mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Kaya Dunia Bahagia Akhirat

Petikan Khutbah Jumaat 23 Ogos 2019M / 22 Zulhijjah 1440H JAWI

Kaya Dunia Bahagia Akhirat

Wang dan harta merupakan keperluan asas bagi manusia meneruskan kehidupan. Islam mempunyai rukun agama dan rukun kehidupan. Rukun agama terbina dari rukun Islam dan rukun Iman.

Manakala rukun kehidupan terbina atas beberapa perkara seperti kehartaan atau kekayaan, keilmuan, ketamadunan dan jawi_logo.jpgseumpamanya.

Malah, tanpa tertegaknya rukun kehidupan, kehidupan agama akan tejejas dan paling kurang mundur dan tidak dihormati.

Tanpa harta, nescaya kita tidak akan mampu memiliki keperluan-keperluan asas kehidupan yang lain seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan.

Firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 5 yang bemaksud: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”

Penjagaan dan pengurusan harta ataupun hifz al-mal ialah salah satu daripada 5 teras keperluan utama yang menjadi tujuan penurunan syariat Islam atau maqasid al-syariah.

Maqasid alsyariah ialah asas dan polisi utama kehidupan beragama. Penjagaan harta di sini meliputi penjanaan kekayaan, pemindahan dan pengagihan. Aspek yang terpenting antara 3 komponen ini ialah penjanaan kekayaan.

Harta menurut kaca mata Islam ibarat sebilah pedang yang mempunyai dua sisi, baik buruk kesannya bergantung kepada bagaimana manusia menggunakannya.

Allah SWT berfirman berkenaan harta sebagaimana di dalam surah al-‘Aadiyaat ayat 8 :“Dan sesungguhnya dia (manusia) melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).”

Harta dirujuk sebagai “al-Khair” yang membawa maksud kebaikan, sebagimana pendapat ahli tafsir seperti Imam Ibnu Hajar.

Hal ini kerana Islam sebagai agama yang selari dengan fitrah manusia memandang peranan harta sebagai sesuatu keperluan asas mereka, di samping amalan ketaatan dan ibadah yang berkait dengannya.

Ia tidak mungkin dapat dilaksanakan sesempurnanya tanpa ibadah zakat, wakaf, sedekah dan lain-lain.

Pada masa yang sama, harta juga adalah ujian kepada seseorang, seperti yang disebutkan di dalam ayat 28 Surah al-Anfal:“Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.”

Kekayaan yang dimiliki oleh para sahabat Nabi SAW seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Uthman bin ‘Affan dan Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf tidak menjadi penghalang bagi mereka mendapat kemuliaan di dalam Islam, bahkan ketiga-tiga mereka merupakan antara 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga oleh baginda SAW.

Sebaliknya Qarun, dek kerana keangkuhan dan kesombongannya dengan harta yang dimiliki, dia dilaknat oleh Allah SWT.

Maka, daripada dua contoh berlawanan yang dikemukakan ini, jelaslah bahawa baik buruk harta itu bukanlah terletak pada keping kertas mahupun logamnya, akan tetapi ia ditentukan oleh sikap pemilik terhadapnya.

Harta dan kekayaan, seperti mana kedudukan dan kekuasaan, kesemuanya akan ditinggalkan di dunia ini. Namun sekiranya harta dan kekayaan yang dimiliki dibelanjakan pada jalan kebaikan seperti wakaf, sedekah dan nafkah, maka pahalanya akan berterusan dinikmati oleh pemiliknya walaupun selepas kematiannya.

Dalam hal ini, Imam Muslim telah meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda:“Jika manusia itu mati, maka akan putus amalannya kecuali dari tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaatnya dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya.”

Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menjanjikan pulangan pelaburan berlipat kali ganda buat para dermawan dari kalangan hambaNya melalui firmanNya dalam Surah al-Baqarah ayat 261:“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (Ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Sebagai penutup, beberapa kesimpulan dapat diambil sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Harta dan kekayaan adalah asas kehidupan manusia.

Kedua: Pastikan harta diperoleh melalui sumber yang halal dan suci dan dilabur serta dibelanjakan secara patuh syariah.

Ketiga: Belanjakanlah harta pada jalan ketaatan dan kebaikan serta amalkan perancangan kewangan yang baik dan berhemah.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 29:“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal ".
Tags: akhirat, bahagia, dunia, kaya, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kaya” Tag

  • Kemewahan bukan nikmat, tetapi ujian

    “SAYA pernah masuk ke sebuah restoran di Barat, seperti sedia maklum agak sukar untuk mencari kedai halal di sini dan selepas mendapat tahu…

  • Kaya, miskin bukan pengukur iman

    NIKMAT kekayaan sebenarnya adalah ujian sejauh mana kita bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan atau kekayaan itu menjadikan kita lalai.…

  • Kaya, miskin bukan ukuran iman

    TERFIKIRKAH kita mengapa ALLAH SWT menjadikan golongan kaya dan miskin dalam dunia ini. Bukankah ALLAH Maha Kaya lagi Maha Adil? ALLAH berfi rman:…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments