mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Korban: Ibadah Memburu Redha Allah”

Petikan Khutbah Jumaat 26 Julai 2019M / 23 Zulkaedah 1440H:JAIS

“Korban: Ibadah Memburu Redha Allah”

Korban adalah satu ibadah yang dilaksanakan pada hari raya Eidil Adhha dan hari-hari Tasyriq. Bahkan Eidul Adhha itu sendiri membawa erti sembelihan korban, iaitu dengan menyembelih binatang ternakan seperti kambing, lembu atau unta dengan syarat-syarat tertentu yang dilaksanakan setelah solat Eidil Adhha.
jais.jpg
Menyembelih korban merupakan satu amalan yang sangat dicintai oleh Allah SWT untuk dilaksanakan pada hari raya Eidil Adhha dan hari-hari tasyriq.

Saidatuna 'Aisyah Radhiallahu Anha meriwayatkan bahawa Nabi Saw bersabda yang bermaksud: “Tidak ada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai Allah selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu kelak di hari Kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahala korbannya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kalian semua dengan pahala korban itu.” (Riwayat al-Tirmizi).

Sesiapa yang berkemampuan hendaklah ia melaksanakan ibadah korban, sekurang-kurangnya bagi setiap keluarga satu sembelihan korban. Hukum pelaksanaannya adalah sunnah muakkadah, iaitu suatu sunnah yang sangat dituntut oleh Islam.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban, tapi ia tidak mahu berkorban, maka janganlah ia mendekati musalla (tempat salat) kami." (Riwayat Ahmad).

Bagi sesiapa yang telah berniat untuk melakukan ibadah korban pada tahun ini, maka syariat Islam menganjurkan mereka supaya menyembelihnya sendiri atau menyaksikan penyembelihannya. Mereka juga disunatkan supaya tidak memotong rambut dan kuku sehingga selesai sembelihan korban dilaksanakan.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu Anha bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika kamu telah menyaksikan anak bulan Zulhijjah dan kamu ingin berkorban, maka hendaklah orang yang ingin berkorban itu tidak memotong rambut dan kukunya.” (Riwayat Muslim)

Setelah sembelihan korban selesai, maka dua pertiga atau sebahagian besar hasil dagingnya yang masih segar itu, hendaklah diagih-agihkan kepada fakir miskin dan jiran tetangga sebagai sedekah atau hadiah supaya sama-sama dapat merasai dan mensyukuri sebahagian dari nikmat kurniaan Allah SWT yang tidak terhingga ini.

Ibadah korban mengajar kita tentang pentingnya ikhlas dalam amalan. Dengan keikhlasan dan ketakwaan yang sebenar, maka keredhaan Allah SWT dapat digapai.

Penyembelihan korban dan pengagihan dagingnya semata-mata tidaklah memadai, namun keikhlasan yang tulus ketika berkorban dan dalam segala amalan itulah yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Allah Ta‟ala berfirman dalam surah al-Hajj ayat 37:“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.”

Ibadah Korban juga mengajar kita bahawa sesuatu amalan yang diterima oleh Allah SWT ialah amalan yang menepati ajaran Nabi Muhammad SAW.

Dalam penyembelihan korban ada tatacara atau syarat tertentu yang mesti dipenuhi. Iaitu binatang yang hendak dikorban mestilah binatang yang sihat, tidak cacat dan cukup umur.

Bagi tujuan itu, melalui dokumen “Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban”, penganjur ibadah korban mestilah terlebih dahulu mendapat akuan pemindahan ternakan, sijil kesihatan veterinar dan permit penyembelihan luar daripada pihak berkuasa. Waktu penyembelihannya juga hendaklah dilakukan setelah salat Eidil Adhha selesai.

Al Barra‟ bin „Azib Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Siapa yang solat seperti solat kami dan menyembelih korban seperti korban kami, maka ia telah mendapatkan pahala korban. Sesiapa yang menyembelih korban sebelum salat Eidil Adhha, maka itu hanyalah seperti sembelihan yang ada sebelum solat dan ia tidak dikira sebagai korban.” (Riwayat al-Bukhari).

Begitu juga pengagihan daging korban, ia hendaklah diagihkan dalam bentuk daging segar dan secara percuma. Bahkan kulitnya tidak boleh dijual atau diberi sebagai upah kepada pekerja sembelihan. Jika ketentuan di atas tidak dipatuhi maka sembelihan tersebut tidak menjadi ibadah korban seperti mana yang disyariatkan.

Ingatlah, harta yang diinfaqkan pada jalan kebaikan dan ketaatan, semakin banyak ia dikeluarkan akan semakin bertambah keberkatannya.

Sebab itu kita dapati tiada seorangpun yang berkorban hartanya untuk ibadah korban, hidupnya menjadi papa dan miskin.

Ingatlah janji Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Saba‟ ayat 39: “dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Abu Hurairah Radhiallahu Anhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:  “Sedekah tidaklah mengurangi sedikitpun daripada harta.” (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun, dan yang kita laksanakan nanti, mengajak kita mengimbau kembali sejarah korban yang pernah dilakukan oleh dua putera Nabi Adam Alaihi Salam iaitu Qabil dan Habil.

Begitu juga tentang sejarah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim Alaihi Salam dan keluarganya.

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita memberi perhatian kepada perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa ibadah korban adalah satu lambang perjuangan dan perngorbanan yang ikhlas dalam mentauhidkan Allah SWT dan mengagungkan syiar-Nya.

2. Umat Islam diseru supaya sentiasa mempersiapkan diri untuk berkorban demi menyahut perintah Allah SWT dan mendaulatkan syariatNya.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa ikhlas dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana amalan yang berasaskan takwa dan ikhlas sahaja akan mendapat ganjaran dan keredhaan Allah SWT.

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (al-Maidah : 27).
Tags: ibadah, khutbah, korban, redha
Subscribe

Posts from This Journal “korban” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments