mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Maqasid Syariah Menjamin Kemashalatan Ummah”

Petikan Khutbah Jumaat: (21 September 2018 / 11 Muharram 1440) JAKIM

“Maqasid Syariah Menjamin Kemashalatan Ummah”

Maqasid Syariah bermaksud tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh Islam melalui peraturan dan hukum-hakam yang disyariatkan serta rahsia disebaliknya dengan tujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia.
jakim.jpg
Imam al-Haramain al-Juwainiy menjelaskan: “Barangsiapa yang tidak memahami kewujudan maqasid dalam perintah-perintah dan larangan-larangan syara’, maka dia tidak memiliki pandangan yang jelas dan benar tentang agama.”

Al-Raysuniy pula mengumpamakan Maqasid Syariah sebagai buah yang dipetik hasil daripada pelaksanaan syariat Islam. Kepentingan Maqasid Syariah telah dijelaskan oleh alQuran dengan terang sebagai pemelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat dan menghindar kemudaratan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185:“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”

Matlamat utama pelaksanaan syariat Islam ialah untuk mengatur kemaslahatan kehidupan manusia atas asas makruf dan menghindarkan mungkar.

Makruf ialah segala perbuatan baik menurut syariat Islam dan mendekatkan pelakunya kepada Allah . Manakala mungkar pula ialah segala perbuatan mungkar menurut syariat Islam dan menjauhkan pelakunya daripada Allah .

Para ulama menggariskan bahawa keperluan kemaslahatan manusia sejagat yang menjadi sasaran Maqasid Syariah akan dapat disempurnakan apabila tiga tuntutan asas kehidupan dapat dipenuhi secara bertahap iaitu daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.

Dharuriyyat adalah perkara-perkara yang termasuk dalam keperluan asasi yang mesti dipenuhi oleh setiap individu untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Keperluan asasi yang menjadi objektif kemaslahatan ini ialah untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Hajiyyat ialah kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia sematamata. Ia untuk menghilangkan kesulitan dan kesempitan yang boleh membawa kepada kesusahan hidup.

Tahsiniyyat iaitu kemaslahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak bagi memudahkan dan mengindahkan kehidupan manusia.

Imam Ibn Taimiyah pernah menyebut bahawa: Maqasid yang wajib bagi pemerintah ialah memastikan kebaikan agama bagi manusia, jika hilang agama, mereka akan menjadi orang yang sangat rugi dan nikmat dunia yang diperolehi tidak akan memberi manfaat kepadanya.

Firman Allah di dalam surah al-Haj ayat 41:“Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, al-Mustasfa (مستصفىُ ال (telah menyenaraikan lima perkara keperluan asas (Dharuriyyat) yang mesti dipenuhi oleh setiap individu dan dipelihara dalam Maqasid Syariah mengikut keutamaan iaitu:

Pertama: Menjaga Agama – Menjadi kewajipan kita sebagai muslim untuk meletakkan kepentingan agama di tempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan akidah dan agama hendaklah dihindarkan dan dibanteras. Pelbagai cabaran yang perlu di atasi dalam kita menjaga agama antaranya gejala ajaran sesat, Syiah, aliran pemikiran Pluralisme, sekularisme, Liberalisme dan lain-lain lagi.

Kedua: Menjaga nyawa – Islam mengharamkan permusuhan dan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang.

Sabda Rasulullah seperti diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim:Daripada Abdullah bin ‘Amru daripada Nabi bersabda: “Seseorang muslim itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka.

Ketiga: Menjaga akal – Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak, dadah dan seumpamanya yang merosakkan pemikiran wajib dibanteras dengan segera.

Keempat: Menjaga maruah dan keturunan – Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, biseksual dan sebagainya maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.

Kelima: Menjaga harta – Dalam menjaga harta, Islam telah menggariskan prinsipnya iaitu al-adl wal ihsan (اإلحسان و العدل .(Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak intelek, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak lain

Berasaskan pendekatan Maqasid Syariah yang yang menjadi teras pentadbiran kerajaan hari ini, mimbar yakin apabila hubungan kesalingan antara ulama, umara dan rakyat menjadi erat, maka sesebuah kerajaan itu pasti bertambah kuat, nasib ummah terbela, negara bertambah maju dan aman damai.

Mengakhiri khutbah, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan iaitu:

Pertama: Maqasid Syariah menjadi pemandu kepada umat manusia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah .

Kedua: Islam mengatur kemaslahatan hidup manusia atas asas makruf dan menghindarkan mungkar.

Ketiga: Kita hendaklah memelihara lima perkara asas dalam Maqasid Syariah, iaitu, agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga.”
Tags: kemashalatan, khutbah, maqasid, syariah, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “maqasid” Tag

  • The higher purposes of syariah

    Maqasid have taken centre stage in the contemporary studies of syariah, just as it has also become an engaging theme of the government. March saw…

  • Maslahat dan maqasid syariah

    KEHIDUPAN Islam adalah kehidupan yang menitikberatkan kebaikan sebagai asas wujud seseorang. Ini disebut sebagai maslahat. Kebaikan bermula dengan…

  • Maqasid syariah 
mahu ke mana?

    AKAR-AKAR umbi maqasid syariah adalah nas-nas al-Quran dan Sunnah. Walau bagaimanapun yang dilihat pada nas itu bukan semata-mata hukumnya yang…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments