mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Ramadhan Yang Dinanti”

Petikan Khutbah Jumaat 03 Mei 2019M / 27 Syaaban 1440H: JAIS

“Ramadhan Yang Dinanti”

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat agung. Pada bulan ini diwajibkan ke atas semua umat Islam supaya berpuasa.

jais.jpgFirman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 381 yang dibaca di awal khutbah ini bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Dalam bulan Ramadhan, pelbagai ganjaran yang luar biasa diberikan kepada umat Islam yang berpuasa dan melaksanakan segala kewajipan.

Malah melakukan amalan-amalan sunat juga akan memperolehi ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Hadis nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Setiap amalan anak Adam dilipat gandakan pahalanya. Satu kebaikan pahalanya menyamai sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Azza wa Jalla berfirman, kecuali puasa, kerana puasa itu adalah untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberi pahalanya, kerana orang berpuasa telah meninggalkan syahwat dan makannya kerana-Ku.” (Riwayat Muslim).

Persediaan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan Ramadhan yang dinanti.

Antaranya ialah dengan mempersiapkan kekuatan rohani, jasmani dan juga emosi serta ilmu pengetahuan untuk menghadapi ibadah puasa.

Melaksanakan ibadah puasa dan ibadah yang lainnya dengan keikhlasan hati dan menepati syarak.

Persiapkan diri dengan amal soleh dalam menyambut Ramadhan kerana pintu syurga dibuka seluas-luasnya untuk semua manusia berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Apabila telah datang awal malam bulan Ramadhan, diikatlah syaitan dan jin, ditutup pintu-pintu neraka, tidak ada satu pintu-pintu yang dibuka dan dibukalah pintu-pintu syurga, tidak ada satu pintu yang tertutup, lalu terdengarlah seruan; “Wahai orang yang ingin kebaikan maka lakukanlah, wahai orang yang ingin kejahatan maka kurangilah. Dan di sisi Allah terdapat senarai orang-orang yang dibebaskan dari neraka, dan begitulah terjadi pada setiap malam (Ramadhan).” (Riwayat al-Tirmizi).

Kita hendaklah sentiasa memperbaharui taubat terutamanya pada saat menanti kedatangan Ramadhan.

Hadis daripada Anas bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap keturunan Adam itu banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang bertaubat.” (Riwayat at-Tirmizi).

Lakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh dipenuhi dengan rasa keimanan yang tinggi.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari Allah, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Marilah sama-sama kita tumpukan perhatian sepenuhnya kepada persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan supaya kita dapat menjalani ibadah puasa dengan yakin dan sempurna, antaranya:

1. Bolehkah seseorang itu berniat puasa Ramadhan sekali sahaja untuk sebulan penuh? Jawapannya boleh, iaitu bertaklid kepada Mazhab Maliki dengan syarat diniatkan hanya pada malam pertama Ramadhan sahaja untuk menampung sekiranya terlupa niat pada malam-malam lain

Walau bagaimanapun niat puasa masih wajib dilakukan pada setiap malam Ramadhan.

2. Apakah hukum puasa seseorang yang tidak mahu bersahur dengan alasan ia mampu berpuasa tanpa sahur?. Puasanya sah tetapi tidak mendapat fadhilat dan barakah bersahur seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

3. Batalkah puasa seseorang yang menjalani rawatan Hemodialysis (cuci darah)?. Batal, tetapi wajib qada’ puasanya jika mampu. Sekiranya ia tidak mampu qada’ maka hendaklah ia membayar fidyah.

4. Bolehkah orang yang berpuasa menyediakan atau menjual makanan kepada orang yang tidak berpuasa tanpa uzur?. Tidak boleh dan berdosa, kerana perbuatan itu dikira sebagai bersubahat membantu orang yang melanggar perintah Allah.

5. Bolehkah meneruskan makan sahur jika tiba-tiba terdengar azan subuh ?. Tidak boleh dan mesti berhenti makan sahur, kerana telah mula waktu berpuasa.

6. Berapakah bilangan rakaat Solat Sunat Tarawih menurut Mazhab Syafie ?. Dua puluh (20) rakaat.

7. Adakah batal puasa orang yang menyucuk insulin pada bawah kulit perutnya? Jawapannya tidak batal.

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, marilah kita bersama-sama menghayati beberapa pedoman berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa ibadah puasa merupakan kewajipan dan perintah daripada Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan amal soleh sebagai persediaan awal untuk mengharungi bulan Ramadhan yang akan datang tidak lama lagi.

3. Umat Islam hendaklah menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan ibadah dengan berlumba-lumba melakukan kebaikan serta memohon keampunan, bukannya pesta makanan yang membawa kepada pembaziran.

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (ali Imran : 133).
Tags: khutbah, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments