mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Raja Berdaulat Sejahtera Rakyat”

Petikan Khutbah Jumaat 09 Ogos 2019M / 08 Zulhijjah 1440H: JAIS

“Raja Berdaulat Sejahtera Rakyat”

Pada 30 Julai 2019 yang lalu, terukirlah satu lagi sejarah penting di negara kita apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah ditabalkan secara rasmi sebagai jais.jpgYang di-Pertuan Agong yang keenam belas (16) bagi kerajaan Malaysia. Baginda seorang yang dikenali dengan sifatnya yang mudah didampingi, peramah dan berjiwa rakyat.


Rakyat Malaysia, mempunyai kerajaan dan ketua negara yang menjadi payung kepada sistem yang diamalkan iaitu negara demokrasi dan Raja berperlembagaan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan tonggak utama kepimpinan negara yang melindungi seluruh rakyat, menjadi tunjang kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat seterusnya sebagai obor memancarkan sinar Islam di negara ini.

Jumhur ulama dikalangan ahli sunnah wal jamaah berpendapat bahawa menjadi kewajipan fardu ain ke atas Ummat Islam mentaati Ulul Amri (pemerintah) selama pemerintah tersebut mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Ayat diatas diperjelaskan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhuma:“Mendengar dan taat itu wajib bagi seseorang dalam apa yang ia suka atau benci, selama ia tidak diperintah berbuat maksiat, maka jika diperintah maksiat maka tidak wajib mendengar dan tidak wajib taat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Junaid al-Khutub seorang ahli Sufi bila ditanya siapakah orang pertama yang didoakannya sekiranya doanya mustajab. Beliau menjawab: “Para pemimpin, kerana sekiranya pemimpin itu baik, nescaya baiklah rakyat dan sejahteralah negara.” Demikian pentingnya seorang pemimpin bagi sesebuah negara.

Sesungguhnya hubungan erat antara raja dan rakyat, atau pemimpin dengan yang dipimpin bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abi Musa Al-Ashari Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Hubungan di antara orang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti sebuah binaan yang saling kuat menguat diantara satu sama lain.” (Riwayat Muslim)

Perpaduan dapat diertikan sebagai satu penyatuan tenaga, pemikiran, cita-cita dan pengorbanan didalam satu ikatan yang bersepadu, kuat dan kukuh.

Perpaduan sangat penting dalam hidup bermasyarakat sama ada dalam kumpulan yang kecil seperti dalam keluarga atau masyarakat yang besar seperti dalam sebuah negara kerana perpaduan dan keharmonian adalah tiang seri kekuatan negara

Falsafah hidup orang Melayu Islam telah lama tertanam semangat perpaduan ini, sehingga lahirlah ungkapan turun temurun seperti “bersatu teguh bercerai roboh” dan “bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat”. Demikian juga hubungan antara Raja dan rakyat, terdapat ungkapan “Raja dan Rakyat Berpisah tiada”.

Untuk menjamin kesejahteraan ummah, setiap rakyat hendaklah sentiasa bersikap baik sangka, hormat menghormati sama ada melalui pertuturan atau perbuatan.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhuma:“Seseorang Islam itu, ialah orang yang menyelamatkan seluruh umat Islam, daripada kejahatan lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari).

Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bertitah ketika pertabalan baginda baru-baru ini supaya semua pihak jangan sekali-kali mencetuskan api permusuhan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuhkan keharmonian negara.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Qalam ayat 11-12:“Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), yang sering menghalangi amalan amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa.”

Mimbar mengingatkan umat Islam untuk mengamalkan budaya yang sihat, berpaksikan kepada kehidupan yang harmoni dan toleransi. Kita bangunkan masyarakat yang gagah perkasa, berintegriti, bertamadun dan menghormati nilai perpaduan yang utuh. Ingatlah hidup di dunia ini hanya sementara.

“Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan diminta pertanggungjawaban atas yang dipimpin.” (Riwayat al-Bukhari).

Kita perlukan negara yang aman dan harmoni serta diberkati Allah SWT seperti Firman-Nya dalam surah Saba’ ayat 15:“Negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!.”

Bagi mengakhiri khutbah ini, marilah kita mengambil iktibar dan saranan berikut:

1. Umat Islam wajib meyakini bahawa mentaati Raja atau para pemimpin yang adil itu adalah satu perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi.

2. Umat Islam hendaklah menyedari hakikat bahaya akan menimpa sekiranya berlaku perpecahan, hasad dengki, fitnah memfitnah sesama bangsa dan agama.

3. Umat Islam yang memegang kuasa diingatkan supaya berlaku adil dan sentiasa melakukan kebaikan kepada mereka yang dipimpinnya

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya. (al-Nahl : 90)

Tags: agong, khutbah, raja, rakyat, sejahtera
Subscribe

Posts from This Journal “agong” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments