mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Tunaikan Kewajipan Zakat”

Petikan Khutbah Jumaat 30 Nov 2018M /22 Rabi’ul Awwal 1440H:JAIS

“Tunaikan Kewajipan Zakat”.

Zakat merupakan perintah Allah SWT yang difardhukan kepada kita semua. Zakat terbahagi kepada dua jenis, iaitu zakat fitrah dan zakat harta.
jais.jpg
Zakat fitrah atau juga dinamakan sebagai ‘zakat diri’ ditunaikan dalam bulan Ramadhan untuk diri dan orang-orang yang dibawah tanggungannya dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Manakala zakat harta ialah zakat yang dikenakan ke atas harta pendapatan, perniagaan, pertanian, penternakan, emas, perak, wang simpanan, pelaburan yang halal, KWSP dan takaful

Ibadah zakat adalah salah satu rukun Islam yang berperanan penting dalam membela kebajikan umat Islam dan perintah zakat dan solat disebut secara beriringan sebanyak 32 kali dalam Al-quran. Oleh itu, sebagai hamba Allah SWT kita wajib mentaati perintah supaya menunaikan zakat.

Allah SWT menjanjikan ketenangan, kebahagiaan dan keselamatan terhadap hamba-hamba-Nya yang menunaikan zakat dan disamping amalan soleh yang lain akan dimasukkan ke dalam syurga dengan cara yang amat terhormat.

Abu Hurairah dan Abu Said Radhiallahu Anhuma, bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda “Tidaklah orang yang mengerjakan solat yang lima, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menjauhi dosa-dosa besar yang tujuh, melainkan dibukakan baginya pintu-pintu syurga, serta di katakan kepadanya: Dipersilakan masuk dengan selamat sejahteranya.” (Riwayat al-Nasa’i)

Ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT terhadap orang yang berzakat. Antaranya:

1. Allah SWT akan mengurniakan keberkatan dan pertambahan rezeki untuk orang yang menunaikan zakat.

2. Allah SWT akan membersihkan hati orang yang ikhlas menunaikan zakat lalu menjadikan mereka seorang yang prihatin dan pengasih sesama manusia.

3. Orang yang ikhlas berzakat akan dikasihi Allah SWT dan dikasihi oleh semua makhluk di langit dan di bumi.

Orang-orang yang berhak untuk menerima bantuan zakat telahpun ditetapkan oleh Allah SWT kepada lapan golongan sahaja digelar sebagai asnaf.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Taubah, ayat 60: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Rasulullah SAW memberi peringatan terhadap orang yang enggan berzakat dengan ancaman neraka yang amat mengerikan. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah mereka yang memiliki emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakatnya, melainkan akan disediakan baginya pada hari kiamat kelak keping-keping leburan dari api neraka, lalu leburan itu dibakar dalam neraka jahanam, kemudian diselar dengannya rusuknya, dahinya dan belakang badannya”. (Riwayat Muslim).

Berdasarkan kepada rekod kutipan zakat di Lembaga Zakat Selangor, bilangan umat Islam di negeri ini yang menunaikan zakat di LZS pada tahun 2017 adalah sekitar 270,000 orang sahaja sedangkan dianggarkan bilangan umat Islam di Selangor yang layak menunaikan zakat adalah seramai 1.5 juta orang. Ini bermakna umat islam yang menunaikan zakat di LZS hanya 18% sahaja daripada jumlah keseluruhan umat Islam yang layak berzakat.

Pada tahun ini, Lembaga Zakat Selangor telah melantik seramai 1,613 amil kariah yang berkhidmat dibawah pemantauan masjid-masjid di seluruh Negeri Selangor.

Amil-amil Kariah yang dilantik ini menjadi tenaga sokongan kepada pihak LZS bagi memudahkan urusan permohonan bantuan zakat di setiap daerah.

Daripada jumlah tersebut seramai 741 amil kariah diberi kuasa oleh pihak LZS untuk membanci, menyiasat dan mengesyorkan bantuan zakat kepada pihak LZS.

Lembaga Zakat Selangor sentiasa memberi peringatan kepada sesiapa yang tidak layak sebagai asnaf, janganlah mengambil kesempatan untuk menerima pemberian zakat sedangkan diri sendiri mengetahui dia tidak layak untuk menerimanya. Perbuatan ini merupakan suatu yang zalim dan batil.

Nabi SAW memberi ancaman bahawa harta yang bukan hak seseorang itu merupakan bahagian dari api neraka. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah Radhiallahu Anhu beliau berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengambil harta saudaranya dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkan masuk syurga. Lalu ada seorang yang bertanya, Wahai Rasulullah, meskipun hanya sedikit? Beliau menjawab, Meskipun hanya sebatang kayu sugi.” (Riwayat Muslim).

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa zakat adalah merupakan perintah Allah SWT yang difardhukan kepada kita semua untuk ditunaikan sekiranya telah cukup syarat-syaratnya.

2. Umat Islam hendaklah menunaikan kewajipan zakat kerana ganjarannya sangat besar yang Allah sediakan kepada pembayar zakat.

3. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa keengganan mengeluarkan zakat akan mengundang azab yang pedih daripada Allah SWT.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (surah al-Taubah : 34).
Tags: khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments