mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Tahun Berubah, Berubahkah Kita"

Petikan Khutbah Jumaat 04 Jan 2018M /27 Rabi’ul Akhir 1440H: JAIS

“Tahun Berubah, Berubahkah Kita"

Hadis daripada Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Terdapat dua nikmat yang yang ramai manusia rugi padanya, iaitu nikmat sihat dan masa lapang”. (Riwayat al-Bukhari).

Semoga kedua-dua nikmat tersebut tidak merugikan kita, tetapi di manfaatkan untuk mencari seberapa banyak bekalan yang akan dibawa bertemu Pencipta. Semoga hari-hari yang mendatang ini dapat memberi faedah kepada kehidupan kita semua.
jais.jpg
Beberapa panduan bagaimana untuk memulakan perubahan dalam diri agar azam yang ditetapkan dapat dicapai dengan berkesan untuk diambil tindakan

PERTAMA; MUHASABAH DIRI Kita hendaklah menilai sejauh mana pencapaian dan tanggungjawab diri kita terhadap Allah. Adakah meningkat atau menurun prestasi amalan, kualiti keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya.

Allah SWT mengingatkan kita melalui Firman-Nya dalam surah al-Hasyr ayat 18:“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.”

KEDUA; BERAZAM Kita perlulah meletakan azam untuk menambah baik kehidupan setiap masa semata-mata kerana Allah SWT. Sebagai individu muslim, marilah kita berazam untuk meraih seberapa banyak ganjaran dan keredhaan Allah SWT.

Tanamkanlah azam yang baik semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

KETIGA; PERANCANGAN Setiap azam yang telah di tetapkan, hendaklah di susuli dengan perancangan yang teratur termasuk strategi atau pendekatan yang di gunakan serta sumber untuk menggerakkannya supaya memberi impak yang terbaik. Setiap perancangan yang dilaksanakan itu, hendaklah menepati syariat Allah SWT.

Hadis daripada Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhuma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:“Tidaklah beriman salah seorang dari kalian sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang telah aku bawa.” (Riwayat al-Baihaqi)

KEEMPAT; PELAKSANAAN Sesuatu perkara yang telah dirancang hendaklah di laksanakan dengan bersungguh-sungguh sehingga kita berjaya mencapai cita-cita atau azam yang telah di tetapkan. Islam memandang berat kepada umatnya yang tidak melaksanakan apa yang di perkatakannya.

Firman Allah SWT dalam surah As-soff ayat 2 hingga 3:“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

Setelah kita berazam dan merancang, tidak sepatutnya kita bertangguh melaksanakan sesuatu perkara yang membawa kepada kebaikan seperti solat, taubat, sedekah dan urusan-urusan harian. Ini kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku sesaat di hadapan kita.

AKHIRNYA YANG KELIMA; ISTIQAMAH Untuk mengekalkan sesuatu yang telah kita miliki, pasti akan mendepani pelbagai cabaran.

Justeru, khatib ingin mengajak umat Islam agar sentiasa istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada perintah Allah serta kesabaran dalam meninggalkan larangan-Nya. Sentiasalah berdoa semoga kita akan terus istiqamah terhadap perubahan ke arah kebaikan dan sentiasa memperolehi petunjuk Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 112:“Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepada-Mu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan.

Sebuah hadis daripada Abu Amr Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Aku pernah bertanya: Wahai Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan dalam islam yang aku tidak akan bertanya lagi kepada orang lain selain Engkau. Nabi SAW menjawab : katakanlah aku telah beriman kepada Allah dan kemudian istiqamalah” (Riwayat Muslim).


Mengakhiri khutbah minggu ini, khatib ingin berpesan dan menyeru agar kita mengambil pengajaran seperti berikut;

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa tujuan hidup di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan seterusnya mendapat ganjaran syurga di akhirat kelak.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa bermuhasabah dan berazam untuk melakukan penambahbaikan setiap masa dan bukannya ketika tahun baharu sahaja.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa istiqamah dalam melakukan perkara-perkara kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.” (Surah al-Fussilat : 46).
Tags: berubah, khutbah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments