mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Walimatul Urus Yang Diberkati

Petikan Khutbah Jumaat 14 Dis 2018M /06 Rabi’ul Akhir 1440H: JAIS

“Walimatul Urus Yang Diberkati”. 

Walimah dan perkahwinan merupakan satu sunnah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama Islam. Ini berdasarkan daripada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu Anhu, beliau menjelaskan bahawa: Abdul Rahman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji jais.jpgkurma)”. Rasulullah SAW berkata kepada Abdul Rahman: “Adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing.” (Riwayat al-Bukhari).

Walaupun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing, tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan seseorang.

Imam al-Mawardi menjelaskan bahawa, waktu diadakan majlis walimah adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Manakala hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” (Riwayat al-Bukhari).

Abu Hurairah Radhiallahu Anhu beliau berkata bahawa, Rasulullah SAW bersabda: “Dan seseorang yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Riwayat al-Bukhari)

Walau pun begitu, kewajipan menghadiri undangan ke majlis walimah boleh GUGUR sekiranya ada keuzuran, sebagaimana penjelasan berikut:

1. Apabila dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak) dan lain-lain yang memabukkan.

2. Apabila terdapat pengkhususan undangan, di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir.

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan dalam majlis walimah, yang mana di dalam walimah tersebut hanya mengundang orang yang kaya dan tidak mengundang orang fakir.” (Riwayat al-Bukhari)

Digalakkan orang yang mengadakan majlis walimah mengundang orang-orang yang bertakwa, orang-orang yang soleh dan golongan yang memerlukan iaitu fakir dan miskin.

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertakwa.” (Riwayat Abu Daud).

Kita juga disunatkan untuk mendoakan pasangan pengantin dengan kebaikan, keberkatan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis walimah.

Antara doa-doa yang disunatkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana dijelaskan dalam riwayat berikut:

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu beliau berkata, bahawasanya Rasulullah SAW jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, baginda akan berkata: “Semoga Allah memberikan keberkatan kepadamu, memberikan keberkatan ke atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Riwayat Abu Daud)

Kita juga disunatkan untuk mendoakan orang yang mengundang kita untuk hadir ke majlis walimah tersebut sebagaimana Rasulullah SAW mendoakan untuk Abdullah bin Busr Radhiallahu Anhu dan keluarganya apabila selesai jamuan: “Ya Allah, berkatilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Riwayat Muslim).

Kita juga dianjurkan untuk mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Riwayat Abu Daud).

Perkara sunnah lain dalam majlis walimah ialah dengan memberi hadiah dan membantu melaksanakan majlis walimah. Hadis daripada Anas Radhiallahu Anhu beliau berkata: Setelah Nabi SAW menikahi Sofiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).” (Riwayat al-Bukhari).

Untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah, khatib ingin mengingatkan agar majlis walimah terpelihara daripada perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam. Antaranya dinyatakan sebagai contoh:

1. Pengantin dan keluarga tidak menutup aurat dengan sempurna seperti memakai pakaian yang jarang, ketat dan terbelah.

2. Bersolek berlebihan seperti mencukur kening dan mengenakan wangian yang berlebihan.

3. Bersalam-salaman dengan yang bukan mahram.

4. Pembaziran dalam mengambil makanan.

5. Nyanyian dan muzik yang melalaikan dan keterlaluan.

6. Meninggalkan solat kerana terlalu sibuk dan lalai dengan majlis walimah.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian agar menghayati perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa suruhan dan tegahan Allah adalah sesuatu yang wajib dipatuhi.

2. Umat Islam hendaklah memastikan segala aktiviti walimah hendaklah menepati hukum syarak.

3. Umat Islam hendaklah mengeratkan hubungan silaturrahim melalui pelaksanaan majlis walimah.

4. Umat Islam hendaklah menjaga adab dan akhlak ketika menghadiri majlis walimah agar lebih prihatin dalam berpakaian, pengambilan makanan dan pergaulan.

“Oleh itu, hendaklah Engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepada-Mu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan”. (Hud : 112)
Tags: berkati, khutbah, walimah, walimatulurus
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments