mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Petikan Khutbah Jumaat 2 Ogos 2019M/ 1 Zulhijjah 1440H JAKIM

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Sesungguhnya Raja Berperlembagaan merupakan payung kepada kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai ini.

Sesungguhnya kewujudan institusi raja di Malaysia perlu difahami dengan jelas oleh seluruh lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, umur dan latar belakang pendidikan.
jakim.jpg
Peranan Institusi raja dalam mengemudi Islam untuk terus terpelihara letak duduk dan fungsinya dalam negara ini juga perlu difahami dengan jelas oleh seluruh rakyat. Umum mengetahui bahawa termaktub dalam Perkara 3,

Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri beraja dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Kewujudan institusi raja mampu memastikan orang Melayu terus kekal dilindungi agamanya, yakni agama Islam dan di samping meneruskan peranan raja mendaya upaya kepentingan-kepentingan umat Islam dalam negara ini.

Keadilan ialah aspek utama dalam menunaikan pemerintahan yang menjadi suruhan dan pertanggungjawaban oleh Allah kepada wakil-Nya di muka bumi bagi menjalankan amanah kekhalifahan.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis; Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: “Setiap kamu ialah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang ketua ialah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang lelaki ialah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang wanita ialah pemimpin atas rumah suaminya serta anak-anaknya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang hamba juga pemimpin atas harta tuannya dan dia juga akan diminta pertanggungjawabannya. Sungguh, setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawabannya”. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Selaku penaung tertinggi agama Islam yang juga agama bagi negara ini, seluruh rakyat jelata meyakini bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong merupakan teladan untuk membawa mesej agama sebagai rahmat kepada sekalian alam ini tersemai di bumi Malaysia dengan mengharmoni dan menyatukan kepelbagaian pada seluruh rakyat.

Menjadi ketua bagi sebuah Negara merupakan suatu tugas yang sangat mencabar dan berat.

Ada juga kalangan kumpulan yang sengaja mempertikaikan kuasa-kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong seperti mempertikaikan Perkara 153, iaitu tanggungjawab memelihara hak istimewa orang Melayu. Antara tuduhan liar mereka ialah peruntukan itu membeza-bezakan antara warganegara dan dianggap sebagai diskriminasi kepada kaum lain. Perkara 153 itu dibaca sebahagian sahaja. Ia juga tidak difahami dengan konteks sejarah. Justeru, sebagai rakyat yang telah berikrar untuk memberikan kesetiaan kepada raja dan Negara sepatutnya menyokong dan mempertahankan sistem kesultanan di Negara ini.

Sebagai muslim yang berpegang teguh dengan manhaj Ahl al-Sunnah wa alJamaah, kita semestinya meletakkan ketaatan kepada pemerintah dalam Negara ini apatah lagi, status Yang di-Pertuan Agong yang bertindak sebagai ketua agama bagi Negara.

Ketahuilah bahawasanya mentaati pemimpin itu termasuk juga mentaati Allah SWT dan mentaati Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana firman Allah SWTdalam Surah al-Nisa’ ayat 59; “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu”

Jumhur ulama menguatkan bahawa maksud ulil amri dalam ayat tersebut ialah para pemerintah dan ulama yang memiliki autoriti dalam mengurus urusan kaum muslimin, sama ada urusan dunia mahupun urusan agama. Hal ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Nawawi, “ulil amri yang dimaksudkan ialah orang-orang yang Allah SWT wajibkan untuk ditaati dari kalangan para pemerintah dan pemimpin umat, inilah pendapat jumhur ulama terdahulu dan sekarang iaitu dari kalangan ahli tafsir, fiqh, dan yang lainnya.”

Imam al-Bukhari merekodkan sebuah hadis dalam Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda;“Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan mentaati”

Ketaatan ini diletakkan selagimana tiada kecenderungan terhadap kemaksiatan dan sesuatu yang bercanggah dengan syariat Allah SWT. Dalam masa yang sama juga Rasulullah SAW juga telah mengingatkan kita dengan sabdanya;“Tidak (boleh) taat (terhadap perintah) yang padanya terdapat maksiat kepada Allah, sesungguhnya ketaatan itu hanya dalam (perkara) kebajikan” (Hadis riwayat Muslim)

Semoga di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, kepercayaan kepada Tuhan, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan akan mengukuh setia dalam ikrar rakyat Malaysia semuanya. Insya-Allah.

 “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan mungkar dan kezaliman. Dia mengajar kamu supaya kamu mengambil peringatan.” (Surah al-Nahl ayat 90)
Tags: kesetiaan, khutbah, negara, raja
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments