mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Islam Menegakkan Keadilan Sosial

Petikan Khutbah Jumaat 16 Ogos 2019M / 15 Zulhijjah 1440H JAWI

Islam Menegakkan Keadilan Sosial

Konsep keadilan dalam Islam mempunyai pengertian yang luas dan mendalam. Islam mewajibkan umatnya bersikap adil dalam semua keadaan tidak mengira warna kulit, warganegara, status atau kepercayaan.

jawi_logo.jpgKeadilan dalam Islam bukanlah suatu teori tetapi ia adalah suatu perintah Allah SWT.

Demikianlah Allah SWT telah berfirman menerusi surah al-Maidah, ayat 8: Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Menurut Sayyid Qutb, “Islam adalah agama keadilan dan perpaduan. Manusia bersatu tanpa mengira perbezaan warna, bangsa dan kelas, beriman kepada Tuhan yang satu. Ini bererti bahawa perpaduan, cinta, kerjasama dan persefahaman antara manusia berdasarkan iman kepada Tuhan adalah apa yang dicari oleh Islam melalui ajarannya.”

Pendekatan konsep “pecah dan perintah” yang diamalkan telah mewujudkan jurang hubungan kaum dari sudut ekonomi serta hidup dalam keterasingan sosial dan budaya.

Pendekatan ini menyebabkan penglibatan sosio-ekonomi yang tidak seimbang dan wujud ketidakadilan sosial dalam masyarakat.

Orang yang tidak berlaku adil dan tidak menunaikan hak-hak orang lain sebenarnya telah melakukan kesalahan dan layak untuk diberikan hukuman yang setimpal.

Nabi Muhammad SAW telah membentuk Piagam Madinah untuk menjadi pedoman sebuah negara berdaulat setelah berjaya mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar.

Piagam ini juga mewujudkan keadilan dan persamaan terhadap masyarakat Madinah.

Imam al-Bukhari RH telah meriwayatkan daripada Aishah RAnha, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:“Sesungguhnya telah binasa golongan sebelum kamu, bahawa mereka jika golongan yang mulia dalam kalangan mereka telah mencuri, mereka abaikan. Dan apabila golongan yang lemah dalam kalangan mereka telah mencuri, mereka tegakkan undang-undang ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, maka aku akan memotong tangannya.”

Persoalannya, bagaimana hak asasi manusia dalam keadilan sosial dapat dicapai?

Pertama: Mempromosi hak kesaksamaan. Hak asasi manusia dan keadilan sosial mempunyai matlamat yang sama iaitu hak asasi dapat dinikmati oleh semua manusia.

Kedua: Mengiktiraf hak ekonomi, sosial dan kebudayaan setiap lapisan warganegara dan masyarakat secara adil tidak mengira bangsa, status dan agama.

Ketiga: Pemimpin mesti bertanggungjawab memastikan hak setiap golongan tanpa diskriminasi. Pemimpin hendaklah berlaku adil dan amanah dalam aspek tadbir urus. Ini dapat memastikan sumber kekayaan negara dapat dinikmati bersama.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Berlaku adil dalam kalangan masyarakat adalah suatu perintah dalam Islam yang perlu kita tunaikan.

Kedua: Umat Islam dituntut agar menjaga hak-hak asasi manusia dan mengelakkan daripada melakukan kezaliman kepada pihak lain.

Ketiga: Kita semua bertanggungjawab memelihara keamanan dan menegakkan keadilan dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 70 hingga 71: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”

Tags: islam, keadilan, khutbah, sosial
Subscribe

Posts from This Journal “islam” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments