mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Memperkasakan Wakaf Tunai”

Petikan Khutbah Jumaat 02 Nov 2018M /24 Safar 1440H: JAIS

“Memperkasakan Wakaf Tunai”. 

Wakaf memainkan peranan penting dalam membangunkan insan dibawah kategori infaq dan sedekah jariah. Seseorang yang mewakafkan harta yang disayanginya akan mendidik jiwanya menjadi seorang yang berjaya mengikis sifat bakhil dan kedekut.

Seterujais.jpgsnya menghayati sikap timbangrasa, memperteguhkan persaudaraan dan menanam kefahaman menjadikan harta, sebagai jambatan  yang akan menyampaikannya kepada keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 92:“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Ayat ini menerangkan bahawa seseorang itu akan mendapat keredhaan dan anugerah Allah sekiranya mereka mampu menyumbangkan harta yang amat disayanginya, kerana sumbangan itu akan mendapat ganjaran Allah berdasarkan niat dan tujuan yang tersemat dihatinya.

Salah satu jenis wakaf yang amat diperlukan pada masa ini adalah wakaf tunai, iaitu berwakaf dengan wang tunai. Dari segi hukum, menurut keputusan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa wakaf tunai adalah diharuskan.

Matlamat utama berwakaf dengan wang tunai adalah untuk memberi kemudahan kepada pewakaf untuk menginfaqkan harta mengikut kemampuan. Ia dapat mendidik sikap kerjasama berkonsepkan semangat gotong-royong dan saling bantu membantu.

Hasil pengumpulan wakaf wang tunai, lebih mudah disalurkan bagi kepentingan agama Islam, kebajikan dan pembangunan sosio ekonomi ummah.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :“Apabila mati anak Adam (manusia), maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya”. (Riwayat Muslim).

Majlis Agama Islam Selangor melalui Perbadanan Wakaf Selangor telah menyediakan beberapa kemudahan untuk membantu masyarakat Islam berwakaf dengan wang tunai, antaranya berwakaf melalui perkhidmatan bank-bank tempatan, menyumbang terus ke dalam tabung wakaf yang ditempatkan di masjid-masjid dan membuat potongan gaji.

Dana wakaf yang terkumpul dari wakaf tunai ini akan disalurkan kepada pembinaan masjid, surau, sekolah, kemudahan perubatan, pembangunan hartanah, pembinaan institusi pendidikan dan berbagai jenis manfaat lagi

Ini bertepatan dengan peringatan Allah SWT supaya kita sentiasa menginfaqkan harta dengan cara berwakaf, sedekah dan sebagainya semasa hayat masih ada, seperti firman-Nya dalam surah al-Munafiqun ayat 10:“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang yang soleh.”

Sebagai contoh pada tahun 1533, kaedah wakaf tunai sangat popular dan diterima pakai oleh masyarakat Islam di Istanbul, Turki. Ia bukan sahaja untuk keagamaan, tetapi turut membiayai infrastruktur perbandaran kerajaan Uthmaniah seperti pembinaan jalanraya, jambatan, pusat perdagangan dan lain-lain lagi.

Di Amerika Syarikat, yayasan yang mentadbir harta umat Islam telah melaksanakan wakaf tunai semenjak tahun 1971. Hasilnya dapat membeli bangunan untuk dijadikan masjid, sekolah, kolej dan sebagainya.

Di Singapura, wakaf tunai telah diperkenalkan semenjak tahun 1972. Lebih 200 ribu pekerja muslim telah membuat potongan gaji mereka melalui majikan untuk disalurkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), maka terkumpullah lebih kurang 7 juta dolar setahun untuk pembinaan masjid dan aktiviti keagamaan.

Sejarah merakamkan ketika tertubuhnya Kolej Islam Malaya di Klang, selain bangunan Istana yang diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, sumbangan wang tunai juga diterima daripada beberapa dermawan termasuk daripada kerajaan Saudi Arabia, Kuwait, Bahrain, Mesir, Brunei serta perseorangan hingga pusat pendidikan Islam terulung ini dapat menjalankan operasinya dengan jaya.

Sesungguhnya harta yang kita wakafkan akan menambah amalan kita untuk menghadapi kesengsaraan hari akhirat. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya antara perkara-perkara yang akan mengiringi seseorang mukmin daripada amalan dan kebaikan, selepas kematiannya ialah ilmu yang diajarkan dan disebarkan kepada orang lain, anak soleh yang ditinggalkan, al-Quran yang diwariskan, masjid-masjid yang dibina, rumah-rumah musafir yang didirikan, anak-anak sungai yang dialirkan, atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika masih sihat dan hidup dan akan mengiringinya selepas kematiannya”. (Riwayat Ibnu Majah).

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita bersama-sama menghayati saranan berikut:

1. Umat Islam mestilah yaki bahawa wakaf adalah suatu amalan yang dituntut oleh Islam dan akan memperoleh ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak.

2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa wakaf bukan sahaja untuk tanah kubur, masjid dan sekolah agama, tetapi juga segala harta yang memberi manfaat kepada agama dan ummah.

3. Umat Islam hendaklah bersama-ama memperkasakan wakaf wang tunai secara berterusan termasuk membuat potongan gaji bulanan kepada Perbadanan Wakaf Selangor.

“Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.” (Ali-Imran : 115).
Tags: khutbah, tunai, wakaf
Subscribe

Posts from This Journal “wakaf” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments