mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Zakat Membuahkan Berkat

Petikan Khutbah Jumaat : 21 Jun 2019M/ 17 Syawal 1440H JAWI

 Zakat Membuahkan Berkat

Harta merupakan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Manusia menggunakan harta untuk mencapai suatu taraf hidup yang selesa di dunia ini. Justeru sebagai seorang hamba, sewajarnya kita bersyukur atas nikmat harta dan kekayaan yang dikurniakan kepada kita.

jawi_logo.jpgFirman Allah SWT menerusi Surah Ibrahim ayat 7 : “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”

Dalam kita menikmati harta yang dikurniakan oleh Allah SWT, jangan lupa untuk menzahirkan rasa syukur kepadaNya dengan melaksanakan kewajipan berzakat yang merupakan rukun Islam ketiga.

Perintah Allah SWT ini termaktub di dalam Surah At-Taubah, ayat 103 yang bermaksud : “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Selain sebagai suatu kewajipan kepada Allah SWT, zakat juga adalah satu tanggungjawab mereka yang berharta terhadap orang-orang miskin bagi memastikan kestabilan sosial terjamin.

Perkara ini disentuh di dalam Surah Al-Baqarah ayat 83 : “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.”

Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di Wilayah Persekutuan. Tujuannya, adalah untuk menjamin agar falsafah dan matlamat akhir ibadah zakat dapat direalisasikan sepertimana yang telah digariskan oleh syarak dalam rangka meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam khususnya golongan yang amat memerlukan.

Allah SWT mencela orang yang tidak menunaikan tanggungjawab berzakat. Tergamak mereka membuat alasan-alasan tertentu bagi mengelakkan diri daripada melaksanakan kewajipan tersebut.

Allah SWT memperingatkan hal ini melalui Surah Ali ‘Imran, ayat 180 : “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”

Sifat bakhil sebenarnya sengaja dibisikkan oleh syaitan ke dalam hati manusia agar manusia terasa berat untuk mengeluarkan zakat. Syaitan menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan sekiranya manusia mengeluarkan zakat atau sedekah.

Godaan syaitan ini telah dibongkarkan oleh Allah SWT menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 268 : “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.”

Bersegeralah dalam menunaikan kewajipan zakat. Selain daripada membayar zakat melalui kaunter PPZ-MAIWP, terdapat juga perkhidmatan lain bagi memudahkan urusan membayar zakat.

Misalnya, Kaunter Zakat Bergerak disediakan untuk mereka yang ingin membayar zakat sebanyak lima ribu ringgit dan ke atas. Selain itu, pembayaran zakat dapat dilaksanakan secara di dalam talian 24 jam 7 hari seminggu melalui laman web. Pembayaran zakat turut dapat dilaksanakan secara bulanan melalui Skim Potongan Gaji Zakat. Lebih menarik, kini zakat boleh dibayar di manamana kaunter pejabat POS di seluruh Wilayah Persekutuan.

Harta kekayaan yang kita miliki itu adalah amanah Allah. Setiap rezeki yang diperolehi, meskipun atas usaha dan penat lelah kita, bukanlah menjadi milik mutlak diri kita sendiri. Ini adalah kerana dalam harta tersebut terdapat hak untuk isteri, anak-anak, kaum kerabat dan jiran tetangga yang memerlukan pertolongan, fakir miskin yang mengharapkan belas dan ihsan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita renungi kesimpulan khutbah seperti berikut:

Pertama : Membayar zakat merupakan tanda syukur hamba Allah SWT terhadap nikmat harta yang dikurniakan kepadanya.

Kedua : Sikap bakhil mengundang kemurkaan Allah SWT dan azab yang pedih di akhirat.

Ketiga : Bersegeralah menunaikan kewajipan berzakat setelah sempurna haul dan nisabnya.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Dzariyat, ayat 19: Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
Tags: berkat, khutbah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments