mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Rahmat Ramadan

Petikan Khutbah Jumaat  10 Mei 2019M/ 5 Ramadan 1440H JAWI

Rahmat Ramadan

Rasulullah SAW di saat tibanya Ramadan menyampaikan khabar gembira sebagaimana riwayat al-Nasa’i daripada Abu Hurairah RA: “Telah datang menemui kalian bulan Ramadan yang diberkati, Allah Azzawajalla (Yang Maha Agung) mewajibkan kalian berpuasa jawi_logo.jpg(pada bulan) Ramadan. Dibuka padanya (bulan Ramadan) pintu-pintu langit, ditutup padanya pintu-pintu neraka dan dibelenggu padanya syaitan-syaitan durjana. Di sisi Allah SWT pada bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Siapa yang terhalang daripada mendapatkan kebaikannya, maka sesungguhnya dia terhalang (daripada mendapatkan kebaikannya yang banyak)”

Ramadan merupakan bulan berkat, bulan rahmat dan bulan keampunan. Ramadan adalah bulan al-Quran, bulan ibadah dan bulan takwa.

Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan hakikat Ramadan dengan berkata: “Bagaimana tidak bergembira seorang Mukmin (apabila tibanya Ramadan) dengan terbukanya pintu-pintu syurga? Bagaimana tidak bergembira seorang pendosa dengan tertutupnya pintu-pintu neraka? Bagaimana tidak bergembira seorang yang berakal dengan waktu yang padanya dibelenggu syaitan-syaitan (durjana)? Adakah waktu lain yang menyerupai waktu ini?”

Bulan Ramadan yang ditangisi pemergiaannya dan dirindui serta dinantikan kehadirannya ini perlu disambut dengan penuh persediaan. Bulan yang penuh rahmat, berkat dan keistimewaan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap Mukmin.

Antara persediaan utama yang seharusnya diusahakan ialah:

Pertama: Mewujudkan niat yang baik, suci dan ikhlas dalam menghidupkan Ramadan dengan pelbagai amal ibadah seperti niat taubat dalam mensucikan diri, niat mengkhatamkan al-Quran dengan tadabbur, niat memperbanyakkan amalan soleh, niat melaksanakan kebaikan kepada manusia dan sebagainya. Sesungguhnya niat merupakan pemula kepada setiap amalan. Apabila niat baik nescaya amalan yang menurutinya adalah baik.

Kedua: Menyambut Ramadan dengan semangat serta azam yang baru iaitu Ramadan dianggap sebagai titik permulaan dalam membentuk diri sebagai Mukmin yang patuh mentaati Allah SWT, menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Ketiga: Mewujudkan suasana gembira menyambut Ramadan dalam keluarga dan masyarakat dengan persiapan yang sebaiknya seperti mengemas kediaman atau ruang ibadah, menyiapkan pakaian kelengkapan ibadah, mengulangkaji hukum-hakam puasa dan sebagainya. Suasana yang baik sangat mempengaruhi ahli keluarga dan masyarakat dengan perkara-perkara yang baik.

Keempat: Merancang aktiviti Ramadan dengan sasaran tertentu seperti solat tarawih, khatam al-Quran, berzakat, bersedekah dan sebagainya. Perancangan yang dibuat mestilah mengambil kira untuk menjadikan Ramadan kali ini adalah yang terbaik dari yang sebelumnya

Kelima: Berdoa kepada Allah SWT agar diberikan hidayah serta dipermudahkan segala yang dirancang. Antara doanya ialah doa yang pernah dipesan oleh Rasulullah SAW kepada Muaz bin Jabal RA. Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku wasiatkan kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau tinggalkan di setiap akhir salat untuk mengucapkan: "Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah sebaiknya kepada-Mu”.

Ibn Majah meriwayatkan daripada Abdullah bin Salam RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, sebarkan salam, berikan makan, sambungkan silaturahim, solatlah waktu malam di saat manusia lain sedang tidur, nescaya kalian akan masuk Syurga dengan sejahtera (aman, makmur, senang dan tenteram)”

Ini adalah sebahagian amalan yang membawa ke syurga. Empat amalan membawa ke Syurga dalam hadis di atas boleh dilatih sewaktu bulan Ramadan seterusnya konsisten dilaksanakan selepasnya iaitu:

Pertama: Sebaran salam merupakan asas kebaikan dalam hubungan sesama manusia. Salam adalah benih menimbulkan kemesraan dan kasih sayang.

Kedua: Pemberian makan adalah merupakan asas kasih sayang dalam hubungan sesama manusia. Sama ada makanan tersebut diberikan kepada yang memerlukan, jiran tetangga, keluarga, sahabat, kenalan dan sebagainya. Memberikan makanan adalah hadiah dan Rasulullah SAW sangat menganjurkannya kerana ianya dapat mewujudkan perasaan kasih sayang.

Ketiga: Menghubungkan silaturahim merupakan asas yang mempertautkan hubungan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga, kerabat atau sanak saudara

Keempat: Solat waktu malam di saat manusia lain sedang tidur adalah pentanda hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Sesungguhnya hamba yang cintai Allah SWT adalah mereka yang bangun di dalam hari mendekati dirinya kepada Allah SWT. Semoga kita dapat menghidupkan malam-malam di bulan Ramadan ini dengan amal ibadah iaitu sekurang-kurang solat tarawih serta witir dengan sempurna.

Mimbar juga mengembil kesempatan untuk mengingatkan sidang jemaah supaya berazam untuk meninggalkan tabiat merokok yang merosakkan. Kita hendaklah menyokong kempen Kementerian Kesihatan Malaysia sempena Hari Tanpa Tembakau melalui program Nafas Baru Bulan Ramadan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa kesimpulan:

Pertama: Ramadan merupakan anugerah yang sangat berharga bagi setiap Mukmin dengan pelbagai keistimewaan dan ganjaran yang dijanjikan.

Kedua: Ramadan perlu dilalui dengan penuh persediaan, azam dan tindakan yang sebaiknya. Perancangan dan sasaran yang baik membuahkan hasil yang baik dan mengelakkan pembaziran.

Ketiga: Sebaran salam, pemberian makanan, menghubungkan silaturahim dan solat malam merupakan sebahagian amalan yang dapat dilatih sepanjang Ramadan seterusnya dilaksanakan secara konsisten pada bulan-bulan yang lain.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 138 : Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas kaum-kaum terdahulu sebelum kamu, mudah-mudahan kamu memperolehi ketaqwaan”.
Tags: khutbah, rahmat, ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments