mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Adab Di Dalam Media Sosial”

Petikan Khutbah Jumaat 12 Okt 2018M /03 Safar 1440H:JAIS

“Adab Di Dalam Media Sosial”

Media sosial kini telah menjadi kaedah alternatif untuk berhubung dengan seseorang. Ada yang dapat berjumpa semula dengan kenalan lama setelah berpuluh tahun tidak bertemu.
jais.jpg
Hampir setiap dari kita mempunyai akaun media sosial yang digunakan untuk pelbagai perkara seperti Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi Whatsapp dan sebagainya. Bahkan ada yang menghabiskan hampir keseluruhan waktunya pada media sosial. Statistik menunjukkan, sehingga Jun 2017, sebanyak 19 juta daripada rakyat Malaysia mempunyai akaun Facebook.

Namun dalam keghairahan kita menggunakan laman sosial itu, ada adab-adab dan peraturan yang perlu kita patuhi sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT. Antaranya:

1. Menyampaikan perkara yang baik.

Laman sosial menjadi medan untuk kita berkongsi menyampaikan maklumat pada perkara yang baik kerana menyampaikan perkara-perkara yang baik akan memperoleh ganjaran pahala.

Ini bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu:“Barangsiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak mana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya.” (Riwayat Muslim).

2. Pastikan sahih, sebelum disebarkan.

Memastikan kesahihan ini merupakan satu kewajipan dan tanggungjawab bagi setiap individu. Walaupun penulisan itu bukan tulisan kita tetapi kita turut berdosa kerana bertindak menyebarkannya.

Peringatan ini dijelaskan oleh Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam surah Qaf ayat 18 yang telah disebutkan pada awal khutbah ini bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

Bahkan Nabi kita Muhammad SAW juga mengingatkan melalui sebuah hadis-Nya daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba apabila menuturkan satu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membawanya ke neraka yang jaraknya lebih jauh dari jarak antara timur dan barat.” (Muttafaqun Alaih)

3. Menjaga batas-batas pergaulan.

Semasa kita berkomunikasi di laman sosial, elakkan daripada berkomunikasi dengan terlalu mesra dan manja sehingga menimbulkan fitnah dan merosakkan hubungan dalam rumahtangga. Pastikan apa yang ingin disampaikan jelas dan nyata serta terus kepada maksud.

4. Menjaga keaiban.

Ada dikalangan segelintir daripada kita yang terikut-ikut dengan trend masa kini yang secara tidak langsung suka membuka aib orang lain apabila menulis atau berkongsi sesuatu artikel. Lebih parah lagi apabila aib pasangan kita juga dijaja atau dibuka kepada umum dengan cara yang tidak kita sedari.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang menutupi (aib) seseorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari).

Hindari menggunakannya ketika khatib sedang membaca khutbah Jumaat, ketika makan, memandu, ketika bergaul bersama-sama ahli keluarga, sejurus selesai solat hinggakan tiada masa untuk berdoa dan berzikir.

Adab-adab penggunaan media sosial bukanlah bertujuan untuk menyekat kebebasan seseorang, namun ia adalah untuk memastikan agar kita berjaya menjadi Muslim yang bertaqwa kepada Allah SWT, sekaligus menunjukkan imej sebagai seorang muslim yang berakhlak mulia.

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran penting daripada khutbah ini antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa setiap perbuatan dan tindakan akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

2. Umat Islam hendaklah menggunakan dan memanfaatkan media sosial pada perkara-perkara yang baik sahaja.

3. Umat Islam hendaklah menjaga dan tidak mendedahkan aib orang lain dalam apa juga keadaan.

4. Umat Islam dilarang menyebarkan perkara yang belum dipastikan lagi kebenaran atau kesahihannya.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam Segala perkara), supaya ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Surah al-Ahzab : 70-71).
Tags: adab, khutbah, media, sosial
Subscribe

Posts from This Journal “adab” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments