mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Ramadan, Pemergiannya Ditangisi

Petikan Khutbah Jumaat : 31 Mei 2019M/ 26 Ramadan 1440H JAWI

Ramadan, Pemergiannya Ditangisi

Setelah sebahagian besar hari-hari Ramadan kita tempuhi, inilah masa yang paling sesuai untuk menilai semula sejauh mana kita memanfaatkannya.

jawi_logo.jpgRealitinya, di saat ini terdapat dua golongan iaitu mereka yang bergembira dengan peluang yang masih ada untuk memperhebatkan amalan.

Mereka bersungguh-sungguh memenuhi masa dengan melakukan kebaikan, kebajikan dan ibadah. Manakala golongan yang kedua pula bergembira menanti waktu ramadan pergi dan sekadar sibuk membuat persiapan syawal untuk dirai.

Marilah kita bermuhasabah bersama sebelum berakhirnya Ramadan.

Imam al-Tabarani Rahimahullah telah meriwayatkan hadith daripada Jabir RA, Nabi SAW menceritakan bahawa Jibril AS pernah berkata: “Wahai Muhammad, sesiapa yang berkesempatan menemui bulan Ramadan, lalu meninggal dunia, namun dosanya masih tidak diampunkan, maka dia dimasukkan ke dalam neraka, serta dijauhkan Allah (daripada rahmatNya).

Kemanisan dan kelazatan dalam beribadah akhirnya dapat dirasa dan dinikmati. Nilai positif inilah yang menjadi penggerak untuk kita meraih keredhaan dan keampunan daripada Allah SWT.

Allah SWT telah berfirman menerusi surah al-Ankabut, ayat 69:“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalanjalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama dengan orang-orang yang melakukan kebaikan.”

Ramadan mempunyai tempohnya yang tertentu, sampai masanya ia akan berlalu pergi meninggalkan kita. Maka seharusnya kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana telah memberikan kesempatan kepada kita untuk beribadah sepanjang bulan Ramadan kali ini. Kita berdoa mudah-mudahan Allah SWT memanjangkan umur kita untuk bertemudengan Ramadan yang seterusnya.

Tanda bersyukur kepada Allah SWT itu ialah dengan meneruskan amalan kebaikan meskipun berada di luar bulan Ramadan. Ia sebagai bukti bahawa seseorang itu benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Jika di bulan Ramadan kita banyak membaca dan mampu mengkhatamkan alQuran, maka begitulah sepatutnya pada bulan-bulan yang lain.

Jika kita banyak bersedekah dalam bulan Ramadan, maka demikian jugalah pada bulan-bulan seterusnya. Ini kerana tawaran ganjaran berganda pada bulan Ramadan bukanlah matlamat terakhir amalan kita.

Apabila menjelangnya 1 Syawal, marilah sama-sama kita pastikan bahawa takbir yang dikumandangkan adalah benar-benar membesarkan Allah SWT dengan penuh rasa syukur.

Allah SWT telah menjadikan 1 Syawal sebagai hari raya kepada umat Islam. Ia simbolik bahawa kita telah kembali kepada fitrah asal kejadian manusia iaitu sebagai hamba kepada Allah.

Khatib ingin mengingatkan kepada para jemaah yang akan bermusafir pulang ke kampung halaman masing-masing. Sentiasalah kita mengamalkan sikap berhati-hati di jalan raya. Berhemah dan bersikap toleransi dengan pengguna kenderaan yang lain.

Pastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik, selenggara kenderaan sebelum memulakan perjalanan serta pastikan kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat.

Inilah di antara langkah-langkah yang wajar kita lakukan bagi menjamin keselamatan sebelum berdoa dan bertawakal kepada Allah.

Dalam kita membuat persiapan Aidilfitri, jangan dilupakan insan-insan di sekeliling kita. Utamakanlah jiran tetangga mahupun kaum kerabat yang terdekat yang perlu dibantu dan disantuni.

Masih ada dalam kalangan mereka yang menghadapi kehidupan susah apatah lagi tidak mampu untuk membuat persiapan menyambut hari lebaran.

Di samping itu, jangan dilupakan kewajipan untuk menunaikan zakat fitrah sebelum tamat tempoh waktunya dan bayarlah melalui amil-amil zakat yang dilatntik oleh Baitulmal atau Pusat Pungutan Zakat.

Sepertimana Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari R.A daripada Ibnu Umar R.Anhuma berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:Bahawasanya Nabi SAW menyuruh supaya dikeluarkan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk menunaikan solat (hari raya).

Kesimpulan khutbah yang telah disampaikan :

Pertama : Bermuhasabah sebelum berakhirnya Ramadan akan memberi kesedaran dan keinsafan dalam diri kita.

Kedua : Ramadan bukan sahaja mengajar erti kelaparan dan kesusahan bahkan mengukuhkan rasa kesyukuran sehingga membentuk diri muslim yang taat kepada Allah SWT dan rasulNya.

Ketiga : Pastikan kita dapat laksanakan solat Tarawih dan qiamullail pada hari terakhir ini meskipun dalam kesibukan membuat persiapan menjelang hari raya.

Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 58 : “Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".
Tags: khutbah, ramadhan, syawal
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments