mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Islam Agama Kedamaian

Petikan Khutbah Jumaat 22 Mac 2019M/ 15 Rejab 1440H JAWI

Islam Agama Kedamaian

Marilah kita mengambil iktibar dengan peristiwa hitam yang berlaku di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Christchurch New Zealand baru-baru ini berpunca daripada salah faham terhadap Islam. Sesungguhnya tindakan yang dilakukan oleh pengganas tersebut sangat jawi_logo.jpgkejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sebagai muslim yang saling bersaudara, inilah masanya kita menzahirkan keprihatinan, kebersamaan dan solidariti. Sesungguhnya Allah SWT sahaja yang mengetahui hikmah di sebalik peristiwa hitam ini.

Islam terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Muslim memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka bahkan Islam mengajar kita supaya berhikmah dalam berdakwah.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Anfal ayat 61:“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana Negara Malaysia aman, damai dan harmoni. Kita dapat menikmati kemakmuran dan keselesaan. Kerajaan sentiasa berusaha memastikan kemakmuran dan keamanan Negara sentiasa terpelihara.

Sesungguhnya Islam agama yang mencintai kedamaian. Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman dan sebagainya. Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan Negara mahupun dunia.

Firman Allah SWT di dalam surah Fussilat, ayat 34:“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ass RA.Huma:“Seorang Muslim ialah orang yang menyelamatkan kaum muslimin dari kejahatan lisan dan tangannya.”

Kewujudan pelbagai agama, kaum dan bangsa tidak menjadi penghalang untuk kita hidup dengan aman dan harmoni. Pelbagai kaum dan bangsa serta keturunan dengan pegangan agama masing-masing dapat membentuk masyarakat yang saling bertolak ansur.

Firman Allah SWT di dalam surah alHujurat ayat 13:“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Nikmat keamanan dan keselamatan yang kita nikmati hari ini juga adalah jasa anggota keselamatan. Kita amat berterima kasih kepada Polis Di Raja Malaysia yang sentiasa berusaha memelihara keamanan dan kedamaian negara kita.

Justeru, mengambil kesempatan bersempena Sambutan Hari Polis yang ke212 pada 25 Mac setiap tahun, ucapan syabas dan tahniah kepada PDRM.

Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam amat mementingkan keadilan ditegakkan dan mengembalikan hak-hak golongan yang dizalimi serta teraniaya.

Bagi menjaga keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara, perkaraperkara yang perlu difahami oleh setiap masyarakat ialah konsep taaruf iaitu saling berkenalan antara kaum dan etnik di negara ini, tafahum iaitu saling memahami dan ta’awun iaitu saling membantu sebagai tanda kasih sayang.

Mengakhiri khutbah pada hari ini. Marilah kita menghayati beberapa kesimpulan:

Pertama: Islam sebagai agama perdamaian dan kasih sayang sentiasa meraikan keharmonian dalam kepelbagaian kaum, bangsa dan agama.

Kedua: Manusia dengan perbezaan agama, keturunan, bahasa dan budaya dituntut untuk saling kenal mengenali, faham memahami dan hormatmenghormati.

Ketiga: Perpaduan yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum, bangsa dan agama dapat mewujudkan keharmonian dan kestabilan negara.

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 118-119:“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk tujuan (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)"
Tags: kedamaian, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kedamaian” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments