mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Kanak-Kanak Harapan Negara”

Petikan Khutbah Jumaat: 30 November 2018 / 22 Rabi’ul Awal 1440H JAKIM

“Kanak-Kanak Harapan Negara”

Imam al-Termizi meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda: “Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak ada sifat rahmat (kasih sayang) terhadap golongan kanak-kanak”

jakim.jpgMalaysia sentiasa berusaha gigih dalam memastikan kesejahteraan hidup kanak-kanak di negara ini agar hak-hak mereka sentiasa diberi pengiktirafan selaras dengan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia pada 28 Disember 1994.

Melalui persetujuan penggunaan instrumen antarabangsa itu, Malaysia dari semasa ke semasa sentiasa memastikan kanak-kanak memiliki sewajarnya Hak Untuk Kehidupan, Hak Untuk Perkembangan, Hak Untuk Perlindungan dan Hak Untuk Penyertaan.

Usaha Kerajaan ini pasti kurang membuahkan hasil sekiranya ibu bapa tidak memberi sokongan padu. Ibu bapa perlu berusaha gigih dalam membina potensi diri kanak-kanak dengan memberi didikan yang sebaiknya agar kanak-kanak mampu membuat penilaian sesuatu sama ada ia baik atau sebaliknya.

Ia perlu bermula seawal usia kanak-kanak boleh dididik di rumah agar ia tersemat kemas di dalam hati dan sanubari mereka selaras dengan nasihat Imam al-Syafie yang berbunyi: “Hendaklah kamu (ibu bapa) perbaiki diri dahulu sebelum memperbaiki anakanak, kerana mata mereka sentiasa memerhatikan kamu. Baik dan buruk bagi mereka adalah mengikut penentuan kamu, ajarlah mereka al-Quran (syariat Islam) dan jangan abaikan mereka, nescaya mereka akan terpesong”

Nilai-nilai baik yang perlu dijadikan amalan hidup merupakan apa yang dianjurkan oleh syarak seperti amanah, rajin berusaha dan bercita-cita tinggi.

Manakala nilai-nilai buruk yang perlu dijauhi pula adalah apa yang dilarang oleh syarak untuk didekati seperti khianat, rasuah, malas dan hidup tanpa motivasi.

Rasulullah merupakan suri teladan yang terbaik dalam semua perkara termasuk dalam mendidik kanak-kanak.

Tahap Pertama: Kanak-kanak yang baru lahir sehingga mereka mumayyiz (iaitu dapat membezakan antara perkara baik dan buruk) atau berusia enam tahun; Pada tahap ini, mereka perlu dididik dengan belaian kasih sayang dan gurauan;

Tahap Kedua: Kanak-kanak yang berumur tujuh tahun sehingga mencapai tahap baligh (iaitu telah matang); Pada tahap ini, mereka perlu dididik dengan arahan dan disiplin. Mereka juga perlu diberi tanggungjawab agar mampu dapat dilatih untuk memenuhinya.

Tahap Ketiga: Kanak-kanak yang berumur 15 tahun sehingga mencapai usia dewasa; Pada tahap ini, didiklah mereka dengan menjadikan mereka kawan dan saling bertukar-tukar pandangan. Apa yang diutarakan oleh mereka perlu dihormati selagi mana ia tidak bertentangan dengan Syarak

Kaedah pendidikan kanak-kanak juga perlu bervariasi dan berperingkat, hal ini dijelaskan oleh Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan (علوان ناصح هللا عبد (dalam karyanya yang berjudul Tarbiyatul Aulad fil Islam (Pendidikan Kanak-Kanak Menurut Islam) bahawa antara kaedah mendidik yang efektif ialah Pendidikan Melalui Teladan, Kebiasaan, Nasihat, Pemerhatian dan Hukuman.

Pendidikan Melalui Teladan merupakan kaedah yang paling berkesan kepada kanak-kanak. Ini kerana, apabila kanak-kanak melihat contoh ikutan yang baik pada ibu bapanya, mereka akan mengikut prinsip-prinsip yang baik dan akhlak Islam juga.

Jika ibu bapa ingin melihat anaknya bersifat jujur, amanah, penyayang dan menjauhi perkara batil, maka ibu bapa perlu memberikan contoh yang baik iaitu dengan melakukan kebaikan, menjauhi kejahatan, berakhlak mulia, mengikut kebenaran dan meninggalkan kebatilan.

Pendidikan Melalui Kebiasaan pula ialah melalui pengaruh persekitaran kanak-kanak sama ada mereka akan terus kekal dengan fitrah kelahiran atau sebaliknya. Bagi memastikan kanak-kanak terus membesar dengan fitrah, didikan dengan segala kebiasaan yang baik amat perlu. Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang baik bagi membentuk mereka.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah Bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam). Kemudian kedua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani, atau Majusi”.

Pendidikan Melalui Nasihat pula berupaya membuka minda kanak-kanak terhadap hakikat sesuatu perkara dan mendorong mereka melakukan perkara yang mulia, menghias diri dengan akhlak terpuji serta memahami kepentingan pendidikan Islam.

Nasihat yang berhikmah amat perlu diberikan kepada kanak-kanak dalam mendidik mereka. Gunakanlah variasi teknik nasihat kepada mereka antaranya nasihat melalui cerita; nasihat melalui dialog dan soal jawab; nasihat dengan gurau mesra; nasihat dengan perumpamaan dan lain-lain.

Pendidikan Melalui Pemerhatian yang bermaksud menjejaki, menemani, memerhati dan mengawasi kanak-kanak dalam membentuk akidah, akhlak, psikologi dan sosialnya. Ia dapat dilaksanakan dengan sering bertanya tentang keadaan kanak-kanak dalam aspek jasmani mahupun pencapaian akademik.

Pendidikan seperti ini adalah anatara asas utama untuk melahirkan insan yang seimbang, sempurna dan mampu menunaikan hak kepada yang berhak dalam kehidupannya serta mampu mendorong mereka menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Pendidikan Melalui Hukuman yang hanya boleh dilaksanakan sekiranya kaedah-kaedah lain telah dibuat. Ini kerana dalam mendidik kanakkanak, ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Jika dirasakan sesuatu hukuman mampu menjadi alat mendidik, maka hukuman itu perlu dipastikan tidak akan mencederakan zahir dan batin kanak-kanak. Ini bagi memastikan kanak-kanak agar dapat terus dididik dan tidak lari daripada pendidiknya

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada perjuangan Islam yang didokongi oleh ibu bapa.

Isilah masa kehidupan mereka, termasuklah sepanjang cuti persekolahan yang sudah bermula ini, dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat kepada diri mereka. Semoga dengan itu, Malaysia akan menjadi negara aman dan sentosa bukan sekadar pada hari ini, tetapi insya-Allah akan terus berkekalan selama-lamanya apabila ia telah diwariskan kepada anak-anak kita kelak.

“Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan dengan mereka; zuriat mereka dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (Surah al-Tur : ayat 21)
Tags: harapan, kanak-kanak, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kanak-kanak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments