mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Membudayakan Hidup Dengan al-Quran”

Khutbah Jumaat 18 Jan 2019M /05 Jumad al-Ula 1440H:  JAIS

“Membudayakan Hidup Dengan al-Quran”

Al-Quran merupakan kitab agung umat Islam yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Membacanya dikira ibadah dan beramal dengan segala hukum di dalamnya adalah satu kewajipan.

jais.jpgDaripada Ibnu Mas’ud Radhiallahu Anhu berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu sama dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf. Tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Riwayat Al-Tirmidzi).

Begitulah besarnya pahala yang dijanjikan kepada orang yang membaca al-Quran. Apatah lagi kepada orang yang menghafaz al-Quran. Namun mimbar pada hari ini ingin mengajak para hadirin untuk bermuhasabah.

Berapakah bilangan ayat al-Quran yang kita baca dalam sehari semalam? Dan bilakah kali terakhir kita mengkhatamkan bacaan alQuran?

Beruntunglah orang-orang yang membaca al-Quran pada setiap hari. Berbahagialah mereka yang menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan harian. Maka rugilah orang yang tidak mengamalkan al-Quran dalam kehidupannya malah lebih rugi lagi jika ada yang masih tidak tahu membaca al-Quran serta mengabaikannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 89 hingga 91: “Dan katakanlah: “Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar)”. (Kami berikan kepadamu al-Fatihah dan alQuran) samalah seperti Kami menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi. (Iaitu) mereka yang menjadikan al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain).

Apa yang berlaku sekarang ini terdapat segelintir individu yang sering memberikan alasan sibuk dan tiada masa untuk membaca al-Quran, sebaliknya sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya melayan media-media sosial seperti facebook, whatsapp, Instagram dan lain-lain.

Lebih malang lagi ada segelintir masyarakat yang sikapnya suka mempertikaikan amalan membaca al-Quran pada malam-malam tertentu.

Dalam usaha untuk membudayakan pembacaan al-Quran dalam kehidupan ini, janganlah kita berasa rendah diri sekiranya tidak mahir membaca al-Quran. Sebaliknya kita mestilah sentiasa mencari ruang untuk mempelajari al-Quran dan ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya.

Bahkan amalan bertadarrus al-Quran adalah antara salah satu ruang yang terbaik untuk kita memperbaiki kesalahan dan meningkatkan kualiti bacaan al-Quran kita.

Saidatina Aisyah Radhiallahu Anha meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir membacanya, dia bersama dengan para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca alQuran dengan tergagap-gagap (tidak mahir) serta sukar membacanya, baginya dua pahala. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Firman Allah SWT dalam surah Fathir ayat 29:“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.”

Membudayakan bacaan al-Quran dari sudut membacanya, memahami maknanya dan beramal dengan segala isi kandungannya. Hal ini perlu dimulakan dari rumah, sekolah dan berterusan ke tempat-tempat kerja. Begitu juga dalam organisasi-organisasi dan pertubuhan-pertubuhan belia, kerajaan mahupun swasta.

Budaya bertilawah dan bertadarrus al-Quran yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat perlu diteruskan. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak mahir membaca al-Quran dengan mengajar mereka atau menghantar ke kelas-kelas pengajian al-Quran.

Untuk meneruskan pembudayaan tilawah al-Quran dalam kehidupan, kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan majlis tilawah al-Quran peringkat Negeri Selangor yang akan berlangung pada 22-25 Januari 2019 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sma kita hayati beberapa perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran adalah peraturan hidup yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia.

2. Umat Islam hendaklah menjadikan al-Quran itu panduan hidup dengan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungannya.

3. Umat Islam hendaklah takut kepada ancaman dan amaran Allah SWT jika menjauhi dan meninggalkan al-Quran.

“Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” (Surah al-Furqan : 30).
Tags: al-quran, khutbah, kitab, quran
Subscribe

Posts from This Journal “al-quran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments