mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Fitnah Membawa Punah”

Petikan Khutbah Jumaat 21 Jun 2019M / 17 Syawal 1440H:JAIS

“Fitnah Membawa Punah”.

Melemparkan tuduhan, fitnah, saling menyalah antara satu sama lain, menyebarkan cerita dan berita tidak pasti, menjadi punca perpecahan dan perbalahan ummah yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

jais.jpgFirman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 19: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhantuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)”

Pada zaman teknologi dunia tanpa sempadan ini segala perkara, peristiwa dan berita mudah disebarkan dengan cepat, meluas dan mudah. Hanya dengan perantaraan media sosial seperti facebook dan Whatsapp, ia dapat disebarkan ke seluruh dunia dalam beberapa saat sahaja.

Ditambah dengan sikap tidak mahu ketinggalan maka “berita sensasi” atau “berita panas” terus disebarluaskan dan ditokok tambah tanpa sebarang usul periksa. Hakikat sebenarnya, berita-berita tanpa sebarang pengesahan dan pembuktian adalah fitnah-fitnah yang disebarluaskan.

Allah SWT memberi amaran kepada setiap manusia yang suka melaga-lagakan orang lain sama ada dengan penulisan ataupun pengucapannya melalui firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 58:“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata”

Al-Quran dan hadis telah lama memperingatkan tentang bahayanya dan beratnya azab perbuatan fitnah. Sesungguhnya fitnah itu satu perbuatan keji dan diancam oleh Allah SWT dengan balasan azab yang pedih. Ini berdasarkan nas-nas syarak yang melarang dan mengeji perbuatan menyebar fitnah. Antaranya:

Pertama: Penabur fitnah adalah orang yang paling keji.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 10 dan 11:“Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai).”

Abdul Rahman Bin Ghanmin R.Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”. (Riwayat al-Haithami).

Kedua: Penabur fitnah bakal mendapat azab Allah SWT.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub R.Anhu bahawa Nabi SAW bersabda: “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan daripada rumahnya sehingga ke seluruh ufuk penjuru dunia”. (Riwayat al-Bukhari).

Ketiga: Penabur fitnah tidak akan masuk Syurga.

Sebagaimana diriwayatkan daripada Huzaifah Radhiallahu Anhu bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:“Penabur fitnah tidak akan masuk syurga”. (Riwayat al-Bukhari).

Sesungguhnya fitnah banyak membawa keburukan terhadap manusia. Fitnah adalah dosa manusia sesama manusia. Allah SWT tidak akan mengampun dosa pembuat dan penyebar fitnah kecuali individu yang difitnah telah memberikan kemaafan.

Fitnah juga boleh merosakkan persaudaraan, menyebabkan keadaan menjadi kucar-kacir bahkan boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Bermula dengan fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya rosak akhirnya hancur bahkan membentuk permusuhan yang berkekalan hingga mengganggu gugat keamanan negara.

Mengakhiri khutbah yang disampaikan pada hari yang mulia ini khatib ingin berpesan kepada hadirin Jumaat yang berbahagia agar:

1. Kita sebagai umat Islam hendaklah sentiasa meyakini bahawa setiap perkataan dan perbuatan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak.

2. Umat Islam dilarang menyebarkan fitnah kerana fitnah boleh menimbulkan perpecahan dan perbalahan.

3. Umat Islam hendaklah berpegang teguh kepada ajaran Islam dan jangan sesekali melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak termasuklah perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa berwaspada dengan terlebih dahulu menyelidik setiap sebaran berita yang diterima untuk mengelakkan tersebarnya gejala fitnah yang membawa punah

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al:Hujurat : 6).
Tags: fitnah, khutbah, punah
Subscribe

Posts from This Journal “fitnah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments