mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Eidul Fitri 1 Syawal 1440H: “Menghayati Kemeriahan Eidul Fitri”

Petikan Khutbah Eidul Fitri 1 Syawal 1440H: 5 Jun 2019 JAIS

““Menghayati Kemeriahan Eidul Fitri””

Hari ini adalah hari yang dinanti oleh Umat Islam sebagai hari kemeriahan. Hari kemeriahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kerana kita telah berjaya menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan sempurna.

Inilah nikmat kemenangan yang Allah kurniakan kepada kita yang disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan.
jais.jpg
Kita diharamkan berpuasa pada hari ini juga adalah bagi tujuan menikmati kegembiraan yang dianugerahkan oleh Allah kerana kejayaan berpuasa selama sebulan.

Kegembiraan umat Islam bukanlah kegembiraan yang biasa, tetapi kegembiraan yang didahulukan dengan membesarkan Allah, melalui alunan takbir yang dilaungkan bermula malam tadi.

Memuji dan membesarkan Allah kerana kejayaan melaksanakan ketaatan disepanjang Ramadhan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Kemeriahan dan kegembiraan Eidul Fitri ini juga telah disebut dan dijanjikan oleh Rasulullah SAW bahawa orang berpuasa akan dianugerahkan kegembiraan ketika berbuka setelah selesai berpuasa.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Dan bagi orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan yang dinikmatinya, iaitu ketika berbuka puasa, dia bergembira dengan makanannya, dan apabila bertemu dengan tuhannya, dia bergembira dengan puasanya.” (Riwayat al-Bukhari).

Kemeriahan dan kegembiraan Eidul Fitri hendaklah disambut dengan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah.

Al-Imam al-Syafie pernah berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya. Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

Anas bin Malik Radhiallahu Anhu pernah meriwayatkan antara perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di pagi raya dengan katanya: “Rasulullah SAW tidak keluar untuk solat sunat Eidul Fitri melainkan setelah makan beberapa biji tamar terlebih dahulu.” (Riwayat al-Bukhari).

Selesai menikmati sedikit jamuan di pagi raya, kita sama-sama tanpa mengira tua atau muda, lelaki atau perempuan keluar untuk menunaikan solat sunat Eidul Fitri. Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma ada menjelaskan bahawa:  “Sesungguhnya Nabi SAW telah keluar pada hari raya Eidul Fitri, kemudian terus mengerjakan solat sunat hari raya dua rakaat.” (Riwayat al-Bukhari).

Kita juga disunatkan melalui jalan yang berbeza ketika pergi dan balik dari mengerjakan solat hari raya supaya dapat bertemu seramai mungkin umat Islam bagi menunjukkan kegembiraan dan kemeriahan Eidul Fitri.

Jabir bin Abdullah Radhiallahu Anhu telah berkata: “Nabi SAW apabila berjalan pada hari raya, ia menggunakan jalan yang berbeza.” (Riwayat al-Bukhari)

Pada hari yang mulia ini juga, rebutlah peluang menyambut kemeriahan ini dengan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan doa dan ucapan.

Apabila bertemu sesama muslim lafazkanlah ucapan َ Taqabbalallahu minna wa minkum' iaitu semoga Allah menerima amalan kami dan juga kamu sebagaimana yang telah dilakukan oleh para sahabat Nabi Ridwanullahu Alaihim ketikamana bertemu sesame mereka.

Memeriahkan lagi dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang sedia terjalin lebih-lebih lagi ikatan kekeluargaan, umat Islam digalakkan menjamu dan menikmati juadah hari raya dengan penuh kesyukuran.

Di samping itu, suburkanlah budaya ziarah-menziarahi dan bermaafan sesama keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga untuk memperkukuhkan lagi hubungan silaturrahim dan persaudaraan Islam.

Bahkan lebih dituntut untuk kita menziarahi kenalan ibubapa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:“Sesungguhnya sebaik-baik kebaikan ialah seseorang anak menghubung silaturrahim dengan kenalan ibubapanya.” (Riwayat Muslim)

Kemeriahan yang dirasai hendaklah dikongsi bersama. Janganlah lupa kepada golongan yang susah, uzur, fakir, miskin dan anak-anak yatim dan sebagainya dengan cara menghulurkan bantuan dan sumbangan berbentuk kewangan dan makanan kepada mereka kerana mereka juga berhak untuk menikmati kegermbiraan dan kemeriahan menyambut hari raya yang mulia ini.

Raja Ali Haji pernah berkata: Dengan bapa jangan derhaka, Supaya Allah tidak murka, Dengan ibu hendaklah hormat, Supaya badan dapat selamat. Semoga takbir, tasbih, tahmid dan tahlil yang diucapkan serta amalan-amalan mulia yang dikerjakan menjadi bukti kesyukuran kita kepada Allah dan kekal faedahnya hingga ke hari akhirat.

Mengakhiri khutbah Eidul Fitri ini,

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa Eidul Fitri adalah hari kemenangan dan kemeriahan bagi orang-orang yang bertaqwa dan mendapat keampunan Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah menghayati Eidul Fitri dengan penuh kesyukuran dan ketaatan kepada segala syariat dan perintah Allah.

3. Umat Islam hendaklah memperkukuhkan hubungan silaturrahim melalui budaya ziarah menziarahi sesama muslim.

4. Umat Islam hendaklah menjaga keselamatan daripada sebarang mudarat dan bahaya termasuk keselamatan diri, keluarga, harta benda dan jalan raya.

“Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang Soleh), dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).” (Surah al-A’la : 14-15)
Tags: aidilfitri, eid, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “eid” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments