mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Berusahalah, Jauhi Meminta-minta”

Petikan Khutbah Jumaat 09 Nov 2018M /01 Rabiulawal 1440H: JAIS

“Berusahalah, Jauhi Meminta-minta”.

Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha sebaliknya melarang umatnya bersikap malas dan hanya meminta-minta.
jais.jpg
Larangan ini banyak disebutkan di dalam Al-Quran dan hadis yang menegah kita menjatuhkan maruah diri dengan bersikap malas dan hanya mengharapkan simpati serta ihsan orang lain sahaja.

Nabi S.A.W mengingatkan perkara ini dengan sabdanya dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tangan yang diatas (yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang dibawah (yang menerima). Dahulukanlah orang yang menjadi tanggunganmu. Dan sebaik-baik sedekah adalah yang lebih daripada keperluan tanggungannya. Barangsiapa menjaga kehormatan dirinya (dari meminta-minta) maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya dan barangsiapa yang merasa cukup maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Bahkan, seseorang yang malas berusaha dan hidupnya hanya meminta-minta ihsan orang lain akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan tanpa daging pada wajahnya.

Ini dtegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawasanya Nabi SAW bersabda:“Seseorang yang sentiasa meminta-minta kepada orang lain akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya Islam menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari nafkah dengan pelbagai cara selagi tidak melanggar syariat. Kita juga disuruh supaya bersikap ta’affuf (memelihara diri dari minta-minta), sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 273 yang bermaksud: “Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”

Sesungguhnya, Allah menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada hamba-hambaNya yang berusaha dan bekerja untuk memberi nafkah kepada keluarganya. Ini dinyatakan di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda “Dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.” (Riwayat Muslim).

Allah tidak akan mengubah nasib hamba-Nya sehinggalah dia berusaha untuk mengubah nasib dirinya sendiri. Sesungguhnya, hasil yang diperolehi melalui apa jua kemahiran yang ada itu lebih baik dan mulia daripada bersikap malas dan hanya memintaminta kepada orang lain.

Ini berdasarkan hadis daripada Zubair bin alAwwam Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya seseorang dari kalangan kamu mengambil talinya lalu membawa seikat kayu bakar di atas belakangnya, kemudian dia menjualnya sehingga dengannya Allah menjaga wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang lain, sama ada mereka memberinya atau tidak memberinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Saidina Umar bin Al-Khattab Radhiallahu Anhu pernah memberi nasihat dan menegur kepada segolongan rakyatnya yang salah faham terhadap konsep tawakkal dan berserah semata-mata tanpa usaha. Katanya: “Siapakah kamu semua ini?” Mereka menjawab, “Kami orang yang bertawakkal”. Saidina Umar menyatakan dengan tegas, “Kamu berbohong !,”Orang yang bertawakal yang sebenar ialah orang yang menanam biji benih kemudian bertawakal kepada Allah. Janganlah kamu malas mencari rezeki dan hanya berdoa “Ya Allah, berilah aku rezeki” sedangkan dia tahu langit tidak akan menurunkan hujan dinar dan dirham.”

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita menghayati tausiah berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa Allah SWT lebih mencintai hamba-hamba-Nya yang berusaha gigih bekerja mencari rezeki yang halal untuk nafkah diri dan keluarga.

2. Umat Islam dilarang bersikap meminta-minta tanpa sebarang usaha sedangkan masih mampu bekerja.

3. Umat Islam hendaklah mendahulukan nafkah untuk ahli keluarga melalui usaha yang keras kerana ianya akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT.

“Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan.” (al-Taubah : 105).
Tags: khutbah, minta, usaha
Subscribe

Posts from This Journal “usaha” Tag

  • Usaha dan tawakal

    PERNAHKAH anda berada dalam situasi kecemasan seperti gegaran kuat ketika berada dalam kapal terbang? Atau mengalami masalah brek ketika sedang…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments