mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Aidilifitri 1440H : Aidilfitri Penyubur Fitrah Insani

Petikan Khutbah Aidilfitri: 1 Syawal 1440H 5 Jun 2019 JAWI

Aidilfitri Penyubur Fitrah Insani

Setelah sebulan menyempurnakan tuntutan ibadah puasa, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan.
jawi_logo.jpg
Hakikat perayaan Aidilfitri adalah sebagai tanda kita telah kembali kepada fitrah asal iaitu bersih daripada segala dosa dan noda sebagaimana bayi yang baru dilahirkan.

Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kegembiraan dalam suasana keimanan yang kukuh.Sambutan Aidilfitri mestilah dilakukan dalam kerangka syariat Islam

Justeru, kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan bertakbir, bertahmid, dan bertasbih. Ia sememangnya menjadi lambang perubahan diri untuk terus istiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Hari raya merupakan hari untuk memupuk semangat perpaduan sesama anggota masyarakat. Perpaduan disemai dengan galakan kepada seluruh umat Islam untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah termasuklah para wanita dan kanak-kanak.

Umat Islam juga digalakkan untuk saling bermesra, berjabat tangan dan saling mendoakan.

Selain itu, umat Islam amat digalakkan untuk menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai.

Amalan ini akan mengukuhkan lagi ikatan silaturrahim yang terbina. Seandainya ada yang jarang berjumpa, inilah masanya untuk bertemu dan merapatkan ukhuwwah.

Tetamu yang datang ke rumah kita pula wajib dilayan dengan penuh hormat sekalipun mereka berlainan agama dan kepercayaan.

Sikap saling menyayangi, menjaga, memahami, memberi, berkongsi dan memaafi hendaklah ditonjolkan kepada mereka. Ia sekali gus dapat mewujudkan suasana keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum yang wujud di negara kita.

Aidilfitri pastinya memberikan semangat untuk kita menghulurkan sepuluh jari memohon kemaafan dan memaafkan orang lain.

Sekiranya semua amalan mulia ini dapat dilakukan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti ia dapat meleburkan rasa angkuh dan sombong.

Di samping itu, amalan menyambung silaturrahim pula boleh menambah rezeki sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari RHM, daripada Anas bin Malik RA, sabda Rasulullah SAW ”Sesiapa yang suka diperluaskan rezekinya dan kehidupan yang baik, maka hendaklah menyambung silaturrahim”

Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, usah dilupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Doakan kesejahteraan untuk mereka. Bersyukurlah kerana kita dapat menikmati Aidilfitri dalam suasana yang cukup aman di tanah air yang tercinta ini.

Sifat kesederhanaan hendaklah diutamakan. Didik anak-anak kita supaya menghormati saudara mara dan tetamu yang datang ke rumah untuk beraya.

Begitu juga, jangan biarkan anak-anak kita berebut-rebut untuk mendapatkan duit raya ketika tetamu datang atau ketika berziarah ke rumah saudara mara dan sahabat handai. Berikan didikan adab yang baik agar makna Aidilfitri itu tidak lenyap daripada jiwa mereka.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyimpulkan khutbah kepada beberapa perkara.

Pertama : Aidilfitri adalah masa terbaik untuk mempertautkan kembali silaturahim, memperkukuh kembali hubungan serta perpaduan sesama umat Islam. Dalam konteks bernegara dan bermasyarakat, perayaan seperti ini boleh menjadi saluran untuk memperkukuh perpaduan rakyat.

Kedua : Aidilfitri mestilah disambut dalam kerangka syariat Islam supaya nilai ketakwaan kita tidak tercemar dengan amalan-amalan yang menyalahi syariat.

Ketiga : Didiklah anak-anak dengan adab sopan agar mereka tidak mensiasiakan perayaan Aidilfitri ini dengan perkara-perkara yang melalaikan dan merosakkan nilai silaturrahim yang terbina sebelum ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Fussilat ayat 30: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
Tags: aidilfitri, fitrah, insani, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “aidilfitri” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments