mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Zulhijjah Kemuncak Ibadah Haji

Khutbah Jumaat 9 Ogos 2019M / 8 Zulhijjah 1440H JAWI

Zulhijjah Kemuncak Ibadah Haji

Bulan Zulhijjah di antara bulan yang diberkati sehingga Allah SWT bersumpah dengannya sebagaimana di awal surah al-Fajr ayat 1-3:“Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil.
jawi_logo.jpg
Imam Al-Tabari menyatakan ahli tafsir sepakat bahawa 'malam yang sepuluh' yang dimaksudkan pada ayat 2 surah al-Fajr ini ialah sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah.

Zulhijjah merupakan kemuncak kepada bulan-bulan Haji yang terdiri daripada Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. 10 hari pertama daripada Zulhijjah pula merupakan sebaik-baik hari di antara 30 hari bulan Zulhijjah. Ini kerana pada 10 hari pertama itu terkandung di dalamnya beberapa hari untuk beramal ibadah.

Imam Abu Daud RH meriwayatkan hadith daripada Ibn Abbas RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiada hari-hari untuk beribadah yang lebih disukai Allah SWT lebih utama daripada hari-hari ini, iaitu 10 hari pertama Zulhijjah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, sekalipun jihad pada jalan Allah? Rasulullah SAW menjawab: Ya, sekalipun jihad pada jalan Allah, kecuali seorang yang keluar dengan jiwa serta hartanya dan dia tidak pulang dengan membawa apa-apa (mati syahid).”

Di awal 10 Zulhijjah ini kita dianjurkan untuk menjauhi segala bentuk kemaksiatan dan melaksanakan segala bentuk ketaatan. Antara bentuk ketaatan ialah memperbanyakkan ibadat seperti berpuasa khususnya hari ke-9 Zulhijjah, berzikir, bertakbir dan berqiamullail.

Malah kita amat digalakkan berpuasa pada hari ke-9 Zulhijjah sebagaimana hadis riwayat Imam Muslim, al-Tirmizi dan Ibnu Majah Rahimahumullah daripada Abu Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :“Puasa hari ‘Arafah aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.”

Zulhijjah adalah bulan perlaksanaan rukun Islam kelima iaitu ibadah Haji yang diwajibkan ke atas umat Islam yang cukup syaratnya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 27-29: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Antara hikmah yang dapat dihayati daripada ibadah haji adalah seperti berikut:

Pertama: Haji adalah syiar perpaduan umat Islam.

Kedua: Haji merupakan simbol ketaatan dan kehambaan.

Ketiga: Haji ialah manifestasi zikir serta ingatan kepada Allah SWT.

Keempat: Haji melambangkan pengorbanan seorang hamba.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Kawthar ayat 1-3:Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah binatang korban (sebagai tanda syukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)".

Kelima: Ibadah Haji menjanjikan ganjaran keampunan daripada dosa.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Siapa yang melaksanakan haji kerana Allah dan dia tidak berkata-kata keji dan tidak berbuat kefasikan maka dia pulang sebagaimana waktu dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa-dosa)”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini. Marilah kita menghayati beberapa kesimpulan:

Pertama: Zulhijjah menjanjikan kelebihan serta keutamaan untuk beramal ibadat yang tidak seharusnya disia-siakan.

Kedua: Haji adalah simbol ketaatan dan kehambaan, bukti pengorbanan seorang hamba dan keampunan daripada dosa-dosa.

Ketiga: Ibadah korban adalah manifestasi syukur seorang hamba kepada Tuhannya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 34:“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat "
Tags: haji, khutbah, zulhijjah
Subscribe

Posts from This Journal “haji” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments