mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Ramadan Dirai, Pembaziran Dihindari

Petikan Khutbah Jumaat 26 April 2019M/ 20 Syaaban 1440H JAWI

Ramadan Dirai, Pembaziran Dihindari

Bulan Sya’aban telah pun memasuki ke hari-hari terakhirnya.

Tidak lama lagi kita akan bertemu dengan penghulu segala bulan, iaitu Ramadhan al=Mibarak.
jawi_logo.jpg
Bulan yang memiliki pelbagai kemuliaan, dijanjikan gandaan ganjaran, dilimpahi keberkatan, rahmat serta keampunan.

Kedatangan bulan Ramadhan adalah hadiah dan nikmat yang terbesar bagi umat Islam.

Ramadan adalah bulan kita mengekang hawa nafsu dan runtunan selera, tetapi di bulan inilah pembaziran dan sikap berlebih-lebihan seolah-olah menjadi kebiasaan.
Sepatutnya Ramadan mendidik manusia bersikap bersederhana, jimat cermat dan tidak melampaui batas.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ayat 26 dan 27 yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”


Menurut Ibn Kathir r.h, dikaitkan amalan membazir dengan syaitan kerana keingkaran kepada nikmat yang telah diberikan Allah kepadanya serta tidak mahu mengerjakan amal ketaatan kepada-Nya, bahkan membalasnya dengan perbuatan derhaka dan melanggar perintah-Nya.


Pembaziran juga memberi kesan terhadap alam sekitar. Hakikatnya pencemaran alam sekitar berpunca daripada amalan pembaziran yang berleluasa. Makanan yang berlebihan yang tidak dimakan dibuang begitu sahaja.


Bersederhana dalam berbelanja amat dituntut dalam Islam dan ia hendaklah dilakukan mengikut keperluan yang secukupnya tanpa dipengaruhi hawa nafsu.


Firman Allah SWT menerusi surah al-Furqan, ayat 67: Bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”


Bersederhana dalam berbelanja akan menyumbang kepada kecekapan dan kecukupan dalam memenuhi keperluan seharian.Tiada pembaziran, tiada pencemaran alam sekitar.


Gejala pembaziran itu hakikatnya sangat luas dan sebahagian besarnya kita tidak sedari antaranya ialah pembaziran masa, ilmu, amalan, harta, hati, tubuh badan dan akal.


Pembaziran ilmu berlaku jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.


Pembaziran amalan berlaku jika ia dilakukan dengan hati yang tidak ikhlas kerana Allah SWT.


Pembaziran harta berlaku jika ia dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah SWT.


Pembaziran Hati berlaku jika ia kosong daripada perasaan kasih dan cinta kepada Allah SWT.


Pembaziran tubuh badan berlaku jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah SWT.


Pembaziran akal berlaku jika ia tidak digunakan untuk memikirkan sesuatu yang bermakna kepada Islam.


Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi r.h daripada ‘Ali bin Husain RA, Rasulullah SAW telah bersabda:“Sesungguhnya di antara (tanda) baiknya Islam seseorang adalah dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”


Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Perbuatan membazir berpunca daripada hawa nafsu yang tidak dikawal dan ia adalah perbuatan yang dicela oleh Islam.


Kedua: Sebagai umat Islam, kita diseru memberi tumpuan utama kepada ibadah dalam bulan Ramadan, sederhana ketika berbelanja dan mengelakkan sebarang pembaziran.


Ketiga: Hayati dan fahami gejala pembaziran masa, ilmu, amalan, harta, hati, tubuh badan dan akal supaya kita dapat menjadi muslim yang sebenar.


Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid, ayat Bermaksud : “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah) mereka tetap beroleh pahala yang besar.”
Tags: bazir, khutbah, pembaziran, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments