mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Ku Sangka Intan Rupanya Kaca

Petikan Khutbah Jumaat Feb 2019M / 03 Jumada al-Akhirah 1440H: JAIS

Ku Sangka Intan Rupanya Kaca

Kita bersyukur kepada Allah SWT, dengan kemakmuran yang di kurniakan-Nya kepada negeri kita ini maka ramai yang berhijrah dari luar negeri datang untuk mencari rezeki di sini.
jais.jpg
Namun yang membimbangkan kita, sebahagian kecil daripada mereka turut mengambil kesempatan membawa dan menyebarkan ajaran-ajaran sesat kepada penduduk tempatan.

Sikap mereka ini tak ubah seperti pepatah Melayu ada menyatakan “sambil menyelam minum air”.

Terdapat sumber rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor telah melaporkan bahawa terdapat 45 kumpulan telah diwartakan sebagai ajaran salah dan menyeleweng telah dapat dikesan beroperasi di negeri ini.

Antara kumpulan sesat yang telah dikesan ialah:

1. Ahmadiah atau Qadiani yang telah difatwakan sebagai bukan Islam, kumpulan ini berasal dari Qadyan, Punjab India. Beberapa institusi negara Islam telah mengharamkan kumpulan ini. Darul Ifta‟ Mesir (2017) dan Darul Ifta‟ Jordan (2009) masing-masing telah mengeluarkan fatwa bahawa Qadyani terkeluar daripada Islam. Fatwa tentang kumpulan ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan telah diwartakan sejak 24 September 1998.

2. Syiah yang kadang-kadang menggunakan nama yang mengaburi mata seperti Ahlul Bait dan Tentera Imam Mahdi dan lain-lain.

3. Hizbut Tahrir yang telah diharamkan oleh beberapa buah negara termasuk Turki, Arab Saudi, Mesir, Libya, Yaman serta Jordan dan lain-lain Negara Islam. Kumpulan ini juga telah difatwakan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, dan telah diwartakan pada 11 September 2015

4. Millah Abraham yang juga dikenali sebagai kumpulan Negara Islam Indonesia, Kumpulan Pemuda Kahfi, Addin dan lain-lain. Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengharamkannya dengan mewartakannya pada 17 September 2015. Isu ini telah diangkat ke atas mimbar-mimbar masjid di Negeri Selangor melalui pembacaan khutbah jumaat Jabatan Agama Islam Selangor pada 9 Oktober 2015.

5. Islam Jamaah. Kumpulan ini sering menukar-nukar nama kepada nama-nama yang lain seperti Lembaga Karyawan Indonesia (Lemkari), Pengajian Manqul, Jamaah Hadis, Lembaga Dakwah Islamiah Indonesia dan lain-lain lagi. Ini adalah bertujuan untuk mengaburi mata orang-orang awam dan penguasa agama setempat. Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mengharamkannya dan fatwa tersebut telah diwartakan pada 24 September 1998

Di samping itu terdapat juga ajaran-ajaran sesat yang direka oleh orang-orang tempatan seperti Jamaah Kerajaan Langit, Rasul Melayu, Al-Arqam, Tuhan Harun, Zikir nafas ajaran Ismail Kasim dan lain-lain.

Ada juga ajaran-ajaran ekstrim dan sesat yang diimport dari negara tertentu seperti fahaman Wahhabi, Mujassimah dan Takfiri.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pula telah memfatwakan bahawa perkara khilafiah tidak boleh dihukum sebagai bid‟ah. Fatwa ini telah diwartakan pada 31 Julai 2014.

Bukan itu sahaja, malahan pemikiran Liberalisme dan Pluralisme agama juga telah difatwakan dan diwartakan pada 31 Julai 2014 sebagai sesat dan menyeleweng.

Khatib menyeru agar setiap kita melengkapkan ilmu aqidah atau ilmu usuluddin yang lurus dan jelas supaya kita dapat membezakan yang mana tulen dan yang mana palsu.

Sesungguhnya kesesatan itu boleh saja berlaku jika seseorang itu jahil, lalai dan tidak peduli dengan soal-soal yang berkaitan dengan agama khususnya soal akidah.

Marilah berpegang kepada panduan-panduan berikut:

Pertama: Bahawa tiada tuhan yang layak disembah dengan sebenarnya melainkan Allah. Dia mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang tiada suatu pun yang menyamainya. Maha suci Dia dari sifat-sifat yang menyerupai makhluk seperti tangan, kaki, mata dan wajah. Dia tidak datang dan pergi, tidak turun dan naik bahkan Dia tidak duduk di suatu tempat.

Kedua: Bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Nabi dan Rasul yang akhir, jelasnya tiada Nabi lagi selepas Baginda. Dakwaan adanya Nabi selepas Baginda adalah sesat dan bercanggah dengan Akidah Islamiah.

Ketiga: Al-Quran yang di tangan umat Islam sekarang ini telah lengkap dan tidak ada satu ayat pun yang disorokkan, bukan seperti dakwaan sesetengah pihak. Sesiapa dalam kalangan orang Islam yang membuat dakwaan seperti itu maka rosaklah akidahnya, wal „iyazubillah.

Allah berfirman dalam surah al-An‟am ayat 153:“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Akhirnya marilah kita menelusuri kandungan khutbah ini serta mengambil pengajaran yang terkandung di dalamnya:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa hanya dengan aqidah yang benar seseorang boleh selamat di dunia dan akhirat.

2. Umat Islam wajib mempelajari asas-asas ilmu fardhu ain terutama yang berkaitan dengan akidah dan ibadah, seterusnya diperkukuhkan dengan penghayatan yang sempurna.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa mendampingi dan merujuk kepada guru-guru agama yang bertauliah dan mengelakkan diri dari merujuk kepada sebarang orang yang tidak diketahui keilmuannya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Cukuplah Allah menjadi saksi (yang mengetahui perkara yang berbangkit) antaraku dengan kamu; ia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi. Dan mereka yang percaya kepada perkara yang salah dan tidak percaya kepada Allah, mereka itulah orangorang yang rugi.” (al-Ankabut : 52).
Tags: ajaran, khutbah, sesat
Subscribe

Posts from This Journal “ajaran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments