mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Persekitaran Lestari Masyarakat Harmoni

Petikan Khutbah Jumaat: (9 November 2018 / 1 Rabi’ulawwal 1440) JAKIM

Persekitaran Lestari Masyarakat Harmoni

Hakikat ini selari dengan kedudukan kita sebagai khalifah yang diberi tanggungjawab memakmurkan bumi ini seperti mana firman Allah dalam surah Hud ayat 61: Bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu jakim.jpgmemakmurkannya”

Allah menjadikan alam ini dengan pelbagai nikmat untuk keperluan dan kemudahan hidup manusia seperti air, udara, tumbuh-tumbuhan, haiwan, gunung ganang, sungai dan sebagainya.

Sebagai manusia yang sentiasa mengharapkan kehidupan yang penuh dengan keselesaan, kita haruslah mensyukuri dan menghargai setiap anugerah kurniaan nikmat Allah , kita bersyukur kerana dengan rahmat-Nya kita masih lagi dapat menghirup udara yang nyaman, kesihatan yang baik dan berbagai nikmat yang tidak terhitung.

Manusia yang diamanahkan menjadi khalifah Allah wajib memikul tanggungjawab mengurus dan mengatur alam ini dengan lestari, sentiasa menjaga dan memanfaatkannya sebaik mungkin tanpa melakukan sebarang kerosakan. Pembangunan yang dilaksanakan haruslah seimbang dan saksama, terutamanya di bandar-bandar yang menjadi tumpuan kehidupan manusia.

Tamadun manusia menekankan kepada dua elemen penting, iaitu kehalusan budi pekerti dan juga pembangunan persekitaran penempatan manusia. Matlamatnya ialah ke arah membangunkan negara seimbang dari segi spiritual, mental dan fizikal bagi mencapai kejayaan, kecemerlangan, keamanan dan kemakmuran hidup di dunia dan akhirat.

Sasaran dalam agenda pembangunan persekitaran penempatan manusia ialah mewujudkan persekitaran yang berdaya huni merangkumi penyediaan kemudahan awam yang lengkap dan mudah dicapai seperti sekolah, pusat kesihatan dan komuniti, kemudahan riadah dan kemudahan beribadat.

Selain itu, keutamaan pembangunan turut diberikan kepada aspek keselamatan persekitaran supaya masyarakat dapat hidup dengan aman dan damai.

Sama ada keselamatan individu mahupun keselamatan daripada risiko-risiko bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan lain-lainnya. Maka untuk mencapai sasaran tersebut, segala usaha pembangunan mestilah dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan penuh teliti dengan mengambil kira semua aspek.

Rasulullah sendiri telah membuat perancangan rapi dalam membangunkan kota Madinah selepas hijrah. Baginda telah membina Masjid Nabawi sebagai pusat pentadbiran dan kemasyarakatan.

Baginda turut menyusun kediaman golongan Ansar dan Muhajirin berhampiran masjid dengan persetujuan semua pihak.

Baginda juga mewujudkan kemudahan penginapan bagi kabilah-kabilah yang bermusafir.

Bahkan Rasulullah memberi penegasan tentang keperluan kajian yang rapi dengan mengambil pengajaran daripada peristiwa yang lalu sebagai elemen penting dalam setiap perancangan.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:“orang yang beriman tidak jatuh (atau tidak disengat) di lubang yang sama dua kali.”

Namun realiti hari ini, berlaku masalah-masalah alam sekitar seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa buangan secara terus ke laut dan sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan secara berleluasa, menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak terkawal, melakukan pembakaran secara terbuka dan pelbagai aktiviti seumpamanya yang akan memberi kesan jangka masa panjang kepada alam sekitar seperti peningkatan suhu bumi, pencemaran sumber air, pencemaran udara, banjir besar, tanah runtuh, pembakaran hutan, kepupusan flora dan fauna dan perubahan cuaca tidak menentu yang pasti menjejaskan keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan kehidupan manusia

Masyarakat dunia kini mulai bimbang dengan perubahan iklim dunia dan isu pemanasan global. Peningkatan suhu, terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar terjadi akibat banyak gas-gas beracun seperti gas karbon dioksida yang dikeluarkan oleh kenderaan dan kilang-kilang perusahaan terperangkap di atmosfera.

Pertambahan jumlah haba ini menyebabkan suhu panas yang terkumpul pada waktu siang akan menjadikan suhu pada malam hari juga turut meningkat. Keadaan ini kadangkala menyebabkan cuaca melampau, termasuk suhu kedinginan dan kepanasan yang ekstrem.

Sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah dalam surah al-Rum ayat 41:“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Mimbar turut mengaitkan pembangunan persekitaran lestari bersempena dengan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 8 November setiap tahun.

Aspirasi kita semua pada masa hadapan ialah agar bandaraya dan juga bandar-bandar dibangunkan untuk kemudahan semua lapisan masyarakat dan tanpa meminggirkan sesiapa.

Bertemakan Bandar Untuk Semua ke arah memastikan semua penduduk, sama ada generasi sekarang ataupun yang akan datang, dapat tinggal dalam bandar-bandar dengan kawasan penempatan yang selesa, sihat, bersih, mudah bergerak dari satu tempat ke satu tempat, kos kehidupan yang mampu dan hidup sejahtera.

Hasrat ini adalah bagi memelihara kesejahteraan dan meningkatkan kualiti dan keharmonian hidup untuk semua.

Sebagai kesimpulannya bagi mengakhiri bicara ini, beberapa pengajaran yang dapat dipetik daripada intisari khutbah untuk penghayatan bersama-sama iaitu:

Pertama: Manusia yang di amanahkan menjadi khalifah Allah wajib memikul tanggungjawab memakmurkan alam ini sebaik-baiknya.

Kedua: Segala projek pembangunan mestilah dirancang dan dilaksanakan dengan penuh teliti dengan mengambil kira semua aspek.

Ketiga: Pembangunan perlu dilaksanakan secara seimbang dan tuntas melibatkan pembangunan fizikal dan pembangunan insan.

“Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya penghidupan, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.” Surah al-A’raf, ayat 10
Tags: alam sekitar, harmoni, khutbah, lestari, masyarakat
Subscribe

Posts from This Journal “alam sekitar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments