mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Kewajipan Membayar Hutang”

Khutbah Jumaat 19 Okt 2018M /10 Safar 1440H: JAIS

“Kewajipan Membayar Hutang”.

Berhutang merupakan satu bentuk muamalat yang disediakan oleh syariat Islam kepada penganutnya bagi memudahkan urusan kehidupan mereka.

jais.jpgIslam menganggap hutang merupakan suatu amalan yang dibenarkan ketika wujud keperluan dan kepentingan. Namun Islam tidak menggalakkan berhutang jika bertujuan untuk hidup bersenang-lenang dan bermewah-mewah.

Rasulullah SAW pernah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhi daripada bebanan hutang dengan sabdanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh A’isyah Radhiallahu Anha: “Ya Allah!, Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang”, lalu bertanya seseorang kepadanya; “Alangkah banyaknya doa engkau meminta jauh dari hutang?”, maka baginda menjawab; “Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mungkiri.” (Riwayat al-Bukhari).

Doa Rasulullah tersebut menunjukkan bahawa berhutang merupakan amalan yang kurang sihat jika tidak diuruskan dengan sebaiknya kerana boleh menyebabkan seseorang yang berhutang itu bercakap bohong ketika berbicara dan memungkiri janji apabila berjanji. Justeru, kita sebagai umat Islam seharusnya berusaha menjauhinya dengan sedaya mungkin.

Sejak akhir-akhir ini kita melihat amalan berhutang telah menjadi kebiasaan sebahagian anggota masyarakat hari ini. Malah amat mendukacitakan apabila mereka yang berkemampuan juga turut berhutang dengan anggapan ia menjadi kaedah terbaik bagi mencapai keuntungan dan mendapat kekayaan.

Melihat gaya hidup pengguna pada hari ini, maka salah satu desakan kepenggunaan yang semakin hangat diperkatakan adalah budaya berhutang bentuk baru iaitu penggunaan kad kredit.

Pengguna mudah terpedaya dengan promosi jualan murah sehingga tidak menyedari sudah menggunakan kad kredit secara berlebihan akhirnya memerangkap diri sendiri.

Pengguna seperti ini diibaratkan pengguna yang “tidak mengukur baju di badan sendiri” ketika berbelanja.

Justeru kita melihat bagaimana ramainya peminjam yang enggan membayar hutang.

Bahkan ada yang menganggap membayar balik hutang-hutang tersebut adalah perkara remeh dan tidak penting. Malah ada juga yang rela digelar muflis asalkan tidak perlu membayar hutang yang menimbun.

Marilah sama-sama kita merenung sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu:“Melewat-lewatkan bagi orang yang berkemampuan daripada menunaikan hak adalah zalim”. (Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW juga pernah menggambarkan mengenai golongan manusia yang sengaja tidak mahu membayar hutang.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Barangsiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan niat ingin membayarnya kembali, Allah akan menolongnya dalam membayar kembali, namun barangsiapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghilangkannya, maka Allah akan menolong menghilangkannya”. (Riwayat al-Bukhari).

Hadis daripada Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang.” (Riwayat Muslim)

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita mengambil beberapa inti pati khutbah sebagai panduan kita bersama iaitu;

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa orang yang sengaja tidak embayar hutang yang dibuatnya akan dituntut dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa berhutang adalah satu bentuk muamalat dalam Islam yang mempunyai syarat-syarat yang wajib dipatuhi bagi mengelak berlakunya tuntutan di akhirat nanti..

3. Umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa amalan suka berhutang tanpa sebab yang kukuh akan menjerumuskan pelakunya ke dalam kebinasaan.

“Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.” (ali-Imran : 76).
Tags: hutang, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “hutang” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments