mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Semarakkan Zulhijjah”

Petikan Khutbah Jumaat 02 Ogos 2019M / 01 Zulhijjah 1440H: JAIS

“Semarakkan Zulhijjah”.

Bulan Zulhijjah adalah antara bulan yang teristimewa dan teragung di sisi Allah SWT. Ia merupakan salah satu daripada empat bulan haram dalam Islam, seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat ke-36:“Sesungguhnya bilangan bulan jais.jpgpada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram.”

Hadisnya yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah Radhiallahu Anhu:“Tahun itu beredar sebagai mana keadaannya sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram. Tiga bulannya berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. (Satu bulan lagi adalah) Rajab yang terletak antara Jumadal Akhirah dan Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)

Kemuliaan dan kehormatan bulan Zulhijjah ini dapat dilihat dengan pensyariatan ibadah Haji dan ibadah korban; begitu juga dengan memperbanyakkan zikir, takbir dan tahmid serta amalan-amalan soleh yang lain. Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:“Tidak ada hari di mana amal soleh pada saat itu lebih dicintai oleh Allah SWT daripada hari ini (sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah).” (Riwayat al-Bukhari).

Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:“Tidak ada hari yang paling agung dan amat dicintai Allah untuk berbuat kebajikan di dalamnya daripada sepuluh hari (Zulhijjah) ini. Maka perbanyakkanlah pada saat itu dengan melakukan tahlil, takbir dan tahmid”. (Riwayat Ahmad).

Justeru antara amalan-amalan soleh yang digalakkan untuk kita amalkan pada bulan ini ialah memperbanyakkan berpuasa terutamanya pada Hari Arafah.

Sesungguhnya kelebihan berpuasa secara khusus pada Hari Arafah adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Qatadah Radhiallahu Anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Berpuasa pada Hari Arafah, aku mengharapkan pahala daripada Allah dapat menghapuskan dosa-dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim).

Zulhijjah mengajak kita untuk terus bertaqarrub kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan bersedekah, berzikir, bertahlil, beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT di samping meninggalkan segala maksiat dan dosa.

Selain daripada ibadah-ibadah sunat tersebut, umat Islam juga disunatkan untuk bertakbir bermula selepas solat Subuh 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari pada 13 Zulhijjah. Hadis daripada Ali dan Ammar Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat Subuh dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-hari Tasyriq.” (Riwayat al-Hakim).

Takbir ini hendaklah dilakukan secara jahar (bacaan nyaring) sebagai meninggikan syiar kaum Muslimin. Waktu Takbir Muqayyad bagi hari Raya Eidul Adha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah sehingga tenggelam matahari pada Hari Tasyriq yang ketiga. Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan Haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu dan sunat sehingga waktu Asar 13 Zulhijjah menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa mengagungkan hari-hari kebesaran Islam termasuklah bulan Zulhijjah adalah tanda keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

2. Umat Islam diseru supaya mengisi kedatangan bulan Zulhijjah ini dengan pelbagai amalan soleh seperti solat berjemaah di masjid, memperbanyakkan membaca al-Quran, mengeratkan hubungan silaturrahim, menjauhi fitnah dan adu domba.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa beriltizam untuk melaksanakan amal soleh dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT.

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (al-Nahl : 97).
Tags: khutbah, zulhijjah
Subscribe

Posts from This Journal “zulhijjah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments