertabatkan Agama Islam. Islam adalah agama yang bersifat rahmah serta amat menitik beratkan hubungan sesama individu, keluarga, masyarakat mahupun negara. Ini kerana, Islam menyeru kepada keselamatan dan kesejahteraan dengan akhlak, sikap dan ucapan yang baik. Islam menolak segala bentuk permusuhan, kebencian dan hasutan.
Allah SWT menjadikan manusia di atas muka bumi ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13:“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Hijrah mempamerkan erti ukhuwah yang sebenar apabila golongan Muhajirin yang berasal dari Mekah dipersaudarakan dengan golongan Ansar di Madinah sedangkan mereka tidak ada hubungan pertalian darah dan keluarga hinggakan ada yang sanggup berkongsi dengan memberikan sebahagian harta mereka kepada saudara Muhajirin bahkan ada dalam kalangan Ansar menawarkan salah seorang daripada isteri-isterinya kepada golongan Muhajirin.
Firman Allah SWT didalam Surah al-Hujurat ayat 10 :“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Untuk menjamin ukhwah yang berkekalan, hendaklah meninggalkan sebarang bentuk perselisihan dan perbalahan didalam urusan kehidupan seharian. Ini kerana, Islam menyeru kepada perpaduan dan keharmonian hidup sesama manusia
Rasulullah SAW sangat melarang bibit-bibit permusuhan dalam kalangan umatnya seperti pertengkaran, perbalahan dan pertikaian sesama muslim.
Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Jauhilah oleh kalian perasangka, kerana perasangka itu adalah ungkapan yang paling dusta. Dan janganlah kalian mencari-cari aib orang lain, jangan pula saling menebar kebencian dan jadilah kalian orang-orang yang bersaudara.” (Riwayat al-Bukhari).

Mengakhiri khutbah pada hari ini, dapat disimpulkan sebagai pengajaran dan panduan yang penting, antaranya adalah :
1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa hijrah kepada yang lebih baik adalah suatu kewajipan.
2. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa Islam adalah agama yang menekankan prinsip persaudaraan sesama umat dan membawa rahmat kepada manusia sejagat.
3. Umat Islam hendaklah terus berdakwah kepada semua pihak sama ada kepada Muslim atau non Muslim dengan memberi kefahaman kepada mereka tentang kebaikan ajaran Islam yang sebenar.
4. Umat Islam hendaklah sentiasa memperbaharui azam berhijrah untuk meningkatkan amal ibadah dan berakhlak dengan akhlak yang mulia.

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?" mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orangorang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (al-Nisa’ 97).
Tags: khutbah, menyantun, rahmat, umat, ummah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments