mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Mukjizat Israk Dan Mikraj Melangkaui Teknologi

Petikan Khutbah Jumaat 12 April 2019M/ 6 Syaaban1440H

Mukjizat Israk Dan Mikraj Melangkaui Teknologi

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah SWT yang diperlihatkan kepada hamba-Nya. Tanpa iman yang kukuh di hati sudah tentu amat sukar untuk diterima akan kebenarannya.
jakim.jpg
Peristiwa Israk sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah di dalam Surah al-Israk, ayat pertama: Yang bermaksud, “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan( Kami, Sesungguhnya Dia adalah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.

Allah SWT telah merakamkan peristiwa Mikraj ketika baginda naik ke langit menerusi firman-Nya dalam Surah al-Najm, ayat 13–18:''Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril (dalam bentuknya yang asal) pada waktu yang lain (iaitu) di Sidratul Muntaha. Berhampiran dengannya terdapat syurga sebagai tempat tinggal. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang sangat agung''.

Pperistiwa Israk dan Mikraj benar-benar dilalui oleh Rasulullah SAW dengan roh dan jasad baginda, dalam keadaan sedar atau bukan hanya igauan mimpi semata-mata.

Justeru, kita wajib menyakini dengan sepenuh hati bahawa israk dan mikraj adalah benar-benar berlaku kepada Baginda SAW.

Sayyidina Abu Bakar R.A tampil ke hadapan membenarkan perkhabaran baginda Rasulullah SAW. Beliau R.A berkata:“Ya, sesungguhnya aku mempercayainya lebih jauh daripada itu, aku mempercayainya tentang berita dari langit”.

Abu Salamah berkata: “Dengan sebab peristiwa inilah digelarkan Abu Bakar dengan gelaran al-Siddiq radhi Allah ‘anhu”.

Ibn Mas'ud meriwayatkan bahawa setelah selesai pembedahan yang dilakukan oleh Jibril Alaihis salam, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah SAW dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan Israk. Binatang ini dinamakan Buraq kerana ketangkasannya yang diumpamakan seperti al-barq (kilat).

Tidak syak lagi, perjalanan israk dan mikraj adalah perjalanan tauhid dan memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan Allah yang tiada tolok bandingnya. Allah taala berfirman dalam Surah An-Najm, ayat 1 “Sesungguhnya dia (Muhammad) telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang sangat agung''.

Justeru, janganlah kita bersikap angkuh dan sombong dengan kemajuan yang kita kecapi pada hari ini padahal ia adalah satu nilai yang sangat kecil di sisi Allah taala.

Bahkan kita wajar berasa rendah diri dan tawaduk dengan kekuasaan Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sudah tentu israk dan Mikraj merupakan peristiwa yang mengandungi mesej penting dalam setiap detik yang dialami oleh Rasulullah SAW.

Antaranya:

Pertama : Penyucian zahir dan batin

Kedua : Sentiasa taat kepada Allah

Ketiga : Masjid sebagai syiar Islam.

Keempat : Islam agama semua para Nabi.

Kelima : Kewajipan Menjauhi Riba

Sempena sambutan Hari Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ke 47, kita selaku pengguna mahupun peniaga bertanggungjawab memastikan aktiviti jual beli bebas daripada riba, gharar, khianat dan penipuan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mutaffifin ayat 1-3 :Bermaksud: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

Antara kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari ini adalah seperti berikut:

Pertama: Peristiwa Israk dan mikraj merupakan anugerah Allah kepada Rasulullah SAW sebagai mukjizat agung dan menjadi dalil kebenaran baginda.

Kedua: Yakinlah sejauh mana kemajuan sains dan teknologi yang dicipta manusia tidak akan mampu menandingi kekuasaan Allah termasuk mukjizat yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW.

Ketiga: Kita wajib beriman dengan kebenaran peristiwa ini dan menghayati segala intipati yang terkandung di dalamnya sebagai ibrah, ilmu dan panduan hidup kita. Firman Allah di dalam surah Ali Imran, ayat 190-191:“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”.
Tags: israk, khutbah, mikraj, mukjizat
Subscribe

Posts from This Journal “mukjizat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments