mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Penyakit Dicegah Kesihatan Disyukuri

Petikan Khutbah Jumaat 28 Jun 2019M / 24 Syawal 1440H JAWI

Penyakit Dicegah Kesihatan Disyukuri

Syariat Islam diturunkan untuk memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Dalam aspek memelihara nyawa, Islam amat menitikberatkan umatnya agar menjaga nikmat kesihatan tubuh badan yang dikurniakan oleh Allah SWT.

jawi_logo.jpgIa merupakan suatu amanah daripada Allah SWT kepada hamba- hambaNya. Tujuannya ialah agar kualiti ibadah kita kepada Allah SWT berada pada tahap yang terbaik.

Firman Allah SWT menerusi surah Hud, ayat 117 yang bermaksud : “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.”

Islam menganjurkan agar umatnya menjalani kehidupan yang baik melalui pengamalan gaya hidup sihat, pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang serta penjagaan kebersihan diri dan persekitaran.

Islam juga menganjurkan umatnya agar berikhtiar mendapatkan rawatan apabila ditimpa penyakit. Imam Muslim r.h telah meriwayatkan hadith daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila sesuatu ubat itu sesuai dengan penyakit, sembuhlah ia dengan izin Allah ‘azza wa jalla.”

Menurut Imam al-Nawawi r.h, hadith ini mengandungi isyarat bahawa sunat bagi seseorang itu mencari ubat yang bersesuaian bagi merawat penyakitnya. Ini kerana penyakit tidak akan sembuh selagi ubat dan cara rawatannya tidak bersesuaian.

Perkara ini secara tidak langsung merupakan suatu tuntutan kepada umat Islam untuk sentiasa membangunkan kajian dan penyelidikan dalam bidang perubatan.

Islam sebagai agama rahmah telah memperkenalkan konsep pencegahan penyakit. Imam al-Bukhari r.h telah meriwayatkan hadith daripada Sa’ad bin Abi Waqqas RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Sesiapa yang memakan tujuh biji tamar ‘Ajwah pada waktu pagi, nescaya dengan demikian, dia tidak akan dimudaratkan pada hari itu oleh racun dan sihir.”

Hadith tersebut mengandungi prinsip penting dalam pencegahan penyakit yang kita kenali pada hari ini sebagai imunisasi.

Penjagaan kesihatan dan kebersihan yang lebih baik akan mengurangkan penyebaran penyakit, namun masih belum mencukupi untuk mengelakkan sesuatu penyakit. Imunisasi merupakan satu proses memberi vaksin kepada bayi bertujuan untuk mencegah penyakit-penyakit berjangkit.

Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada awal tahun 1950-an dan diberikan secara percuma kepada kanak-kanak warganegara.

Bayi dan kanak-kanak sangat mudah mendapat jangkitan kerana sistem imun atau ketahanan diri mereka masih belum berkembang sepenuhnya untuk melawan jangkitan. Sehingga kini, imunisasi kanak-kanak di bawah Program Imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan mencegah 12 jenis penyakit.

Perkhidmatan ini diberi percuma di seluruh Klinik Kesihatan Kerajaan.

Di antara penyakit tersebut adalah(Batuk Kering, Hepatitis B, Difteria, Batuk Kokol, Influenza B, Campak, Beguk dan Rubella. Lantaran itu, adalah penting untuk mereka diberikan suntikan mengikut jadual suntikan vaksin yang telah ditetapkan bagi mendapatkan perlindungan dan pencegahan optimum.

Imunisasi boleh diberi secara suntikan melalui otot atau bawah kulit atau melalui mulut.

Pengambilan vaksin ini sangat penting untuk memastikan diri dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.

Apabila sebahagian besar dari kita telah dilindungi dari penyakit cegahan vaksin dengan liputan imunisasi yang tinggi, maka bakteria atau virus akan sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti.

Ini dipanggil sebagai ‘imuniti kelompok’ yang akan melindungi sebahagian kecil mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah.

Mencegah sememangnya lebih baik daripada merawat.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Kita sebagai umat Islam bertanggungjawab menjaga kesihatan sebagai tanda syukur terhadap amanah pemberian Allah SWT ini.

Kedua: Islam menganjurkan umatnya agar berikhtiar mencari ubat atau penawar ketika ditimpa penyakit.

Ketiga: Kita hendaklah mengambil imunisasi untuk mencegah penyakit daripada menimpa diri dan menular dalam kalangan masyarakat.


Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’, ayat 83 hingga 84: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya; keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai suatu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).”
Tags: cegah, kesihatan, khutbah, penyakit, syukur
Subscribe

Posts from This Journal “penyakit” Tag

  • Khutbah Jumaat Vaksin Sebagai Ikhtiar, Penyakit Jangan Dibiar

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Januari 2021M/ 9 Jamadilakhir 1442H JAWI Vaksin Sebagai Ikhtiar, Penyakit Jangan Dibiar Islam merupakan agama yang…

  • Ubat penyakit cintakan dunia

    Walaupun kita hidup di akhir zaman, Baginda SAW sudah memberi isyarat apa yang akan berlaku di mana wujud satu penyakit dalam diri umat Islam yang…

  • Rahsia demam Ubay

    Setiap kali musibah menyapa, seorang Muslim dituntut untuk tetap menjaga minda positif. Ia mesti sabar dan reda menerima ketentuan tersebut,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments