mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Arak Ibu Segala Maksiat”

Petikan Khutbah Jumaat 28 Dis 2018M /20 Rabi’ul Akhir 1440H:  JAIS

“Arak Ibu Segala Maksiat”.

Antara larangan yang wajib dipatuhi oleh kita sebagai seorang Muslim adalah larangan meminum arak.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 90 tadi bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, jais.jpgdan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Arak adalah apa sahaja minuman yang menyebabkan peminumnya mabuk dan hilang pertimbangan akal.

Apabila akal tidak dapat berfungsi dengan baik untuk mengawal pergerakan dan perbuatan manusia, maka ia sangat terdedah kepada perlakuan negatif dan buruk.

Kerana itulah, arak disebut sebagai ibu segala maksiat.

Berdasarkan beberapa kajian, keburukan meminum arak telah terbukti. Antaranya:

1. Kajian menunjukkan bahawa terdapat hubung-kait yang ketara antara ketagihan arak oleh suami atau isteri yang mengakibatkan keganasan rumahtangga terhadap pasangan masing-masing.

2. Kajian juga menunjukkan bahawa kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol telah menyumbang kepada banyak kes kemalangan maut.

3. Dalam kes yang berlaku pada bulan September 2018 yang lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seramai 19 individu maut selepas meminum arak yang mengandungi metanol, manakala 23 lain masih dirawat di hospital termasuk 14 daripadanya dalam keadaan kritikal.

Diriwayatkan daripada al-Haris dia mendengar Saidina Osman Radhiallahu Anhu berkata yang bermaksud:“Jauhilah arak. Sesungguhnya ia adalah ibu segala maksiat. Dahulu ada seorang lelaki yang banyak beribadah. Lalu seorang perempuan jalang telah tertarik kepadanya. Dia menghantar seorang hamba perempuan untuk menjemputnya. Hamba itu berkata: “Kami mahu menjemput engkau untuk menjadi saksi.” Lalu dia pun bersetuju dan pergi mengikut hamba itu. Bila sampai, dia memasuki beberapa pintu yang ditutup satu demi satu. Kemudian dia bertemu dengan seorang wanita cantik. Di sebelahnya ada seorang kanak-kanak dan sebekas arak. Wanita itu berkata: “Demi Allah! Aku menjemputmu bukan untuk menjadi saksi. Aku menjemputmu agar engkau bersetubuh denganku, atau engkau minum arak ini, atau engkau bunuh kanak-kanak ini.” Abid itu berkata: “Berilah aku minum arak ini segelas.” Lalu dia diberi minum segelas. Kemudian katanya lagi: “Tambahkanlah untukku.” Dia tidak berhenti minum sehingga akhirnya dia berzina dengan wanita itu dan membunuh pula. Oleh itu, jauhilah arak. Demi Allah! Sesungguhnya iman dan ketagihan arak tidak dapat duduk bersama melainkan salah satunya akan menyebabkan hilangnya yang satu lagi.”

Demi memelihara akal dan kemaslahatan masyarakat, Islam melarang keras perbuatan meminum arak dengan ancaman hukuman yang berat.

Peminum arak yang disabitkan kesalahan akan dikenakan sebatan hudud sebanyak 40 kali.

Selain itu, ibadah orang yang meminum arak tidak diterima Allah.

Hadis daripada Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meminum arak, maka ibadah solatnya tidak diterima selama 40 malam. Jika dia bertaubat, maka Allah menerima taubatnya. Jika dia mengulanginya lagi, maka menjadi hak Allah untuk memberinya minum air nanah.” (Riwayat Ahmad).

Sesungguhnya larangan berkaitan arak tidak terbatas kepada meminumnya sahaja, bahkan orang-orang yang terlibat dengan urusan arak juga akan dilaknat oleh Allah dan berdosa besar.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, yang meminta agar ia diperah, penghantar dan penerimanya”. (Riwayat Abu Daud).

Walaupun pelbagai peringatan dan ancaman daripada Allah dan RasulNya telah dinyatakan, malangnya masih terdapat orang yang menganggap bahawa arak adalah minuman yang berprestij tinggi dan sebagai satu kebanggaan.

Kesemua ini adalah tipudaya syaitan yang mahu menyesatkan dan merosakkan umat manusia. Oleh itu, kita hendaklah sedar bahawa masih banyak sumber rezeki yang halal telah disediakan oleh Allah SWT di muka bumi ini.

Sesungguhnya, orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah, akan dijanjikan rezeki dan jalan keluar bagi segala masalahnya

Di Negeri Selangor, umat Islam adalah tertakluk dan terikat dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai satu kesalahan jenayah syariah yang melibatkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali melalui Enakmen di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2).

Islam mengharamkan arak dan segala minuman yang memabukkan sama ada ia banyak ataupun sedikit walaupun dianggap sebagai ubat namun ia tetap diharamkan.

Hadis daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Barang yang memabukkan bila banyak, maka sedikit pun menjadi haram juga.” (Riwayat al-Tirmizi).

Mengakhiri khutbah hari ini, dapatlah kita simpulkan beberapa taujihat dan panduan yang perlu diamalkan:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa segala larangan Allah itu wajib dijauhi.

2. Umat Islam hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dengan semua urusan berkaitan arak.

3. Umat Islam hendaklah menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat agar terhindar daripada bala dan murka Allah SWT terutama sekali dalam pada keseronokan kita menyambut tahun baru dalam beberapa hari lagi agar kita dapat meraikannya dengan alunan zikir dan bacaan al-Quran di samping menanam azam yang kuat untuk berjaya dengan cemerlang lagi pada tahun 2018 nanti.

Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan dan keselamatan di penghujung tahun 2018 ini.

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?.” (Surah al-Ma’idah : 91)
Tags: arak, khutbah, maksiat
Subscribe

Posts from This Journal “arak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments