mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Al-Quran Dihayati, Ummah Diberkati

Petikan Khutbah Jumaat 17 Mei 2019M/ 12 Ramadan 1440H JAWI

Al-Quran Dihayati, Ummah Diberkati

AL-Quran adalah kitab agung umat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Kehebatan al-Quran tiada tandingannya sehingga tiada manusia yang berupaya untuk mencipta setanding dengannya walau pun beberapa ayat pendek.
jawi_logo.jpg
Penurunan al-Quran kepada manusia merupakan satu rahmat yang amat besar. Kita dituntut untuk membaca dan mengamalkan isi kandungan al-Quran supaya kita boleh menjadikannya sebagai rujukan asas dalam menjalani kehidupan seharian.
Allah berfirman dalam surah al-Nahl ayat 89:Bermaksud: “Dan Kami turunkan kepada kamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang Islam.”

Alunan al- Quran melalui kelas pengajian Tarannum, kelas Tajwid, tafsir al-Quran dan sebagainya memberi gambaran bahawa usaha-usaha menghayati al-Quran sentiasa dilaksanakan.

Sebagai mukmin, kita dituntut untuk menghayati dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan kita serta ahli keluarga dengan menggiatkan beberapa usaha, antaranya:

Pertama: Sentiasalah melazimi membaca al-Quran.

Ibnu Hibban meriwayatkan daripada Abu Zar RA bahawa Nabi SAW berpesan kepadanya dengan bersabda: Bermaksud: “Kamu wajib melazimkan dirimu membaca Al-Quran kerana ia adalah cahaya untuk kamu di bumi dan perbendaharaan untuk kamu di langit.”

Allah SWT dan RasulNya telah memberikan jaminan syafaat yang begitu banyak hanya dengan membaca al-Quran. Renungkanlah hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Umamah al-Bahili RA bahawa Nabi SAW bersabda: Bermaksud : “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”

Kedua: Fahamilah al-Quran.
Al-Quran mengandungi ilmu dan petunjuk dalam pelbagai ilmu seperti tauhid, hukum-hakam, syariat, kisah bangsa-bangsa terdahulu, sains dan banyak lagi.

Firman Allah SWT dalam surah Saad ayat 29: "(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. "

Ketiga: Amalkan al-Quran.


Kita perlu menekuni kisah-kisah, hukum hakam dan mengambil ibrah serta pengajaran daripada al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Jadikan al-Quran tempat rujukan utama dalam menghadapi segala kesulitan dan permasalahan. Nescaya
agama dan kehidupan kita akan terpandu dan menjamin maqasid al-Syariah.

Keempat : Aplikasikan tuntutan al-Quran dalam interaksi sosial.


Allah SWT telah memberi panduan dan pengajaran kepada kita melalui al-Quran supaya perbezaan-perbezaan tersebut dapat diharmonikan.

Al-Quran sangat mementingkan aspek persaudaraan, perdamaian, kebersamaan, tolak ansur, tolong-menolong, belas kasihan dan sebagainya. Malah, al-Quran juga mendidik manusia supaya menghindari daripada perpecahan, perbalahan, kezaliman, diskriminasi, perbuatan khianat, dengki dan lain-lain.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu,(bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Ramadan adalah bulan terbaik untuk kita lebih mendekati al-Quran. Inilah masanya kita berusaha untuk mengkhatamkan al-Quran dengan cara dan kaedah yang sesuai seperti mengambil masa selepas solat fardhu untuk membaca al-Quran sekurang-kurang empat halaman al-Quran.

Mengakhiri khutbahmarilah kita menghayati beberapa kesimpulan bersempena dengan peristiwa Nuzul Al-Quran sebagai pedoman untuk menghidupkan Ramadan, antaranya:
Pertama : Penurunan al-Quran merupakan anugerah agung dari Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan seluruh umat baginda yang menjadi rahmat kepada sekalian alam.
Kedua : Kita hendaklah membudayakan pembacaan dan pemahaman al-Quran. Yakinlah bahawa al-Quran adalah petunjuk dalam kehidupan muslim.
Ketiga : Yakinlah, jika kita mentadabbur dan mengamalkan al-Quran, pasti al-Quran akan menjadi syafaat kepada kita di akhirat kelak.


Firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 1 : “Alif, Lam, Ra. Ini adalah kitab (al-Quran) Kami turunkan kepada kamu (Muhammad) supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka
ke jalan Allah yang Maha Kuasa Lagi Amat Terpuji .”
Tags: al-quran, berkati, khutbah, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “al-quran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments