mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Perpaduan Ummah Asas Kestabilan Institusi Raja"

Petikan Khutbah Jumaat 07 Dis 2018M /29 Rabi’ul Awwal 1440H:JAIS

“Perpaduan Ummah Asas Kestabilan Institusi Raja"

Agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem perundangan di tanah air kita. Islam adalah agama persekutuan dan DYMM Tuanku merupakan Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor.

Institusi Raja merupakan kesinambungan sejarah kepimpinan warisan Negara dan lambang perpaduan ummah.
jais.jpg
Agama Islam sangat menitik beratkan soal perpaduan, terutamanya perpaduan dalam kalangan rakyat dan Islam menolak sebarang bentuk perpecahan, perselisihan dan permusuhan.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari Radhiallahu Anhu:. “Orang mukmin itu bagi mukmin lainnya seperti satu bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Riwayat al-Bukhari)

Perpaduan ummah dapat diambil iktibar dalam sejarah peperangan Badar yang berlaku pada tahun kedua hijrah. Umat Islam yang berjumlah tiga ratus tiga belas orang sahaja mampu menewaskan tentera Musyrikin yang berjumlah seramai seribu orang.

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 25:“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri”.

Semua pihak hendaklah bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka serta saling menghormati antara satu dengan yang lain.

Peribahasa melayu mengatakan bahawa dengan perpaduan, gunung yang tinggi dapat diratakan, begitu juga bersatu teguh bercerai roboh dan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

Ini semua menunjukkan bahawa perpaduan menyebabkan kerja yang berat menjadi ringan dan masalah yang rumit berjaya dirungkai.

Di dalam sejarah Islam, terdapat kerajaan Islam yang telah berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi. Mereka bukan menjatuhkan dua kuasa besar tersebut dengan menggunakan senjata yang lebih canggih daripada senjata musuh-musuh mereka, sebaliknya mereka berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu dengan semangat perpaduan yang berjaya mereka serapkan dalam barisan umat Islam disamping roh jihad yang tersemat kukuh didalam jiwa mereka.

Allah SWT mengingatkan kita akan bahaya perselisihan dan perpecahan menerusi Firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat 46: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

Hubungan mesra antara raja dan rakyat yang sudah sekian lama terjalin ini perlu dikekalkan. Raja merupakan tonggak Bangsa Melayu dan lambang perpaduan masyarakat serta Ketua Agama Islam yang wajar kita pertahankan.

Mengakhiri khutbah hari ini, khatib ingin menyeru dan berpesan kepada sidang Jumaat sekalian beberapa perkara berikut:

1. Umat Islam wajib percaya dan yakin bahawa segala yang diperintah oleh Allah SWT mengandungi kebaikan dan kesejahteraan manusia di dunia hingga ke akhirat.

2. Umat Islam wajib bersatu padu dan mentaati Raja atau ketua dalam perkara yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

3. Umat Islam hendaklah menjauhi segala bentuk perpecahan yang berpunca daripada berhasad dengki, bersangka buruk, mengadu domba, saling memfitnah dan seumpamanya yang akibatnya sangatlah buruk.

“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah Engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Anfal : 62-63).
Tags: khutbah, perpaduan, raja, stabil, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “perpaduan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments