mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Keharmonian Hidup Dalam Masyarakat Majmuk”.

Petikan Khutbah Jumaat : 25 Jan 2019M / 19 Jumad al- Ula 1440H JAIS

“Keharmonian Hidup Dalam Masyarakat Majmuk”. 

Sesungguhnya kepelbagaian bangsa dan cara hidup, perbezaan pandangan dan pertembungan budaya antara manusia adalah fitrah kejadian manusia.
jais.jpg
Ia perlu ditadbir dan diurus dengan cara yang bijaksana. Inilah cabaran yang amat besar yang sekiranya gagal dipelihara akan mencetuskan perbalahan dan peperangan.

Kepelbagaian bangsa dan budaya itu sebenarnya penting untuk memakmurkan bumi ini. Apabila digabungkan dengan semangat, saling bantu-membantu, bertoleransi dan saling menyumbang ke arah kejayaan negara, maka kehidupan manusia akan aman dan sejahtera.

Allah SWT mengingatkan kita supaya hidup di atas bumi secara harmoni, tolong-menolong, hormat-menghormati dan meraikan perbezaan.

Agama Islam melarang sesama manusia membezabezakan sesama kita berdasar kepada bangsa, keturunan dan warna kulit. Sebaliknya Islam menilai kemuliaan manusia adalah berdasar kepada tahap keimanan dan ketaqwaan mereka di sisi Allah SWT.

Ini dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13:“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Sesungguhnya perbezaan kaum dan bangsa di kalangan manusia bukan halangan untuk hidup bersatu-padu. Islam menegaskan perbezaan itu adalah hakikat yang wajib diterima dan dilihat secara positif.

Setiap ciptaan Allah SWT ada hikmah dan kebaikannya. Apa yang penting kepelbagaian kaum dan perbezaan budaya ini perlulah diurus dengan bijak secara berhikmah sesuai dengan tabiat manusia yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Islam meggariskan beberapa kaedah untuk mempercepatkan hubungan dan perpaduan. Antaranya adalah:

Pertama: Kita hendaklah mengenali titik persamaan dan menjaga sempadan pertikaian apabila adanya perbezaan.

Kedua: Kita hendaklah menjadi individu yang memulakan budaya senyum dan menyebarkan salam kepada sesiapa sahaja orang yang kita temui. Ia merupakan kalimah istimewa yang dituntut untuk disebar-luaskan oleh Islam yang cintakan kedamaian dan keharmonian.

Itulah nasihat Nabi SAW kepada kaum Ansar dan Muhajirin ketika baginda mula-mula sampai di Madinah seperti yang telah dinyatakan oleh Abdullah bin Salam Radhiallahu Anhu yang bermaksud: “Ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, orang ramai segera pergi menuju kepada baginda (kerana ingin melihatnya). Ada yang mengatakan: Rasulullah SAW telah datang, lalu aku mendatanginya ditengah-tengah orang ramai untuk melihatnya. Ketika aku melihat wajah Rasulullah SAW aku tahu bahawa wajahnya bukanlah wajah seorang pembohong. Nasihat pertama yang baginda ucapkan adalah, “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat al-Tirmizi).

Allah SWT menegaskan bahawa keharmonian hanya dapat diwujudkan apabila kepimpinan negara iltizam dengan keadilan dan kesaksamaan yang diajarkan oleh Islam..

Allah SWT berfirman dalam Surah Al- Maidah, ayat 8:“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Allah SWT memerintahkan kita untuk bersifat belas ihsan dan berperikemanusiaan terhadap manusia yang lemah dan memerlukan bantuan.

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib menyeru dan mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa penciptaan pelbagai bangsa dan etnik menunjukkan kebesaran Allah untuk saling mengenali antara satu sama lain.

2. Umat Islam hendaklah saling hormat-menghormati walaupun hidup dalam kalangan pelbagai bangsa untuk mewujudkan keharmonian hidup.

3. Umat Islam wajib berusaha menyebar luaskan kebenaran Islam dan keadilannya kepada semua warga masyarakat yang terdiri daripada berbagai keturunan dan suku bangsa.

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Surah Saba’ : 28).
Tags: harmoni, khutbah, majmuk
Subscribe

Posts from This Journal “harmoni” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments