mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Meraih Keberkatan Di Hari Jumaat”

Petikan Khutbah Jumaat 16 Ogos 2019M / 15 Zulhijjah 1440H: JAIS

“Meraih Keberkatan Di Hari Jumaat”.

Setiap minggu pada hari Jumaat kita berkumpul di masjid, membuat pelbagai amalan seperti bersedekah, mendengar khutbah, bersolat dan beriktikaf di masjid, membaca al Quran dan sebagainya.
jais.jpg
Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, hari Jumaat adalah hari yang diciptakan Nabi Adam Alaihis Salam, dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga dan dikeluarkannya daripada Syurga dan tidak akan berlaku hari kiamat melainkan hari Jumaat.

Mulianya Hari Jumaat ini sehinggakan terbit matahari pada pagi Jumaat, adalah sebaik-baik matahari berbanding hari-hari yang lain.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, bahawa Nabi SAW bersabda:“Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah pada hari Jumaat, padanya diciptakan Adam Alaihis Salam. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan dari syurga dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat”. (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya Hari Jumaat adalah hari kebesaran umat Islam, Allah memuliakan Hari Jumaat melebihi Hari Raya Eidulfitri dan Eiduladha.

Hadis dari Abi Lubabah Bin Abd Munzir Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu kepada segala hari dan seagung-agung hari di sisi Allah yang mana keagungannya itu di sisi Allah lebih agung berbanding hari raya Aidiladha dan juga Aidilfitri. Ini kerana, pada hari tersebut terdapat lima perkara besar iaitu: Padanya diciptakan, diturunkan ke bumi dan diwafatkan Nabi Adam. Padanya juga terdapat satu masa apabila seseorang itu meminta sesuatu kepada Allah pasti akan diberikan kepadanya selagimana dia tidak meminta sesuatu yang haram. Padanya juga akan berlakunya Kiamat dan pada hari itu juga (hari Jumaat) tidak ada malaikat yang dekat dengan Allah, di langit, bumi, angin, gunung dan laut melainkan takut dengan keagungan hari Jumaat.” (Riwayat Ibn Majah dan Ahmad).

Di antara kelebihan hari Jumaat yang sering kita abaikan ialah waktu yang di makbulkan doa oleh Allah SWT.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari Radhiallahu Anhu, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar Radhiallahu Anhuma tentang waktu yang mustajab tersebut:“Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam (iaitu diatas mimbar) sehingga selesainya solat didirikan”. (Riwayat Muslim).

Hadis daripada Jabir bin Abdillah Radhiallahu Anhu, bahawa Nabi SAW bersabda:“Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar ”. (Riwayat al-Nasa‟ie).

Biasakanlah dengan amalan-amalan sunat di hari Jumaat seperti berwuduk dengan sempurna dan mandi sunat sebelum hadir ke masjid, memakai wangi-wangian, datang awal ke masjid, perbanyakkan membaca al- Quran, memotong kuku, dan pelbagai lagi amalan sunat yang lain.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mana-mana manusia yang mandi di hari Jumaat, membersihkan diri, memakai minyak rambut dan minyak wangi di rumahnya, kemudian ia datang ke masjid serta ia tidak melanggar bahu jemaah yang lain, kemudian ia menunaikan solat sunat sekadar kemampuannya dan ia berdiam diri ketika imam berkhutbah, maka Allah mengampunkan dosa-dosanya di antara 2 Jumaat.” (Riwayat Al-Bukhari).

Kita diperintahkan untuk memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat.

Hadis yang diriwayatkan oleh Aus bin Aus Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kamu adalah hari Jumaat kerana pada hari itu Nabi Adam dijadikan, pada hari itu baginda diwafatkan, pada hari itu ditiupnya sangkakala (berlaku kiamat) dan pada hari itu akan ditiupkan sangkakala pertama (dibangkitkan kembali). Maka perbanyaklah selawat kepadaku kerana selawat kamu akan disampaikan kepadaku." Mereka (para sahabat) berkata: "Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah selawat kami boleh sampai kepada kamu, sedangkan kamu telah wafat? (atau) mereka berkata: "Telah hancur (tulangnya)”. Lalu baginda SAW bersabda: "Allah SWT mengharamkan tanah untuk memakan jasad para Nabi Aalaihimussolatu wassalam." (Abu Daud, An- Nasaie, Ibn Majah)

Kita juga digalakkan untuk memasuki masjid seawal yang boleh agar dapat menunaikan solat sunat dengan tenang serta mendapat tempat yang lebih selesa. Malahan, mereka yang masuk lebih awal, akan dicatat namanya oleh para malaikat yang menanti di pintu masjid. Malaikat-malaikat ini akan berhenti mencatat nama manusia apabila azan dikumandangkan.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu katanya, sabda Rasulullah SAW:“Apabila tiba hari Jumaat, akan ada malaikat di pintu-pintu masjid yang mencatat nama orang-orang yang datang awal. Sehingga apabila imam duduk sebelum membaca khutbah, mereka akan menutup lembaran (berhenti mencatat nama) dan mereka mendengar khutbah.” (Riwayat Al-Bukhari).

Sewaktu kita sedang berada di dalam masjid, kita perlulah menjaga adab-adab dan mengekalkan ketenangan suasananya. Malah, kita telah diingatkan oleh Rasulullah SAW agar tidak melakukan perkara-perkara yang sia-sia ketika mana khatib sedang menyampaikan khutbah. Hal ini telah disebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :“Apabila kamu berkata kepada kawanmu „diamlah‟ ketika khatib sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lakukan perkara yang sia-sia.” (Riwayat Ibn Majah).

Mengakhiri khutbah pada kali ini, terdapat beberapa perkara penting yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan penghayatan. Antaranya adalah:

1. Umat Islam perlulah menyedari dan meyakini serta menginsafi bahawa hari Jumaat adalah hari yang penuh keberkatan dari Allah SWT bahkan terjadinya kiamat juga pada hari Jumaat.

2. Umat Islam hendaklah bersegera merebut peluang dan ganjaran pahala dari pelbagai amalan yang menepati syariat pada hari Jumaat.

3. Umat Islam perlulah menjadikan setiap hari itu lebih baik dari harihari sebelumnya agar terus menjadi umat Islam yang cemerlang dan berjaya.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". (al-Kahfi : 103-104).

Tags: berkat, jumaat, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “jumaat” Tag

  • Ilmu bersih jiwa, jadikan umat hebat

    Hari Jumaat adalah hari ilmu, di mana kita terutamanya kaum Adam akan berhimpun untuk mendengarkan ilmu daripada khatib ketika solat Jumaat. Islam…

  • Istimewanya hari Jumaat

    SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Ia adalah satu perayaan yang ALLAH khaskan buat umat Islam…

  • Kalaulah Jumaat hari cuti mingguan

    HARI Jumaat adalah hari paling utama sehingga digelar sayyidul ayyam atau penghulu segala hari. Ia juga adalah hari perhimpunan mingguan bagi umat…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments