mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan”

Petikan Khutbah Jumaat 28 Jun 2019M / 24 Syawal 1440H: JAIS

“Kukuhkan Perpaduan, Elakkan Perpecahan”.

Agama Islam adalah agama Allah. Agama yang kuat lagi sejahtera. Umat Islam yang berpegang teguh dengan akidah Islam dan sungguhsungguh mematuhi ajarannya, nescaya akan menjadi umat yang bersatu padu, kuat dan hebat.

jais.jpgTerkini umat Islam didapati semakin lemah dan longlai dari pelbagai aspek kehidupan dalam arus perkembangan negara masa kini.

Puncanya ialah perpecahan, perbalahan dan permusuhan sesama sendiri. Akhirnya semangat perpaduan menjadi semakin luntur. Sedangkan perpaduan dalam kalangan orang Islam amat penting dan mesti dipelihara demi masa depan orang Islam sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 103:“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.”

Sesungguhnya perpaduan adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara. Sebaliknya, perpecahan, perbalahan dan permusuhan akan membawa kehancuran dan kemusnahan.

Allah SWT mengingatkan kita supaya mengutamakan perpaduan demi kekuatan ummah sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat 46: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

Perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka berlaku di mana-mana sahaja termasuklah dalam media-media sosial dan di media arus perdana.

Allah SWT telah menegaskan bahawa budaya mengecam, mencerca dan menghina yang boleh menyakiti orang lain adalah suatu dosa yang besar di sisi Allah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 58: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

Islam sentiasa menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain.

Hadis daripada An-Nu’man bin Bashir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dapati orang-orang mukmin dalam berkasih sayang, bermesra dan berbaik-baik sesama mereka sama seperti tubuh badan, apabila mengadu sakit salah satu anggota badan, maka seluruh anggota badan yang lain akan berjaga malam dan turut merasai sakit yang sama.” (Riwayat al-Bukhari).

Realitinya sekarang ini, semua nilai-nilai murni itu kurang diambil perhatian. Ia sepatutnya wujud dalam diri setiap Muslim disetiap peringkat.

Nilai-nilai murni itu menjadikan kita umat yang insaf, sentiasa memperbaiki kesilapan diri, menjauhi perpecahan dan pertelingkahan sesama sendiri, bahkan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa ayat 146: “Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersamasama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.

Mengambil kira keadaan semasa mengenai perpecahan ini, umat Islam diseru agar bersatu-padu dan saling membantu.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Perpaduan umat Islam boleh diperkukuhkan lagi dengan sikap berbaik sangka, kerjasama yang erat, saling memahami antara satu sama lain, menghindari perbuatan khianat dan dendam serta mementingkan diri sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah al-Saff ayat 3: “Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

Mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita menghayatinya dengan mengambil pengajaran berikut supaya menjadi panduan dalam hidup kita:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kewajipan hidup bersatu padu adalah perintah Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah menginsafi bahawa perpecahan umat adalah bertentangan dengan perintah Allah SWT yang akan merugikan umat Islam sendiri.

3. Umat Islam hendaklah memelihara perpaduan yang akan menjamin kelangsungan umat Islam di Negara ini.

4. Umat Islam hendaklah memberhentikan serta merta amalan buruk dan sifat terkutuk seperti dengki, dendam, khianat, memfitnah dan mencerca sesama muslim yang menyebabkan kehancuran terhadap ummah.

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” (Al-Imran : 105).
Tags: khutbah, perpaduan, perpecahan
Subscribe

Posts from This Journal “perpaduan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments