mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Menyingkap Keagungan Tuhan

Petikan Khutbah Jumaat  29 Mac 2019M/ 22 Rejab 1440H JAWI

HARI JURUUKUR SEDUNIA

Menyingkap Keagungan Tuhan

Ilmu Falak merupakan salah satu manifestasi pencapaian keagungan ilmu dalam tamadun Islam. Ia merupakan khazanah silam ulama’ terdahulu yang masih kita warisi hingga kini.

jawi_logo.jpgIslam mementingkan penguasaan ilmu pengetahuan kepada umatnya dalam meningkatkan kualiti kehidupan manusia.  Sejarah telah menunjukkan bahawa umat Islam pernah mencapai kegemilangan dalam penguasaan ilmu bukan sahaja berkaitan ilmu akhirat, malah ilmu-ilmu keduniaan yang lain seperti perubatan, fizik, sains, matematik, falak dan lain-lain. Antara tokoh yang masyhur ialah Abu Abdillah Muhammad bin Musa al-Khawarizmi.

Ilmu falak telah lama diterokai dan dikuasai oleh umat Islam mendahului bangsa eropah.Yakinlah bahawa ilmu falak adalah salah satu cabang ilmu yang sangat penting kepada manusia.

Perkara ini bertitik tolak daripada firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 96 hingga 97: Bermaksud: “Allah jualah yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya).Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah yang maha kuasa lagi maha
mengetahui. Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.”

Secara umumnya Ilmu Falak bolehlah disamakan dengan Astronomi iaitu ilmu yang mengkaji hal ehwal bintang. Lebih dari itu ilmu falak adalah suatu ilmu yang mengkaji tentang peredaran objek-objek di langit termasuk juga bumi, bulan dan matahari.

Peredaran objek-objek langit tersebut digunakan untuk menentukan waktu solat, arah kiblat, gerhana bulan dan matahari serta penentuan awal bulan. Meskipun ilmu ini berkaitan kajian tentang alam sekeliling, namun ia tetap mempunyai kaitan rapat dengan ibadah seseorang kepada Allah SWT.

Umum dalam kalangan masyarakat memahami ilmu falak hanya dilihat berkaitan dengan detik melihat anak bulan untuk mengesahkan kedatangan Ramadan dan Syawal.

Bagaimanapun, peranan ilmu falak sebenarnya adalah lebih luas kerana ia turut menyediakan alamat, petanda dan petunjuk bagi
menghadapi fenomena alam yang sentiasa berubah-ubah termasuk cuaca serta pertukaran musim yang perlu dimanfaatkan manusia.

Kemahiran dalam menguasai ilmu ini juga menjadikan manusia lebih bersedia dalam segenap hal kerana ilmu falak membicarakan dua perkara penting untuk diteliti, iaitu masa dan tempat.

Ia membolehkan kerja-kerja yang berkaitan dengan cuaca, musim, pergerakan angin, taburan hujan dan lain-lain dapat dilaksanakan mengikut masa dan tempat yang bersesuaian, bukan dilaksanakan sepanjang tahun.

Dalam riwayat Imam Muslim r.h., daripada Abu Musa al-Ash’ari RA, beliau menceritakan pernah suatu hari Nabi SAW memandang ke langit, lalu Bgainda SAW bersabda: Bermaksud: “Bintang-bintang itu adalah amanah bagi langit, apabila bintang-bintang itu hilang, maka langit akan didatangi apa yang dijanjikan (kiamat). Aku adalah amanah bagi sahabat-sahabatku, apabila aku telah pergi, maka
sahabat-sahabatku akan didatangi dengan apa yang dijanjikan (fitnah dan peperangan). Para sahabatku adalah amanah bagi ummatku, apabila para sahabatku telah tiada, maka akan datang kepada ummatku apa yang dijanjikan (bid’ah dan fitnah).”

Isu adakah bumi itu datar atau berbentuk telah diungkit kembali. Isu silam ini sengaja diketengahkan kepada masyarakat dengan tidak didasari bukti-bukti yang kukuh.

Di negara kita, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah mengaplikasikan asas ini dengan mengambil kira, bumi berbentuk sfera berputar pada paksinya, bulan mengelilingi bumi di atas orbitnya dan bumi mengelilingi matahari di atas orbitnya.

Usaha-usaha menganjurkan seminar ilmu falak, forum-forum, wacana ilmu yang berkaitan dengannya wajar dipuji, disokong dirancakkan lagi khususnya.

Program-program sedemikian dianjurkan bertujuan meningkatkan kemahiran, pengurusan dan pengedalian falak syar’i khususnya selain menyebarluas akan peri pentingnya mempelajari ilmu falak ini kepada masyarakat awam.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kita hendaklah memahami bahawa ilmu falak adalah salah satu ilmu yang menjadi bukti kebesaran Allah SWT dan bertujuan memperkukuh iman kepadaNya.

Kedua: Ilmu Falak membolehkan umat Islam memperhalusi waktu untuk menunaikan sesuatu ibadah seperti solat, puasa, haji dan hari raya.

Ketiga: Umat Islam hendaklah mengkaji dan mengusai ilmu ini supaya ia tidak hilang ditelan zaman selain kita dapat menangkis salah tanggap dan kekeliruan yang timbul akibat kejahilan berkaitannya.


Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar, ayat 5 : Bermaksud : “Dia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar, Dia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya), dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah yang maha kuasa, lagi yang sentiasa mengampuni.”
Tags: agung, khutbah, tuhan
Subscribe

Posts from This Journal “tuhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments