mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Al-Qadar, Malam Impian

Petikan Khutbah Jumaat 24 Mei 2019M/ 19 Ramadan 1440H JAWI

Al-Qadar, Malam Impian

Ramadan kian menuju pengakhirannya yang pasti akan dirindui oleh orangorang yang beriman. Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa berbanding bulan-bulan Islam lain kerana kelebihan dan keunikannya.
jawi_logo.jpg
Bulan ini adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat Allah SWT. Di dalamnya ada satu malam yang cukup istimewa dan sangat ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman iaitu Lailatulqadar.

Lailatulqadar atau malam Al-Qadr disebut sebagai satu malam yang cukup istimewa kerana ia dinamakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan mengkhususkan satu surah yang dinamakan surah Al-Qadr.

Firman Allah SWT : Bermaksud:”Sesungguhnya kami telah menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan. (Pada malam tersebut) para Malaikat dan Al-Ruh  (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar.”

Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana al-Quran telah diturunkan pada malam berkenaan.

Pada malam itu Allah SWT mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Para Malaikat turut turun bersama-sama membawa berkat dan rahmat Allah SWT yang dikhaskan untuk malam ini. Selain itu, al-Qadr juga membawa maksud “penetapan”.

Ingatlah, sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan bahawa sesiapa yang beribadah bertepatan dengan malam qadar, maka akan diberi ganjaran pahala amalan mereka itu melebihi ibadah yang dilakukan selama 1,000 bulan.

Begitulah sifat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Justeru Al-Qadr ini merupakan satu anugerah tidak ternilai yang dikurniakan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Jika dihitung, seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Ini bermakna satu malam ini sahaja adalah lebih baik daripada seluruh usia kehidupan kita.

Meskipun terdapat banyak pandangan ulama dalam menentukan bilakah malam yang tepat berlakunya Al-Qadr seperti malam ke 27 dan malam ganjil pada 10 malam terakhir, namun janganlah kita terlalu berkira-kira dan hanya bersungguh-sungguh beribadah pada satu malam tertentu sahaja.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW sendiri beriltizam dan bersungguh-sungguh mengejar malam Al-Qadar sebagaimana Hadith daripada Saidatina Aisyah RA melalui riwayat Imam Al-Bukhari Rahimahullah : Maksudnya: “Nabi SAW apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah.”

Kesungguhan baginda SAW digambarkan lagi dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH juga daripada Aisyah RA :Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah bersama kita hayati pengajaran yang boleh kita jadikan renungan :

Pertama : Bulan Ramadan adalah satu bulan mulia yang amat istimewa, dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Muhammad SAW

Kedua : Lailatul qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan adalah bukti kasih sayang Allah SWT kepada hambanya

Ketiga : Tiada jalan mudah untuk mencapai sesuatu kejayaan khususnya mengejar malam impian Al-Qadr melainkan dengan beramal secara bersungguh-sungguh dan istiqamah.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur ayat 52 : Bermaksud : “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.”
Tags: khutbah, lailatul qadar
Subscribe

Posts from This Journal “lailatul qadar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments