mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: “Istiqamah Melaksanakan Perintah Allah”

Petikan Khutbah Jumaat 12 Julai 2019M / 09 Zulkaedah 1440H: JAIS

“Istiqamah Melaksanakan Perintah Allah”.

Sebagai hamba Allah SWT, kita diperintahkan supaya beriman dan beribadah kepada-Nya. Perintah Allah SWT hendaklah kita laksanakan secara istiqamah (berterusan)

jais.jpgFirman Allah dalam Surah Hud ayat 112 yang bermaksud: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian, dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

Hadis daripada Sufian bin Abdullah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.” (Riwayat Muslim).

Antara perintah Allah SWT yang dituntut untuk kita istiqamah melaksanakannya adalah:

Pertama: Mendirikan solat dalam waktu yang telah ditetapkan kerana solat merupakan suatu kefardhuan yang mesti dilaksanakan bagi orang-orang yang beriman pada waktu-waktu yang telah ditetapkan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 103:“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Bagi mereka yang meninggalkan dan melalaikan solat, Allah SWT telah memberi amaran akan membalasnya dengan azab yang pedih seperti mana firman-Nya dalam surah Maryam ayat 59: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)”.

Rasulullah SAW juga mengingatkan umat Baginda agar tidak meninggalkan solat seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin „Abdullah Radhiallahu „Anhu, Baginda bersabda: “Beza antara seseorang (yang beriman) dengan yang syirik dan kufur adalah meninggalkan solat”. (Riwayat Muslim)

Kedua: Menuntut ilmu. Menuntut ilmu adalah menjadi suatu kewajipan atas setiap umat Islam secara berguru dengan guru-guru yang diperakui dan diiktiraf keilmuannya, bukan hanya mencari ilmu tanpa berguru.

Bahkan kita dituntut untuk menuntut ilmu agar sentiasa berada di atas landasan yang benar dan dapat pula membimbing umat Islam lain bersama-sama.

Kepentingan menuntut ilmu dan mengajar kepada orang lain telah dirakamkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah al-Taubah ayat 122: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaum mereka (yang keluar berjuang) apabila orangorang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjagajaga (dari melakukan larangan Allah)”.

Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu „Anhu bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: “Dan sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga”. (Riwayat Muslim).

Kelebihan juga diberikan kepada mereka yang menuntut ilmu-ilmu alQuran dan mengajarkannya pula kepada orang lain. sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada „Uthman Radhiallahu „Anhu, Rasulullah SAW bersabda:“Sebaik-baik kamu sesiapa yang belajar al-Quran dan mengajarkannya pula.”

Menuntut ilmu tiada pengakhirannya. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah perjalanan untuk menuntut ilmu perlu diteruskan. Marilah kita mengambil iktibar tentang kisah ini.

Ketiga: Menutup aurat. Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman untuk menutup aurat bagi menjaga kehormatan diri terutamanya wanita.

Perintah untuk menutup aurat dan batas-batasnya bagi seorang wanita dapat dilihat melalui firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…”

Ibn „Abbas Radhiallahu Anhuma dan „Aisyah Radhiallahu „Anhuma menjelaskan maksud zahir dalam ayat di atas ialah muka dan kedua-dua tapak tangan.

Batas aurat wanita dijelaskan lagi oleh Imam as-Syafie di dalam kitab beliau al-Umm iaitu meliputi seluruh tubuh melainkan muka dan kedua tapak tangan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengingatkan kita semua agar dapat mengambil pengajaran terhadap perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta melaksanakan segala perintah-Nya yang disampaikan melalui perantaraan Rasul.

2. Umat Islam hendaklah terus istiqamah melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana ia termasuk sebahagian daripada amalan akhlakakhlak Islam.

3. Umat Islam hendaklah menjaga diri dan semua orang di bawah tanggungjawabnya agar tidak terpengaruh dengan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam.

4. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa segala amalan yang dilakukan akan diperlihatkan untuk diberi balasan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

“Maka sesiapa berbuat kebajikan walau seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan walau seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!.” (al-Zalzalah : 7-8).
Tags: istiqamah, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “istiqamah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments