mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Kewajipan Memilih Pekerjaan Yang Halal”

Petikan Khutbah Jumaat 26 April 2019M / 20 Syaaban 1440H: JAIS

“Kewajipan Memilih Pekerjaan Yang Halal”.

Islam amat menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha mencari rezeki sebagai memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kehidupan di dunia ini.
jais.jpgFirman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 105:“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”

Bekerja mencari rezeki adalah sesuatu yang disukai oleh Allah SWT.

Melalui hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar Radiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya Allah mencintai seorang Mukmin yang giat bekerja”

Allah SWT. akan persoalkan satu demi satu semua pekerjaan yang mereka lakukan di dunia ini.

Hadis daripada Ibnu Mas’ud Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tidak akan bergerak kaki seorang manusia dari sisi Allah pada hari kiamat (nanti), sampai dia ditanya tentang lima (perkara): tentang umurnya, untuk apa dihabiskan?. Tentang masa mudanya, untuk apa digunakan? Hartanya, dari mana diperoleh dan kemana dibelanjakan? Ilmunya, bagaimana dia amalkan ilmunya?”. (Riwayat al-Tirmizi).

Syariat Islam telah membahagikan jenis pekerjaan kepada dua bahagian iaitu pekerjaan yang halal dan pekerjaan yang haram.

Menurut Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi bahawa perkara yang halal itu ialah setiap perkara yang diharuskan dan diberi keizinan oleh syarak untuk melakukannya.

Manakala perkara yang haram pula ialah yang ditegah oleh syarak kerana ia akan mendapat balasan buruk di akhirat, bahkan ada kalanya di dunia ini lagi.

Janganlah kita hanya memikirkan keuntungan duniawi semata-mata, sedangkan pada hakikatnya keuntungan yang kita perolehi itu tidak membawa sebarang keberkatan bahkan sebaliknya akan mendatangkan bencana pula di hari akhirat kelak.

Hadis oleh Abu Hurairah Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Akan datang satu zaman ke atas umatku di mana seseorang itu tidak peduli apa yang diusahakannya sama ada daripada yang halal atau pun haram”. (Riwayat al-Bukhari).

Allah SWT tidak akan melepaskan hamba-Nya daripada seksaan di hari akhirat kelak sekiranya harta benda yang dimilikinya ketika di dunia ini terhasil daripada pekerjaan yang tidak halal.

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Rasulullah SAW telah melaknat sepuluh golongan yg terlibat dengan arak, orang yang memerah arak, orang yang diminta arak diperah untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya, orang yang memberi minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak, orang yang meminta dibelikan arak untuknya”. (Riwayat al-Tirmizi).

Hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah Radiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:“Tidak akan masuk syurga tubuh badan yang membesar dengan sumber yang haram, maka nerakalah lebih baik baginya”. (Riwayat al-Hakim).

Sesungguhnya pekerjaan yang halal dan baik itu akan mendapat ganjaran yang baik daripada Allah SWT. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah sebagai suatu dorongan kepada umat Islam agar memilih pekerjaan yang halal dan diredhai Allah SWT.

Antara ganjaran tersebut adalah:

1. Kita akan mendapat penghidupan yang baik dan diberkati oleh Allah SWT.

Firman-Nya dalam surah Al-Nahl ayat 97 sebagaimana yang disebut di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”.

2. Kita juga akan diberikan kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT apabila bertemu dengan-Nya di hari akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 75:“Dan sesiapa yang datang kepada-Nya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempattempat tinggal yang tinggi darjatnya”.

3. Ganjaran besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambaNya yang melakukan pekerjaan-pekerjaan yang baik ialah penghidupan di syurga berserta rezeki yang melimpah-ruah.

Frman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 40 yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya, dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga; mereka beroleh rezeki di dalam syurga itu dengan tidak terhitung”.

Mengambil pengajaran daripada khutbah pada hari ini sebagai panduan kita bersama adalah:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa memilih pekerjaan yang halal adalah satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT.

2. Umat Islam wajib berusaha meninggalkan segala pekerjaan dan sumber pendapatan yang haram.

3. Umat Islam wajib mencari rezeki dengan cara yang halal lagi baik dan diniatkan sebagai ibadah kepada Allah SWT.

“Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (al-Baqarah : 168)
Tags: khutbah, pekerjaan
Subscribe

Posts from This Journal “pekerjaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments