mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Tuntutan Mencari Rezeki Yang Berkat

Petikan Khutbah Jumaat : (2 November 2018/24 Safar 1440H) JAKiM

Tuntutan Mencari Rezeki Yang Berkat

Rezeki memberi makna yang cukup luas dan ia bukan semata-mata benda yang boleh diukur nilainya seperti wang, gaji, pendapatan,
jakim.jpgmakanan, harta dan seumpamanya.

Menurut pandangan Sheikh Mutawalli al-Sya'rawi, seorang ulama tafsir yang ulung dari Mesir, rezeki bermaksud "Apa sahaja yang kita dapat rasakan manfaatnya, sama ada halal atau haram, sama ada baik atau buruk".

Ini bermakna, rezeki ialah segala apa yang dikurniakan oleh Allah yang bermanfaat baik dalam bentuk fizikal seperti gaji, pendapatan, keuntungan perniagaan, rumah, kenderaan, anak pinak dan sebagainya.

Atau pun dalam bentuk rohani seperti kesihatan, kecerdikan, ketenangan, kejayaan, kebahagiaan dan seumpamanya. Konsep rezeki tidak terbatas sekadar pendapatan atau gaji semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan pemberian Allah .

Pendapatan boleh diperoleh mengikut kemampuan usaha manusia tetapi rezeki diberikan mengikut keluasan dan ketentuan Allah seperti mana firman-Nya dalam surah Saba’ ayat 36:“Katakan wahai Muhammad: Sesungguhnya Tuhanku meluaskan rezeki bagi siapa yang Ia kehendaki dan menyempitkannya mengikut ketentuan kadarnya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Rezeki yang berkat pula bermaksud kurniaan Allah dalam bentuk sesuatu yang baik dan diperoleh dengan cara yang baik. Manakala rezeki yang tidak berkat adalah kurniaan yang tidak baik, tidak pernah cukup walaupun banyak dan diperoleh dengan cara yang tidak baik.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 172:“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda benda-ژ﴾ yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”.

Oleh yang demikian, kita diperintahkan supaya bukan setakat memakan rezeki yang halal tetapi juga rezeki yang baik harus menjadi prioriti.

Contohnya, sesuatu makanan yang halal belum tentu baik kerana ia menjejaskan kesihatan kita sekiranya diambil dalam jumlah banyak seperti gula, garam dan makanan berlemak. Selain itu, mencari rezeki juga memerlukan tujuan yang baik, bukan tujuan untuk mencari kekayaan semata-mata dan menjadi takbur dengan kekayaan itu, ataupun mencari rezeki bertujuan melakukan jenayah, maksiat dan sebagainya.

Malah dalam konteks berkat, ia membawa maksud rezeki bertambah secara tersirat, umpamanya merasa cukup dengan pendapatan yang sederhana biarpun jumlah anak ramai. Itulah antara tanda keberkatan rezeki

Keberkatan rezeki lahir hasil daripada keyakinan, ketaatan, kepatuhan dan kehambaan manusia yang berterusan kepada Allah .

Justeru, walau pekerjaan yang kecil sekalipun, kita tetap perlu untuk menjaga keberkatannya. kita mesti meletakkan keutamaan dan iltizam di dalam hati iaitu mencari rezeki bukan untuk mendapat kesenangan hidup semata-mata tetapi untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat.

Kita juga wajib meyakini bahawa setiap manusia dalam dunia ini mempunyai bentuk rezeki yang berbeza-beza. Ada yang mendapat rezeki dalam bentuk material seperti kenaikan pangkat atau jumlah pendapatan yang banyak.

Terdapat juga mereka yang gajinya tidak besar tetapi memperoleh rezeki dalam bentuk ketenangan hati, kesihatan yang baik, keluarga yang harmoni, anak-anak yang pintar dan sebagainya.

Justeru, niat bekerja sebagai satu ibadah yang dilakukan kerana Allah akan membetulkan hati manusia untuk melihat rezeki yang diperoleh itu adalah kurniaan Allah semata-mata dan ianya bukan daripada manusia.

Gaya hidup dan perubahan iklim ekonomi dunia sedikit sebanyak memaksa kita meningkatkan sumber pendapatan. Ada juga yang salah anggap bahawa rezeki hanya dalam bentuk wang dan harta bagi menjamin kesenangan dan kebahagian hidup, atas desakan hidup, manusia berlumba-lumba mencari wang dan harta sehingga kadangkala melangkaui batasan halal dan haram yang ditetapkan oleh syarak.

Sanggup bersekongkol dengan penipuan, rasuah mahupun penganiayaan semata-mata untuk memperoleh keuntungan wang ringgit dan habuan duniawi

Namun harus diingat, bahawa kekayaan tidak menjamin kebahagiaan hakiki setiap insan. Realitinya kita sendiri melihat betapa ramai orang kaya tetapi tidak dapat menikmati ketenangan dan kebahagiaan.

Harus juga diingat, rezeki melimpah ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal dan berkat. Ada orang mempunyai harta yang banyak tetapi sayangnya tidak terdapat unsur keberkatan di dalamnya.

Akibatnya hati tidak tenang dan makin jauh daripada Allah , keluarga tidak harmoni, tidak pernah merasa cukup dan berbagai lagi.

Marilah kita memerhatikan sepotong hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:Nabi menyebutkan kisah seorang lelaki yang jauh perjalanannya (untuk beribadat), rambutnya kusut masai dan wajahnya berdebu. Lelaki itu mengangkat tangan ke langit dan menyeru: Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku dengan bersungguh-sungguh. Sedangkan sumber makanannya daripada yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram, diberi makan daripada yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan makbulkan doa lelaki tersebut?”

Oleh itu, perkara utama dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita peroleh tetapi sebaliknya bagaimana kita manfaatkannya bagi merebut keberkatan di dalam rezeki itu. Islam menggalakkan kita mencari limpahan rezeki dan kekayaan harta dunia, namun perlu mengikut saluran yang betul dan bijaksana dalam menguruskan harta supaya ia halal dan berkat demi mencapai kebahagiaan hakiki, sama ada semasa hidup di dunia mahupun di akhirat.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita bermuhasabah dengan mengutamakan keberkatan dalam mencari rezeki, kerana setiap rezeki yang berkat akan melahirkan insan yang bertakwa dan memperoleh keredhaan Allah .

Antara intipati khutbah yang boleh kita ambil pedoman dan pengajaran ialah:

Pertama: Mencari rezeki yang halal merupakan satu kewajipan bagi umat Islam atas dirinya dan ahli keluarganya.

Kedua: Perkara utama dalam pencarian rezeki bukan diukur melalui limpahan hasilnya tetapi melalui keberkatannya.

Ketiga: Masyarakat yang beretika tidak akan bersekongkol dengan penglibatan rasuah, penipuan mahupun penganiayaan semata-mata untuk mendapat habuan duniawi.

“Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Surah al-A’raf, ayat 96
Tags: berkat, khutbah, rezeki
Subscribe

Posts from This Journal “rezeki” Tag

  • Khutbah Jumaat: “Berkongsi Rezeki”

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Dis 2017M / 03 Rabiulakhir 1439H: JAIS “Berkongsi Rezeki”. Lumrah dalam kehidupan manusia berhadapan dengan…

  • Biar sikit tetapi cukup

    MEMPUNYAI harta dan wang melimpah ruah bukan jaminan bagi seseorang individu untuk hidup dengan senang dan tenang atau memperoleh segala yang…

  • Allah sengaja tangguh azab

    REALITI yang berlaku kini, perbuatan maksiat tidak lagi dapat lari daripada berlaku di depan mata. Bukan sahaja di negara bukan Islam, malah…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments