mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Zakat Fitrah Pelengkap Ramadan”

Petikan Khutbah Jumaat 31 Mei 2019M / 26 Ramadan 1440H: JAIS

“Zakat Fitrah Pelengkap Ramadan”.

Zakat fitrah ialah kewajipan yang diperintahkan Allah SWT kepada seluruh umat Islam. Hadis daripada Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma bahawa beliau berkata:“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadan dengan kadar satu jais.jpggantang daripada tamar atau satu gantang daripada gandum ke atas setiap yang merdeka dan hamba, lelaki dan perempuan di kalangan orang-orang Islam.” (Riwayat al-Bukhari).

Zakat fitrah adalah wajib ditunaikan sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah seperti berikut:

a. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

b. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.

c. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.

d. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan iaitu malam hari raya.

Melalui zakat fitrah yang ditunaikan, Allah SWT menjanjikan keampunan dan penyucian dari perbuatan dosa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa.

Hadis daripada Abdullah Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma beliau berkata: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah itu sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan dari perkataan yang keji dan untuk memberi makan orang miskin. Sesiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (Aidilfitri), maka ia adalah zakat yang di terima dan sesiapa yang mengeluarkannya sesudah solat (Aidilfitri), maka ia dinilai sebagai satu sedekah dari sedekah-sedekah biasa.” (Riwayat Abu Daud).

Ibadah Zakat fitrah yang kita tunaikan akan dapat menggembirakan hati asnaf fakir dan miskin dalam menjalani kehidupan di bulan Ramadan lebih-lebih lagi kegembiraan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti umat Islam yang lain sepertimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya, sedangkan amal yang paling dicintai oleh Allah adalah kebahagiaan yang engkau berikan kepada diri seorang muslim atau engkau menghilangkan kesulitannya atau engkau melunasi hutangnya atau membebaskannya dari kelaparan.” (Riwayat al-Tabrani)

Berdasarkan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, bayaran zakat fitrah pada tahun ini ialah sebanyak RM7.00 seorang.

Walau bagaimanapun, umat Islam amat digalakkan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan oleh diri dan keluarga.

Galakkan membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri Radhiallahu Anhu:“Sesungguhnya kami di zaman Rasulullah SAW mengeluarkan zakat fitrah satu gantang daripada makanan yang dimakan dan makanan kami adalah barli, kismis, keju dan kurma.” (Riwayat al-Bukhari).

Pada tahun ini, seramai 2,800 orang penolong Amil Zakat Fitrah telah ditauliahkan oleh Lembaga Zakat Selangor untuk membuat kutipan zakat fitrah di seluruh Negeri Selangor.

Oleh itu, pastikan tuan-tuan menunaikan zakat fitrah melalui penolong amil zakat fitrah yang bertauliah sahaja demi memastikan pengurusan zakat tuan-tuan dapat diagihkan dengan sempurna kepada asnaf-asnaf yang berkelayakan.

Hasil usaha gigih para penolong amil zakat fitrah ini bersama Lembaga Zakat Selangor, pada tahun lalu (2018) lebih RM25 juta telah berjaya dikutip. Peningkatan sebanyak 7.35% berbanding tahun 2017 lalu. Ini pastinya didorong oleh kesedaran umat Islam terhadap kewajipan menunaikan zakat.

Pihak masjid dan surau telah membuka kaunter pembayaran zakat fitrah sejak dari awal sehingga ke akhir Ramadan ini bagi memastikan tuan-tuan semua dapat melunaskan kewajipan zakat fitrah ini.

Disamping itu juga, Lembaga Zakat Selangor telah meningkatkan kemudahan pembayaran zakat fitrah dengan memperkenalkan pembayaran zakat fitrah melalui Aplikasi Mobile.

Aplikasi mudah ini disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor kepada para penolong amil fitrah yang terpilih di seluruh masjid dan surau Negeri Selangor.

Selain itu, kemudahan-kemudahan pembayaran zakat fitrah juga turut disediakan seperti kaunter-kaunter cawangan Lembaga Zakat Selangor, kaunter bergerak, kaunter di Universiti awam dan swasta, ejen bank, pos, perbankan internet dan lain-lain lagi.

Mengakhiri khutbah pada kali ini, khatib mengajak seluruh umat Islam supaya menghayati beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:

1. Umat Islam wajib menunaikan zakat fitrah kerana ia adalah perintah yang difardhukan oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam.

2. Umat Islam hendaklah segera menunaikan zakat fitrah supaya dapat menggembirakan hati saudara kita yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan untuk mereka gembira menyambut Ramadan dan Hari Raya Idulfitri yang bakal menjelma.

3. Umat Islam hendaklah mensyukuri segala nikmat Allah Taala dengan mengeluarkan zakat fitrah bagi memberi dan membantu orang lain yang memerlukan dan mengelakkan sebarang pembaziran.

4. Umat Islam hendaklah menghayati hakikat zakat fitrah yang ianya bukan semata-mata mengeluarkan harta sahaja tetapi mendidik jiwa supaya tidak menjadi orang kedekut

“Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah : 110).
Tags: fitrah, khutbah, ramadhan, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “fitrah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments