mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Jauhi Sengketa Bahagia Bersama

Petikan Khutbah Jumaat : 4 Januari 2019M/27 Rabiulakhir 1440H JAWI

Jauhi Sengketa Bahagia Bersama

Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 22:“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan".

jawi_logo.jpgSebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tarmizi daripada Abu Musa al-Ash‘ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menciptakan Adam AS daripada satu genggaman tanah yang diambil daripada tanah-tanah seluruh bumi, maka anak keturunan Adam lahir sesuai dengan kadar atau jenis tanah bumi, lalu ada di antara mereka yang berkulit merah, putih serta hitam dan ada di antara mereka yang bersifat lembut, kasar, buruk dan baik”.

Ayat al-Quran dan hadis ini menjelaskan bahawa kewujudan manusia itu terdiri dari pelbagai aspek sama ada keturunan, bahasa dan budaya. Bahkan wujud pelbagai watak yang membezakan antara seseorang dengan yang lain.

Sesungguhnya, kepelbagaian adalah satu keistimewaan dan kekuatan apabila saling menampung antara satu sama lain dan saling melengkapkan.

Tanpa nilai persefahaman, hormatmenghormati dan kasih sayang mana mungkin keharmonian bagi sebuah masyarakat dengan pelbagai latar belakang dapat diwujudkan.

Justeru, hakikat kepelbagaian manusia merupakan sesuatu yang mesti diterima dan diraikan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan kepercayaan.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2018, jumlah warganegara Malaysia dianggarkan seramai 29.06 juta penduduk iaitu 20.07 juta Bumiputra, 6.69 juta Cina, 2.01 juta India dan 0.29 juta lain-lain bangsa.

Sikap toleransi yang diamalkan semenjak kemerdekaan adalah kunci utama keharmonian Malaysia.

Dengan pelbagai bangsa dan agama, setiap anggota masyarakat berperanan penting bagi memastikan perpaduan dapat dicapai.

Setiap anggota masyarakat perlu meraikan aspek-aspek perbezaan yang wujud. Perkara-perkara seperti adat, ritual dan kepercayaan perlu difahami dengan baik dan dihormati.

Masyarakat yang harmoni hanya dapat dilahirkan jika kita memahami antara satu sama lain tanpa wujud prasangka atau perselisihan yang boleh menimbulkan konflik atau sengketa.

Bagi menjaga keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara, perkaraperkara berikut perlu diberikan perhatian:

Pertama: Taaruf iaitu saling berkenalan. Kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini menuntut setiap anggota masyarakat untuk saling kenal mengenali.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)"

Kedua: Tafahum iaitu saling memahami. Tabiat manusia yang sentiasa berbeza pendapat dan sering berbalah menjelaskan lagi keperluan untuk saling faham memahami.

Jauhi punca persengketaan seperti taksub, angkuh dan mementingkan diri sendiri. Fahamilah perbezaan nilai, maka akan wujud persefahaman, hormat-menghormati, kerjasama dan bertolak ansur.

Ketiga: Ta’awun iaitu saling membantu. Apabila anggota masyarakat saling kenal mengenali dan saling faham memahami maka mereka akan saling bantu membantu dan berkasih sayang.

Sesungguhnya sikap saling bantu-membantu ke arah kebaikan dan takwa adalah perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 2:“Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)"

Apa yang berlaku di negara-negara yang masih bergolak seperti Iraq, Syria, Myanmar dan lain-lain seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua.

Kita seharusnya berhati-hati dalam meneliti sebarang propaganda, prasangka atau berita yang diterima tentang sesuatu kaum, agama dan sebagainya.

Jauhilah perkara-perkara yang mengundang perselisihan serta perbalahan dan serulah kepada perpaduan dan kedamaian. Ingatlah bahawa seorang Muslim itu ialah mereka yang menjaga tutur kata, lidah dan tangannya.

Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ass RA.Huma:“Seorang Muslim ialah orang yang menyelamatkan kaum muslimin dari kejahatan lisan dan tangannya.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini. Marilah kita menghayati beberapa kesimpulan:

Pertama: Manusia secara semula jadi dilahirkan dengan pelbagai warna kulit, bangsa, bahasa dan watak.

Kedua: Manusia dengan perbezaan agama, keturunan, bahasa dan budaya dituntut untuk saling kenal mengenali, faham memahami dan hormat-menghormati.

Ketiga: Perpaduan yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum, bangsa dan agama dapat mewujudkan keharmonian dan kestabilan negara.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 118-119: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk tujuan (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".
Tags: bahagia, khutbah, sengketa
Subscribe

Posts from This Journal “sengketa” Tag

  • Sengketa menantu, mertua

    TERLALU berat hati untuknya pulang ke kampung kali ini. Selama ini Lina hanya mendiamkan diri dan memendam rasa. Namun Lina cuba pujuk hati.…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments